Minggu ini saya kongsikan kisah hidup, Rahim (bukan nama sebenar) seorang lelaki yang pada awal hidupnya dipenuhi dengan tipu daya dan permainan dengan wanita.
Namun pada akhirnya, hidupnya hancur kerana cinta butanya kepada seorang wanita.
Kisah Rahim dikongsikan bekas isterinya, Sari, (bukan nama sebenar) melalui kiriman emel kepada saya baru-baru ini.
Dalam emelnya, Sari menulis, bekas suaminya, seorang kakitangan awam berpangkat agak tinggi, segak dan pandai berkata-kata sehingga ramai wanita tertarik kepadanya.
“Saya sendiri terpikat dengan pesona dan perhatian diberikannya.
“Rahim bukanlah lelaki pilihan pertama saya, namun takdir yang menemukan jodoh saya dengan dia yang sememangnya terkenal sebagai kaki perempuan,” ujarnya dalam emel itu.
Menurut Sari, dia percaya seseorang itu boleh berubah, termasuk lelaki dikahwininya itu.
Namun, seiring berjalannya waktu, rupa-rupanya Rahim tidak pernah meninggalkan tabiat buruknya itu.
Kata Sari, bekas suami masih tidak dapat menahan diri daripada menggoda dan terjebak hubungan terlarang dengan wanita lain.
Setiap kali berkenalan dengan wanita berdahi licin, dia akan menghabiskan masa dan wang untuk menggoda mereka.
Rahim akan memberi wanita-wanita itu hadiah yang mewah-mewah dan membawanya ke tempat-tempat hiburan.
Bukan setakat itu sahaja, Rahim turut membawa wanita yang baru dikenali sehingga ke bilik hotel.
Setiap wanita yang berjaya ditiduri, memberi keseronokan dan cabaran sekali gus membuatnya rasa berkuasa.
Kebanyakan wanita yang ditemui sekadar mahu berseronok tanpa sebarang komitmen.
“Saya bertahan ketika itu kerana anak-anak masih kecil. Walaupun berdepan dengan kekecewaan dan pengkhianatan berulang kali, saya tetap memaafkannya,” tulisnya lagi.
Sepanjang tempoh 15 tahun berumah tangga, kata Sari, Rahim tidak pernah berubah dan masih meneruskan kehidupannya sebagai kaki perempuan.
Dia seolah-olah tidak peduli tentang rumah tangga mereka yang semakin menuju kehancuran.
Menurut Sari, dia dapat menghidu bekas suami masih meneruskan kegiatan itu apabila terjumpa beberapa resit tempahan bilik hotel, bayaran beg tangan dan barang kemas.
Sari dalam emelnya turut memberitahu, setiap kali dia cuba berbincang dengan bekas suami mengenai perkara itu, pelbagai alasan diberikan.
“Sepanjang tempoh itu sejujurnya saya makan hati dengan segala perbuatannya.
“Namun dalam masa sama saya memikir dan merancang langkah-langkah untuk melindungi masa depan saya dan anak-anak,” tulisnya.
Dia tahu Rahim memiliki dua buah rumah, selain simpanan dan dia mahu memastikan separuh aset itu menjadi miliknya dan anak-anak jika mereka bercerai.
Kemuncak kepada kisah hidup bekas suaminya itu apabila dia jatuh cinta kepada Yati, (bukan nama sebenar) pada penghujung 2018.
Ketika itu bekas suaminya baru sahaja mengeluarkan wang Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) yang dicarum bertahun-tahun lamanya.
Yati seorang wanita muda yang penuh daya tarikan tetapi mempunyai niat tersembunyi.
Tertarik dengan kecantikan dan kata-kata manis, Rahim mula mengorbankan segala-galanya_ masa, wang dan harta benda.
“Ketika itu saya nekad untuk membubarkan perkahwinan. Untuk apa saya terus-terusan menyeksa diri.
“Saya tidak ambil pusing tentang apa yang berlaku kepadanya selepas itu. Semasa proses perceraian berjalan, kami sudah tidak tinggal sebumbung lagi,” ujarnya.
Selepas seminggu dia bersama anak-anak keluar rumah, bekas suami turut membawa wanita itu tinggal tanpa ikatan perkahwinan sah.
Sambung Sari, cinta yang mendalam kepada wanita itu akhirnya menjadi titik kelemahan dan perlahan-lahan hidup bekas suami mulai runtuh.
Yati berjaya menundukkan ego seorang lelaki yang sebelum itu kaki perempuan.
Tanpa disedari, Yati bukan seperti wanita-wanita lain yang ditemui sebelum ini.
Yati bukan tertarik kepada dirinya, tetapi lebih kepada wang dan hartanya.
Dia juga bukanlah wanita jujur sebaliknya, melihat Rahim sebagai peluang untuk mendapatkan kesenangan hidup.
Wanita itu mula meminta macam-macam. Bukan sahaja hadiah-hadiah mahal, daripada telefon bimbit berjenama, emas sehinggalah percutian mewah, bahkan meminta Rahim menukar hak milik rumah atas namanya.
Rahim yang mabuk dengan kemesraan Yati, tidak keberatan menghabiskan wang memenuhi permintaan wanita kesayangannya.
Simpanan Rahim mulai menyusut, namun permintaan Yati semakin tak terkawal.
Tanpa sedar, Rahim mula menghabiskan banyak wang untuk wanita itu daripada mengutamakan nafkah anak-anak yang masih di bawah tanggungjawabnya.
Dia mula meminjam wang dari rakan-rakan lama, bahkan telah menggadaikan beberapa aset seperti bangunan kedai yang pernah dibeli sebelum ini.
Yati pula terus memainkan peranannya selepas mengetahui kelemahan lelaki itu.
Wanita muda itu cuba memanipulasinya, sehingga membuatkan Rahim rasa bersalah jika tidak dipenuhi setiap permintaannya.
Ketika itu, Rahim masih tidak menyedari wanita muda itu hanya mahu mengambil kesempatan terhadap dirinya.
Setelah beberapa bulan, Yati mula menunjukkan belang sebenar.
Setiap kali Rahim kehabisan wang dan gagal memenuhi permintaannya, Yati merajuk dan menghilangkan diri .
Pelbagai alasan diberikan. Rahim mula menyedari yang wanita itu hanya mendekatinya untuk kepentingan diri.
Namun setiap kali Rahim cuba melupakannya, dia tidak serik dan kembali mengejar wanita itu.
Malang sekali hidup bekas suaminya, apabila tidak sampai setahun hubungan mereka terjalin, Yati menghilangkan diri sebaik sahaja wang simpanan Rahim habis.
Wanita itu meninggalkannya dalam kesedihan setelah berjaya mendapatkan apa yang diinginkan.
Rahim ditinggalkan dalam keadaan tertekan dan tidak mempunyai apa-apa.
Rahim mula sedar dia ditipu, namun kesilapan besar itu tidak dapat diundur semula.
Kisah Rahim ini harus dijadikan pengajaran, betapa bahayanya seseorang yang terjerat dalam godaan dan terpedaya dengan tipu daya wanita yang hanya mencari keuntungan peribadi.
Pada akhirnya bukan sahaja memusnahkan kehidupan peribadi, tetapi juga mengorbankan kepercayaan dibina.
Sesungguhnya Allah SWT mencipta setiap makhluk itu secara berpasang-pasangan seperti lelaki dan wanita, siang dan malam, langit dan bumi dan sebagainya.
Akan tetapi Allah SWT telah memilih manusia sebagai makhluk sebaik-baik kejadian kerana dikurniakan akal fikiran.
Selain itu, antara lain tujuan manusia dicipta untuk menguji mereka dengan ditimpa ujian-ujian supaya Allah SWT mengetahui siapakah di antara mereka yang paling baik amalannya.
Allah SWT turut menjadikan wanita sebagai salah satu ujian dan fitnah buat kaum lelaki ini.
Ini dijelaskan di dalam al-Quran bermaksud: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia suka kepada perkara-perkara yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan. (Ali-Imran: 14)










