SETIAP orang ada kisah Ramadan tersendiri. Suka duka, pahit manis. Dan yang pastinya ia dapat mengubah daripada tidak baik kepada baik, daripada baik kepada yang lebih baik.
Berbanding bulan lain, Allah SWT memberi kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadan.
Ini kerana semua perbuatan kita yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah Taala seiring dengan amalan berpuasa akan menjadi
ibadah berpahala yang balasannya berlipat ganda.
Kedatangan Ramadan juga adalah satu tempoh masa sangat istimewa bagi Ann, (bukan nama sebenar) yang mempunyai kisah hidup tersendiri.
Ini kerana bulan yang dipenuhi dengan rahmat dan keberkatan itu telah mempertemukannya semula dengan ibu bapa yang ditinggalkan hampir enam tahun.
Dek kerana cinta, dia sanggup meletakkan kekasihnya melebihi kedua ibu bapa.
Malang sekali, dia terlupa bahawa hubungan cinta bukanlah sesuatu yang kekal.
“Ketika itu barulah saya sedar tinggi rendahnya langit. Saya pulang semula ke pangkuan ibu ayah dan keluarga pada Ramadan tahun lalu.
“Alhamdulilah, mereka masih menerima saya, walaupun saya telah memalukan dan menguris hati mereka,” tulis Ann dalam kiriman emel kepada saya baru-baru ini.
Menyingkap cerita lalu, kata Ann dia bukan sahaja sanggup bertengkar dengan kedua orang tua yang tidak bersetuju hubungannya dengan lelaki itu, bahkan sanggup meninggalkan mereka dan berkahwin lari di sempadan.
Walaupun berlatarbelakangkan keluarga yang cukup menekankan pendidikan agama, Ann tewas apabila diuji dengan lelaki.
Pergaulannya dengan lelaki sangat terbatas sejak kecil sehinggalah dia mendapat tawaran di sebuah universiti.
Mahu jadikan cerita, di situlah dia berkenalan dengan Zack, (bukan nama sebenar), yang secara kebetulan terlibat dalampenganjuran karnival di kampus.
“Sukar menggambarkan perasaan saya ketika itu. Ternyata, ada perasaan luar biasa muncul dalam diri sebaik melihat Zack pertama kali. Zack yang memulakan perbualan dan hubungan kami berlaku begitu pantas.
“Awalnya kami hanya bertukar-tukar nombor telefon, dan dari situlah bibit-bibit cinta mula terjalin seterusnya saya mula berani mengikutnya keluar bersiar-siar di luar kampus,” tulis Ann.
Sepanjang tempoh tiga bulan berkawan, Zack nampak baik, berbudi bahasa dan mengambil berat.
Rupanya itulah kesilapan Ann kerana cepat percaya kepada orang yang baru dikenali.
Kerana cinta, dia sanggup membutakan mata dan hati. Keputusan paling bodoh diambil dalam hidupnya adalah apabila dia tidak menghabiskan pengajiannya kerana termakan janji lelaki itu mahu memperisterinya.
“Saya percaya Zack lelaki yang baik. Sepanjang tempoh tiga bulan berkawan, dia tidak pernah cuba menyentuh apalagi mengambil kesempatan ke atas diri saya.
“Disebabkan itu juga, saya sanggup bergaduh dengan ibu ayah dan berkahwin lari dengan Zack,” tulisnya.
Usia cinta ada penghujungnya. Cintanya mekar dan hangat seketika cuma. Tanpa perlu menunggu tahun, memasuki enam bulan, bahtera
perkahwinan mulai goyah.
Masa bercinta semuanya baik-baik sahaja. Pendek kata, semua perbuatan, sikap dan percakapan akan sentiasa disesuaikan dengan
keselesaan Ann.
Tetapi selepas enam bulan, sikap dan perangai sebenar Zack terserlah satu demi satu.
Dalam emelnya itu, Ann turut menceritakan lelaki tu benar-benar mempergunakan sifatnya yang mudah dipujuk dan dipergunakan sepenuhnya.
Dalam diri Zack terlalu sedikit rasa setia dan tanggungjawab. Zack hanya inginkan kepuasan seks dan hiburan sahaja. Bukan itu sahaja kata Ann, Zack juga ada kekasih lain.
Paling mengejutkan, Zack lepas tangan dan tidak bersedia\ menjadi seorang bapa apabila dia disahkan hamil ketika usia perkahwinan mencecah setahun.
Mulai dari situ, Ann sedar kesilapannya terhadap kedua ibu bapa dan tindakan berkahwin lari.
“Saya sedar kesilapan yang berlaku kerana saya terlalu muda ketika itu dan cepat percaya dengan lelaki.
“Zack pandai memujuk lebih-lebih lagi dia tahu saya begitu sayang dan cinta terhadapnya.
“Ternyata, sekali terjatuh ke dalamnya, tentu bukan senang untuk keluar daripadanya.
“Disebabkan itu saya sanggup bertahan selama beberapa tahun lagi hidup bersamanya,” ujarnya.
Sehinggalah pada Mac 2022, dia mengambil keputusan untuk berpisah dengan Zack.
Kata Ann, dia hanya diberi kekuatan untuk kembali bertemu dan memohon ampun daripada kedua ibu bapanya pada minggu kedua Ramadan pada tahun lalu.
Kata Ana, dia bukan orang yang selayaknya memberi nasihat namun kisah hidupnya mungkin boleh dijadikan teladan terutama gadis-gadis yang sedang bercinta mahupun bergelut dengan kehidupan bersama lelaki seumpamanya.
“Jangan kecewa mahupun membiarkan hidup terus terseksa. Sebaiknya bangkit dan bina hidup baru. Yang masih ada keluarga, pulanglah meminta ampun dan maaf.
“Insya Allah, ambil kesempatan dengan kedatangannya Ramadan pada tahun ini untuk menginsafi dan meminta maaf daripada insan yang pernah kita sakiti,” tulisnya.
Tulisnya lagi, jika Allah SWT masih memberi seseorang itu rezeki dapat menatap dan mendengar suara ibu bapa, hargailah kedua-duanya sehingga ke akhir hayat mereka.
Sekiranya ada dalam kalangan kita pernah berasa kecil hati ditegur, ingatlah itu bukan bermakna mereka tidak suka atau mahu membebankan hidup kita.
Sebaliknya, itu tanda kasih dan prihatinnya mereka walaupun kita merasakan diri sudah cukup dewasa.
Sebenarnya, di dalam hati setiap ibu bapa sentiasa teringat serta mendoakan kebahagiaan anak-anaknya.
Nabi Muhammad SAW menyatakan, keredaan Allah SWT bergantung kepada keredaan ibu bapa.
Sehubungan itu, hati ibu bapa jangan sesekali dibiarkan terluka. Jika itu terjadi, maka tiada lagi keberkatan hidup buat anak itu serta menutup petunjuk Allah SWT kepadanya.









