Seronok 'berlawan' dengan ikan

Seronok ‘berlawan’ dengan ikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMANCING sering dikaitkan dengan lelaki, namun kini semakin ramai wanita berjinak-jinak dengan hobi tersebut. 

Kemampuan mereka pun bukan calang-calang, dengan kebanyakannya sudah berani mencangkuk umpan sendiri dan mencabut mata kail, tanpa memerlukan khidmat lelaki.

Norismatulhafikah Balqis Ishak, 25, antara hawa yang sanggup meredah paya, tasik dan lombong di samping berjemur berjam-jam di bawah panas matahari, semata-mata memburu ikan-ikan bersifat ganas seperti toman dan haruan yang menjadi dambaan pemancing. 

Antara rekod cemerlang gadis lasak berasal dari Pekan, Pahang ini ialah mendaratkan tiga ekor toman sehari. 

Pencapaian itu boleh dianggap membanggakan terutama bagi individu yang baharu dua tahun terlibat dalam dunia memancing. 

“Memancing ini seronoknya luar biasa berbanding sukan-sukan seperti bola baling, badminton dan mendaki bukit yang pernah saya ceburinya sebelum ini. 

“Bahkan, adrenalin turut mengalir deras terutama apabila perlu berlawan dan menumpaskan ikan,” katanya. 

Memiliki ibu bapa yang merupakan kaki pancing, menjadikan hobi itu bukan sesuatu yang asing buat dirinya. 

“Sejak kecil saya sudah terdedah dengan aktiviti ini. 

“Dua tahun lalu, saya tengok kawan menangkap toman dengan teknik mengilat atau casting, lantas saya tertarik untuk mendalaminya dan berterusan hingga kini.

 “Saya lebih suka air tawar berbanding air masin. Pada peringkat awal, saya banyak ‘berlatih’ di paya sebelum ke tasik, sungai dan lombong,” kata pemancing tegar ini kepada Seri. 

Ikan paling besar yang pernah ditangkapnya ialah induk toman seberat lima kilogram di Empangan Klau di Raub, Pahang. 

Ikan spesis itu kebiasaannya tidak dibawa balik dan dilepaskan kembali ke habitat asal. Pendekatan itu bertepatan misinya untuk mengasah dan memantapkan skil di samping menguji kekuatan produk digunakan. 

Antara lokasi air tawar yang sering dikunjunginya ialah di Pahang, Sepang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Malah, anak ke-9 dari 10 beradik ini turut menyertai tiga pertandingan iaitu Pahang Caster, International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2023 di Tasik Kenyir dan Casting Challenge Taman Tasik Metropolitan. 

MEMANCING SETIAP MINGGU 

Dek kerana minat, Norismatulhafikah Balqis tidak pernah gagal melakukan rutin memancing haruan di sekitar kawasan kediaman, pada setiap minggu.

Aktiviti itu disifatkan mudah kerana tidak memerlukannya menaiki bot untuk ke lubuk-lubuk.

Namun, jika mahu memburu toman, pemancing tegar ini akan ‘keluar’ kawasan bagi mengikuti trip memancing di negeri-negeri lain.

Aktiviti itu dilakukan kira-kira empat kali dalam sebulan.

“Untuk memancing toman seseorang perlu naik bot ke lokasi lubuk dan trip paling singkat ialah selama sehari dengan kos sekitar RM350. 

“Manakala yang paling lama, dua hari dengan perbelanjaan sebanyak RM800 untuk seorang pemancing,” katanya yang baru pulang dari Perak beberapa minggu lalu. 

Antara peralatan wajib dibawa memancing ialah sekotak umpan dan mata kail di samping dua joran dan rod. 

Untuk keselamatan, gadis ini sentiasa memastikan dirinya ditemani rakan ketika di atas bot. 

“Paling penting jangan pergi seorang diri dengan pemandu bot sahaja dan rancanglah trip bersama kawan. 

“Hobi memancing ini masih didominasi lelaki, jadi kaum wanita kena pandai jaga diri dan batas pergaulan,” katanya

 

HOBI BERTUKAR KERJAYA 

Melihat kepada jadualnya yang sibuk dengan aktiviti memancing, mungkin ada yang menebak gadis ini tidak bekerja. 

Tekaan itu silap kerana Norismatulha kah Balqis sebenarnya bertugas sebagai pencipta kandungan. 

Khidmatnya digunakan beberapa jenama popular untuk memasarkan peralatan memancing.

“Saya bersyukur kerana ada pihak-pihak yang tertarik dengan hobi saya di TikTok dan memberi sepenuh kepercayaan untuk saya menggunakan produk mereka. 

“Daripada sekadar hobi, kini saya dapat menjana pendapatan melebihi RM4,000 sebulan dengan hanya memancing,” katanya. 

Sebelum ini, Norismatulhafikah Balqis mengusahakan gerai laksa Penang selama enam tahun, di hadapan rumahnya. 

Namun, perniagaannya terpaksa ditutup dua tahun lalu bagi memberi tumpuan kepada aktiviti memancing. 

“Saya masih rindu berniaga dan berazam untuk mengumpul modal bagi mencapai impian membuka kedai laksa di dalam pasar raya, satu hari nanti,” katanya

 

‘SAYA LEBIH PENYABAR’

Pengalaman dilalui sepanjang aktiviti memancing banyak membentuknya menjadi insan penyabar. 

Walaupun penantiannya berakhir dengan tangan kosong tanpa sebarang hasil tangkapan, namun dia tidak lekas patah semangat. 

“Sebelum ini saya bukan orang yang penyabar tetapi saya nampak perubahan sikap itu sedikit demi sedikit. 

“Cabaran dan ujian yang dilalui ketika memancing saya manfaatkan dalam kehidupan,” katanya. Dalam pada itu, Norismatulhafikah Balqis berkongsi kenangan pahitnya kehilangan kamera 360 ketika mahu menyembat toman, pada Mei lalu. 

Gajet bernilai RM2,400 dan baharu seminggu dibeli itu terjatuh di kawasan lombong sedalam 40 meter di Puchong. 

“Sebenarnya salah saya juga sebab tidak berhati-hati dalam pengendalian kamera yang diletakkan di dada. 

“Apabila video itu dimuat naik di TikTok, ramai mengecam saya kononnya mahu raih simpati dan derma. 

“Geram dengan komen negatif itu, saya kumpul kembali duit dan beli kamera sama sebulan kemudian,” kata pemilik akaun TikTok Fiekah & Fish ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×