Cerianya batik shibori sentuhan Nur Syuhadah

Cerianya batik shibori sentuhan Nur Syuhadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA ini, minatnya hanya tertumpu pada masakan dan bersukan. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mengisi masa lapangnya dengan aktiviti lain.

Namun, segala-galanya berubah apabila Nur Syuhadah Yaacob,32, menyertai Program Membuat Batik Shibori pada 2019 di kampungnya, Sabak Bernam, yang sekali gus membenihkan rasa cinta pada seni kraf itu.

“Mula-mula dulu saya tidak tahu langsung tentang batik ini, tetapi tertarik untuk belajar kerana cara pembuatannya mudah tanpa perlu memiliki skil atau kepandaian melukis.

“Lama-kelamaan timbul keinginan mendalaminya. Saya kemudian mengikuti kursus anjuran Kraftangan Selangor di Kemas Simpang 5, selama dua kali bagi mengasah bakat dan kemahiran,” katanya.

Malah, lulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ini turut menuntut ilmu dengan dua guru iaitu Zaifuddin Samsudin dan Shuhairul Hafizie Shuib.

Shibori merupakan antara teknik penghasilan fabrik yang menjadi amalan masyarakat Jepun zaman lampau.

Kaedah itu sama seperti pendekatan ikat celup yang digunakan secara meluas di Malaysia.

Selain ikat celup, teknik pembuatan batik di Malaysia adalah secara blok, conteng, stensil atau cetakan, canting dan tritik.

Wanita asal Sungai Panjang, Sabak Bernam ini menjelaskan, pembuatan batik shibori bukan sekadar hobi semata-mata.

Sebaliknya medan untuknya menghilangkan tekanan atau stres.

“Setiap kali selesai membuat batik, saya sentiasa teruja untuk melihat hasilnya terutama corak dan warna.

“Sedikit sebanyak hobi ini dapat menghilangkan tekanan kerana unsur kejutan yang diperolehi sebaik sahaja ikatan atau lipatan kain dibuka,” katanya yang bertugas sebagai ahli Majlis Sabak Bernam.


Enam teknik
Batik shibori boleh dihasilkan dengan menggunakan enam teknik iaitu arashi, itajime, miura, kumo, nui dan kanoko.

Arashi bermaksud mengikat dan melilit fabrik pada batang paip atau barangan silinder dengan menggunakan tali atau getah bagi membentuk jalur garisan.

Itajime pula melipat dan mengapit kain dengan medium seperti papan, bongkah kayu serta penyepit dengan menggunakan getah atau tali bagi menghasilkan garisan bersegi.

Teknik miur memerlukan seseorang mencabut atau menarik benang pada kain dengan menggunakan jarum kait manakala kumo dihasilkan dengan cara melipat kain secara halus dan rapi sebelum diikat ketat bagi membentuk imej seakan-akan sarang labah-labah.

Nui terhasil dengan menjahit jelujur pada kain dan kanoko adalah proses mengikat bahagian tertentu menggunakan getah atau tali untuk menghasilkan corak yang bertompok.

“Kesemua teknik ini akan menghasilkan corak berbeza, abstrak dan indah selepas dicelup dengan warna.

“Sebab itulah saya jatuh cinta pada shibori kerana hasilnya eksklusif dan sukar ditiru orang lain,” katanya.


Jadi rutin harian
Tempoh selama dua hari diambilnya untuk mendalami formula warna.

Mengakui proses berkenaan agak sukar pada peringkat permulaan, namun bertukar mudah apabila Nur Syuhadah mulai arif tentang kod warna dan formula.

Ujarnya, rutin membuat batik dilakukan dua kali dalam sehari iaitu pukul 8 hingga 10 pagi dan 4 hingga 6 petang.

“Tempoh menyiapkannya tidak lama dengan sehelai baju mengambil masa antara 15 minit hingga satu hari.

“Jika ikatan biasa dan ringkas, cukup sekadar mencelup warna selama 15 hingga 20 minit dan kemudian terus basuh serta keringkan,” katanya.

Selain sebagai hobi, beliau turut berkongsi ilmunya dengan mengajar penduduk setempat dan pelancong di inap desa, Nazbell Cottage & Garden di Sungai Panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya