Derita sakit kelamin dek maksiat masa lalu

Derita sakit kelamin dek maksiat masa lalu

sakit kelamin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERONOKNYA seminit dua, sengsaranya bertahun-tahun. Itu natijah terpaksa menanggung sakit kelamin oleh seseorang yang terlibat dengan kegiatan swinger atau bertukar pasangan suami isteri suka sama suka. 

Tiada tujuan lain hanya untuk keseronokan dan memuaskan keinginan di ranjang. 

Minggu ini saya menerima emel daripada seorang wanita dikenali sebagai Mid, yang mengakui antara pernah terlibat dalam kegiatan berasmara dengan suami orang. 

Disebabkan itu jugalah dia kini terpaksa menanggung derita penyakit kelamin dek gaya hidup bebas ketika menuntut di luar negara. 

Dalam kiriman emelnya itu dia mengakui terlibat dalam kegiatan swinger melibatkan aktiviti suami isteri bertukar-tukar pasangan. 

Kegiatan selama hampir tiga tahun itu berlaku ketika menuntut dan bekerja di luar negara demi kepuasan nafsu. 

Katanya dia tidak berniat untuk membuka pekung sendiri, namun lebih kepada memberi pengajaran kepada orang lain. 

Lebih-lebih suaminya, Sham (bukan nama sebenar) sudah dijemput Ilahi dua tahun lalu selepas sesak nafas. 

Tukar pasangan

Tulisnya, kegiatan bertukar pasangan itu nikmatnya beberapa minit tetapi memberi kesan jangka panjang. 

Melihat kepada rentetan masalah yang bertubi-tubi menimpanya sejak dua tahun kebelakangan menginsa an wanita kelahiran pantai timur itu. 

Dia mengakui segala dilalui itu berlaku disebabkan ‘dosa-dosa’ lalu yang terpalit pada dirinya. 

Bermula daripada dia disahkan menghidapi penyakit pada penghujung 2018, sehinggalah suaminya meninggal dunia, semuanya membuatkan dia berasa kerdil untuk menghadapi segala ujian yang datang. 

Menurut Mid, dia kini tinggal menumpang dan dijaga kakak sulungnya sejak pulang ke tanah air selepas kematian suami. 

Setiap dua minggu sekali dia akan berulang alik mendapatkan rawatan di hospital. 

Benarlah, yang haram itu lebih menyeronokkan daripada halal. 

Mengimbas kisah lalu, kata Mid dia berkenalan dengan Sham ketika mereka sama-sama menuntut di luar negara. 

Terdedah dengan amalan gaya hidup bebas menjadi faktor mendorong mereka berdua terjebak dalam kegiatan tidak bermoral itu. 

Kekasih

Bercerita lanjut mengenai hubungan mereka, tulis Mid, awalnya bermula sebagai kawan bertukar menjadi kekasih selepas masing-masing mulai saling merindui. Berjauhan dengan keluarga membuatkan mereka bebas dan seperti belangkas. 

Ke sana sini bersama dan hubungan bebas mereka tidak ubah seperti suami isteri. 

Mereka sepakat untuk bernikah secara sah selepas hubungan terlarang itu diketahui keluarga masing-masing. 

Kegiatan bertukar pasangan itu kata Mid bermula selepas Sham mengundang sepasang suami isteri yang didakwa kenalannya ke rumah sewa mereka. 

Awalnya dia tidak berasa apa-apa dalam persahabatan mereka. 

Sehinggalah pada suatu hari suami meminta Mid meniduri rakannya itu dengan alasan untuk suka-suka. 

Latar belakang kedua-duanya yang jahil agama membuatkan mereka langsung tidak berfikir tentang dosa. 

Mid yang pada awalnya, menolak kerana takut, akhirnya tewas kerana seronok. 

Sambung Mid dalam emelnya itu, kegiatan itu berlangsung selama hampir dua tahun. 

“Sepanjang tempoh itu perasaan kami sebagai suami isteri bagai tidak bermakna. Serumah, namun masing-masing tawar hati. 

“Kami menikmati hidup dengan kerap berzina dengan pasangan suami dan isteri yang berbeza. 

“Di dalam bilik, saya tidur dengan suami orang lain dan sebaliknya,” tulis Mid. 

Berasmara

Mengakui ketika itu dia langsung tidak kisah suami berasmara dengan wanita lain asal masing-masing puas. 

Kebiasaannya kata Mid, mereka memilih untuk mengatur pertemuan di rumah sendiri kerana lebih privasi dan memudahkan semua pihak. 

Dalam emelnya itu lagi, dia mengakui menyesal dengan perbuatan lalu. Kegiatan itu dihentikan selepas dia disahkan menghidap penyakit kelamin yang didapati daripada salah seorang kawan lelaki Sham. 

Rupa-rupanya lelaki itu bukan sahaja terlibat dalam kegiatan bertukar-tukar pasangan, bahkan turut melanggan pelacur. 

“Sejak disahkan menghidapi penyakit kelamin, kehidupan kami cukup susah. 

“Saya terpaksa berhenti kerja kerana sakit, manakala suami diberhentikan kerja selepas kegiatan kami terbongkar,” katanya yang menyifatkan ia sebagai khifarah. 

Makin merosot

Kata Mid, dia tiada pilihan lain selain meminta pertolongan kakaknya untuk membawa mereka suami isteri pulang ke tanah air. 

“Saya ceritakan secara jujur dengan kakak. Alhamdulilah, dia menerima saya seadanya. Sehingga hari ini kedua ibu bapa di kampung tidak mengetahui keadaan kesihatan saya yang makin merosot. 

“Saya sentiasa berdoa agar Allah menerima taubat saya sebelum menutup mata,” tulisnya. 

Sesungguhnya, perbuatan bertukar pasangan suka sama suka adalah suatu bentuk zina keji. 

Ia bukan sahaja mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri, tetapi juga dosa besar kepada seseorang yang beragama Islam. Firman Allah SWT bermaksud: 

Dan janganlah kami menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah suatu yang keji dan seburuk-buruk jalan. (Surah al-Isra (32). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×