Syawal gamit kerinduan pada keluarga - Utusan Malaysia

Syawal gamit kerinduan pada keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap orang ada pengalaman dan kenangan indah setiap kali tibanya Aidilfitri.Paling tidak dilupakan saat dapat mencium tangan dan memeluk insan-insan tersayang terutama ibu, ayah dan saudara mara terdekat di pagi hari raya.

Pun begitu, bagi Fatin (bukan nama sebenar) sudah hampir sedekad dia tidak berkesempatan berbuat demikian.

“Sudah hampir 10 tahun saya tidak pulang ke kampung berhari raya bersama keluarga. Usahkan mencium tangan ibu ayah, bertanya khabar dan berjumpa merekapun tidak pernah,” luahnya ketika menyertai misi sukarelawan mengagihkan makanan kepada gelandangan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Usai mengagihkan bungkusan makanan saya mengajaknya ke tepi bangunan untuk mengetahui lebih lanjut kisah wanita bertubuh kecil itu.

Memulakan cerita, Fatin berkata perjalanan hidupnya tidak seperti orang lain yang berjalan dengan baik.

Kisah hidupnya bermula selepas bapa terlantar sakit.

Selepas bapa tidak lagi mampu bekerja, segala tanggungjawab sebagai ketua keluarga tergalas di bahu ibu.

Ibu yang sebelum ini suri rumah terpaksa melakukan dua pekerjaan setiap hari untuk menyara mereka sekeluarga.

Pada sebelah pagi ibu mengambil upah membersihkan rumah orang manakala pada sebelah petang bekerja sebagai pembantu di kantin sekolah rendah berhampiran.

Sebagai anak sulung daripada lima beradik, Fatin sering diberi tanggungjawab menjaga bapa dan adik-adik.

Ketika itu jiwa remaja Fatin memberontak. Dia tidak dapat menerima kesempitan hidup yang ditanggung keluarga.

Paling tidak boleh diterima apabila ibu meminta dia berhenti sekolah bagi menguruskan bapa dan adik-adik sementara ibu keluar bekerja.

Tanpa berfikir panjang, pada satu malam Fatin memberanikan diri melarikan diri untuk mengikut kakak kawannya ke Kuala Lumpur.

Episod hidup Fatin bermula sebaik dia menjejak kaki ke kota metropolitan itu.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Pekerjaan sebagai operator kilang tidak seperti dijanjikan, sebaliknya Fatin diminta menjadi pelayan di sebuah kelab dangdut.

Pada awalnya, Fatin cuba menolak, lama-kelamaan dia semakin selesa dengan pekerjaannya itu.

Kurang tiga bulan selepas itu, pemilik kelab menawarkannya pekerjaaan sebagai escort girl yang tidak ubah seperti pelacur.

Sukar menolak, apalagi melihat upah lumayan yang diterima.

Kerjanya mudah hanya melayan nafsu lelaki.

Paling kurang RM500 senang-senang masuk ke dalam poketnya setiap malam.

Seminggu, memasuki bulan dan tahun, Fatin semakin selesa dengan pekerjaan dan kehidupannya.

Dia tidak langsung memikir tentang dosa pahala. Apa yang penting dia bebas melakukan apa sahaja tanpa sesiapa menghalang.

Memasuki tahun keempat, Fatin bertemu dengan Salim (bukan nama sebenar) yang juga pelanggan tetapnya.

Lelaki itu menyatakan hasrat mahu menjadikannya isteri yang sah.

Selepas memikirkan hidup yang tiada kesudahan, akhirnya Fatin menerima lamaran Salim dengan syarat, mereka sama-sama bertaubat.

Kurang enam bulan mengecapi bahagia bergelar suami isteri, Salim ditimpa kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawanya.

Buntu tiada tempat untuk bergantung hidup, Fatin kembali semula kepada pekerjaan asalnya.

Disebabkan Fatin masih muda dia kembali menjadi rebutan lelaki-lelaki berhidung belang.

Sepanjang tempoh itu, Fatin terus hanyut bergelumang maksiat.

Katanya, setiap kali tibanya Ramadan dan Aidilfitri bukan dia tidak ingat kepada keluarganya di kampung.

Namun dia cuba sedaya upaya memadam ingatan dan perasaan rindu terhadap ibu, ayah dan adik-adiknya.

Semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu, permintaan terhadap perkhidmatan mereka tidak serancak sebelum.

Disebabkan itu ada antara mereka hilang punca pendapatan. Dalam tempoh itulah Fatin dan beberapa rakan senasib menjadi gelandangan.

Ketika itulah dia bertemu dengan Mazlan (bukan nama sebenar) salah seorang sukarelawan yang mengikuti misi memberi bantuan kepada gelandangan di sekitar ibu negara.

“Saya tidak menyangka, pertemuan beberapa kali dalam sesi pengagihan makanan itu membawa kami ke peringkat yang lebih serius.

“Mazlan menyuarakan hasrat untuk memperisterikan saya,” ceritanya.

Ramadan tahun ini genap tiga tahun dia bergelar isteri kepada Mazlan.

Sepanjang tempoh itu, kehidupan mereka sangat bahagia.

Tidak pernah sekalipun suami mengungkit kisah silam Fatin.

Fatin benar-benar berasa sangat dihargai dan disayangi. Fatin juga banyak mendalami ilmu agama daripada suaminya.

Sesekali dia mengikut suami turun padang menyertai misi sukarelawan di sekitar dan luar Kuala Lumpur.

“Terlalu banyak kenangan saya di lorong-lorong ini. Di sini juga saya berpeluang bertemu dengan kawan-kawan yang masih dengan pekerjaan terdahulu,” ujarnya sebak.

Sambung Fatin, dia sangat bersyukur kerana Allah mempertemukan dia dengan suaminya sekarang.

Sekurang-kurangnya dia tidak berterusan hidup bergelumang dengan dosa.

“Sejujurnya saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Namun ada perkara yang seolah-olah membuatkan hidup saya tidak tenang,” luahnya tersekat-sekat.

Saya membiarkannya seketika melayan perasaan.

“Saya rindukan keluarga di kampung, terutama ibu, ayah dan adik-adik,” Fatin berterus terang.

Sambung Fatin sebelum ini bukan suami tidak memujuknya untuk pulang ke kampung bertemu keluarga, namun dia sendiri belum bersedia.

Katanya, entah mengapa sejak dua tiga bulan kebelakangan ini terutama pada awal menjelangnya Ramadan lalu, ingatan dan kerinduan terhadap ibu, ayah dan adik-adiknya begitu kuat.

Dihitung, sudah sembilan kali Aidilfitri, dia tidak menyambutnya bersama keluarga di kampung.

“Sekiranya Allah izinkan saya pulang ke kampung Syawal ini, perkara pertama yang saya ingin lakukan mencium, memeluk dan memohon keampunan daripada ibu dan ayah.

“Selama ini saya terlalu banyak dosa dengan mereka,” ujarnya mengakhiri perbualan tidak sengaja lewat petang itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya