Tumbuhan berdaun hijau hilangkan stres - Utusan Malaysia

Tumbuhan berdaun hijau hilangkan stres

Sarah bersama suami mengusahakan nurseri sejak Mei 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lihat sahaja di mana-mana kediaman pasti ada yang selitkan pokok dalam dekorasi. Bukan sekadar membangkitkan suasana, tanaman hiasan juga sebenarnya memiliki manfaat tersendiri kepada pemilik kediaman.

Menurut pemilik bersama nurseri Plantbae.my, Sarah Zuklifli tanaman hiasan seperti pokok lidah jin atau juga dikenali sebagai snake plant membantu membersihkan pengudaraan dalam rumah.

“Begitu juga dengan peace lily yang mampu memberikan kesegaran dan ketenangan pada kediaman.

“Malah ada juga yang mahukan pokok ati-ati untuk berubat cara tradisional. Pokok sayuran pula untuk dimakan,” katanya kepada Seri.

Tambahnya, selain mengindahkan lagi kediaman, pemandangan hijau dapat membantu seseorang untuk menghilangkan tekanan setelah pulang ke rumah selepas seharian letih bekerja.

“Kebanyakan kediaman, terutama yang minimalis memilih pokok sebagai dekorasi tanaman terutama selepas pandemik Covid-19. Apabila dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai orang merasakan keperluan tanaman hiasan sebagai pelengkap dekorasi rumah.

“Jenis tanaman yang kini mendapat sambutan dan sentiasa mendapat sambutan, Fiddle leaf fig, daunnya cantik, besar dan unik menyebabkan dia adalah pokok yang ‘instagrammable’.

“Selalu ada di kafe, malah di premis-premis perniagaan lain. Mudah dijaga, cuma memerlukan jumlah cahaya matahari yang mencukupi. Jika cahaya yang masuk ke kediaman tidak mencukup, pokok fiddle akan ‘sendu’ juga,” katanya yang mengusahakan nurseri bersama suami, Irwan Shafrizan sejak Mei 2020.

Perniagaan dijalankan secara atas talian itu berpusat di kediamannya di Kampung Melayu Subang, Selangor.

Nurseri itu menawarkan kira-kira 50 tanaman, termasuk sayur-sayuran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×