Kehilangan ayah ketika berusia sembilan tahun dan dibesarkan oleh ibu yang tidak bekerja, membuatkan Nuraizah Shamsul Baharin amat memahami betapa ‘kerasnya’ hidup ini.
Namun kesukaran itu tidak menghalang Pengarah Urusan Madcash dan Madcat World ini untuk terus melangkah mengapai kejayaan dalam pelajaran sekali gus membantu golongan memerlukan apabila kembali ke tanah air.
Sebagai anak yatim yang bergantung kepada wang pencen arwah ayah, Nuraizah ingin membalas jasa dan berbakti kepada masyarakat melalui Madcash yang ditubuhkan pada April 2020 iaitu ketika pandemik Covid-19 melanda.
“Saya buat konsep mudah, saya cari dana menerusi pendermaan dan bantu mereka yang terkesan akibat pandemik. Derma datang dari kawan-kawan sekeliling yang sudi bekerjasama untuk membantu golongan memerlukan.
“Mula-mula, saya saja cakap dengan kawan-kawan lain, mari sama-sama bantu orang yang susah ini. Kawan-kawan pun setuju. Bila saya serahkan duit kepada penerima, saya kata ini bukan duit sedekah tapi pinjaman,” katanya kepada Seri.
PINJAM TIADA FAEDAH
Bagaimanapun, pinjaman diberikan itu, tidak dikenakan sebarang faedah sehingga ada yang tidak percaya dengan tawaran diberikan.
“Masa itu kami beri pinjam RM1,000 saja. Peminjam pula kena bayar balik RM100 pinjaman berkenaan setiap bulan. Ramai orang tidak percaya, kenapa bagi pinjam tapi tidak dikenakan faedah?
“Ada yang ingat kami ini scammer. Itu sebab kami beri nama ‘Madcash’. Bermula dengan pinjaman RM1,000 akhirnya lama kelamaan kadar pinjaman dinaikkan sehingga RM4,000,” katanya.
Kini Madcash memberi pinjaman kepada wanita yang ingin meraih pendapatan melalui perniagaan.
Nuraizah berkata, pihaknya akan memantau bayaran pinjaman dan memastikan sama ada perniagaan peminjam berkembang atau tidak termasuk menilai sama ada pinjaman itu bermanfaat atau sebaliknya.
Sebelum itu, Nuraizah yang juga lulusan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Michigan, Ann Arbor, Amerika Syarikat (AS)menubuhkan Madcat World yang memfokuskan pada teknologi mudah alih dan aplikasi gaya hidup untuk komuniti.
Ia adalah syarikat perisian yang membantu agensi kerajaan seperti Lembaga Getah dan Perikanan menguruskan tuntutan bulanan daripada agensi menggunakan perisian dihasilkan Madcat World.
“Bila buat perisian, kita tidak tahu siapa yang mengunakannya. Tapi bila buat projek Madcash, baru nampak siapa yang kita bantu. Saya bersyukur kerana ada saja orang menghulurkan sumbangan.
“Dulu saya minta RM100 saja daripada penderma tapi sekarang orang bagi berjuta-juta. Kadang-kala orang yang menderma itu lebih yakin dengan saya berbanding diri saya sendiri,” katanya tersenyum.
‘BAYAR DENGAR PEGUAM’
Sebagai pemberi wang pinjaman, Nuraizah mengakui terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah peminjam termasuk yang susah nak bayar balik pinjaman.
“Bayaran itu sebenarnya, kita akan pusing semula dengan memberi pinjaman kepada orang lain pula. Kita ada tanggungjawab pada penyumbang dana untuk memastikan ia digunakan dengan sebaiknya.
“Kalau tidak menerima bayaran, kita akan hantar SMS dan hantar peguam kepada peminjam. Biasanya peminjam akan terus bayar bila dengar peguam. Sebenarnya mereka bukan tiada duit, tapi saja tidak mahu bayar,” katanya.
Akuinya, paling sukar adalah memberi duit kepada orang di sebelah Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan kerana rata-rata rasa ‘cukuplah apa yang ada dan tidak perlukan wang berlebihan’.

Mereka ada perniagaan menjual kuih yang dibuat sekali setahun saja iaitu pada bulan Ramadan saja. Bantuan diberi dalam bentuk botol-botol kuih dan keperluan lain.
“Kita nak bantu mereka berniaga sepanjang tahun tapi mereka kata kalau buat kuih berkenaan di luar bulan Ramadan, orang tidak mahu beli. Lagipun dia tidak mahu hidup berhutang.
“Kita cuba didik mereka mengenai kewangan kerana ada yang tiada simpanan walaupun mampu meraih pendapatan dari RM3,000 kepada RM18,000 pada bulan Ramadan. Mereka tak simpan duit itu sebaliknya beri kepada orang lain kerana rasa bersalah simpan duit,” katanya.
Ada juga satu ketika, Nuraizah hampir ingin menutup perniagaannya. Bagaimanapun, beliau tersedar, sebagai manusia, beliau hanya boleh berusaha tetapi pemberi rezeki itu adalah Allah.
Nuraizah bersyukur kerana berjaya mengatasi ujian demi ujian yang hampir mematahkan semangatnya selepas diberikan rezeki tanpa diduga.
“Jadi yakinlah bahawa semua kesusahan itu boleh kita tanggung dan membolehkan kita menjadi lebih mantap sebagai usahawan di masa akan datang,” katanya.
GERAN DARI AS
Hasil kejayaan membantu wanita meraih pendapatan, Madcash menerima geran dari AS untuk memperluaskan aktivitinya pada tahun 2020.
Antara aktiviti dijalankan adalah memberikan pendidikan keusahawanan dan cara menguruskan wang kepada 30 orang usahawan dengan kerjasama institusi perbankan.
“Peserta ada yang dari Sabah. Walaupun tidak pandai berbahasa Inggeris, mereka sanggup menggunakan terjemahan Google. Oleh kerana latihan dijalankan secara atas talian, mereka terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan internet.
“Di bawah program Grow the goose ini, kami membantu masyarakat keluar dari kemiskinan dengan melatih mereka berniaga. Ketika mak-mak pergi kelas keusahawanan, anak pun pergi belajar berniaga juga. Mereka perlu diberikan pendedahan awal mengenai keusahawanan” katanya.
IBU DORONG KEJAYAAN
Pesan ibu supaya berdikari dan tidak mengharapkan orang lain, sentiasa dipegang teguh Nuraizah.
“Mak selalu pesan, sebagai seorang perempuan, kita kena ada pendapatan sendiri, jangan bergantung kepada suami.
“Ketika saya mendapat tawaran tajaan belajar di Universiti Michigan, saya tidak mahu pergi sebab jauh. Tapi emak memberikan sokongan dan semangat kepada saya untuk mengejar impian saya,” katanya bercerita mengenai ibunya.
Selain ibu, Nuraizah mengagumi Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood iaitu Pengasas Mercy Malaysia atas kerja sukarela yang jalankan di dalam mahupun ke peringkat antarabangsa.
Nuraizah berusaha mengikut jejak beliau yang banyak menyumbang tenaga dan idea kepada pembangunan negara.










