KUALA LUMPUR: Purata sebanyak 85 kes sehari direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada mereka yang menjadi mangsa jenayah komersial pada minggu ke-17 awal tahun ini sehingga 28 April lalu.
Sepanjang tempoh sama, sebanyak 10,106 kes jenayah komersial direkodkan melibatkan nilai kerugian RM866.2 juta
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berbanding tempoh sama tahun lalu, sejumlah 10,931 kes dan nilai kerugian RM534,393,834 dicatatkan.
“Kes bagi tahun ini telah mencatatkan penurunan sebanyak 8.2 peratus namun nilai kerugian mencatatkan kadar peningkatan sebanyak 62.1 peratus.
“Selain itu, sebanyak 4,880 kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah sejak 1 Januari hingga 28 April lalu dan jumlah ini adalah bersamaan 48 peratus daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka pada tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 4,598 pertuduhan atau bersamaan 42 peratus.
Dalam perkembangan lain, Ramli memberitahu, sebanyak 199,552 akaun bank dikenal pasti JSJK telah digunakan sindiket penipuan untuk melakukan pemindahan wang mangsa tipu.
Menurut beliau, akaun berkenaan dikenal pasti memenerusi portal Semakmule yang berperanan sebagai medium perkongsian maklumat antara polis dan masyarakat.
“Daripada jumlah tersebut, 99,439 tangkapan berjaya dilakukan. Sebahagiannya iaitu 22,113 atau 22.2 peratus berjaya dituduh di mahkamah,” jelasnya.
Beliau berkata, adanya portal Semakmule ini diharap dapat membantu masyarakat untuk menilai dan menentukan kesahihan sesuatu urus niaga atau urusan pembayaran yang sedang mereka lakukan.
“Namun begitu, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak tahu mengenai portal Semakmule yang mana ia membolehkan masyarakat membuat semakan nombor akaun bank individu dan syarikat yang telah dilaporkan terlibat dengan aktiviti penipuan.
“Adalah diharapkan kemudahan portal ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat dan seterusnya menjadi salah satu ‘mekanisma’ yang efektif dalam pencegahan jenayah komersial,” katanya. – UTUSAN










