fbpx

Suami bertopeng agama, bernafsu syaitan

Sejuk mata memandang, datang daripada keturunan orang yang baik-baik, mempunyai akhlak dan budi bahasa serta menghormati orang tua, warak dan cintakan agama.

Itu antara ciri-ciri dambaan wanita setiap kali mencari bakal calon pilihan suami.

Namun bukan semua bernasib baik dalam misi pencarian jodoh diimpikan.

Ada yang terpaksa menanggung sengsara, mimpi indah bertukar ngeri apabila bersuamikan lelaki bertopengkan agama.

Minggu ini saya kongsikan kisah Anna Julia (bukan nama sebenar) mangsa suami bertopengkan agama yang bernafsu buas.

Dalam emel dikirimkan baru-baru ini, wanita berusia 35 tahun itu menceritakan penderitaannya selama hampir dua tahun bersuamikan lelaki sedemikian rupa.

Dalam emelnya Anna Julia menulis, memandangkan usianya ketika itu mencecah akhir 20-an, dia menyerahkan soal jodoh kepada kedua ibu bapanya di kampung.

Bagi Anna Julia, apa yang baik bagi mereka, baik jugalah untuk dirinya.

Dipertemukan pertama kali, Anna Julia sejujurnya jatuh cinta kepada Hairul, (bukan nama sebenar) yang disifatkan sebagai lelaki yang berperwatakan menarik, warak dan tinggi ilmu agamanya.

Lelaki pertengahan usia 30-an yang sering diundang menyampaikan ceramah di kampung mereka itu, berjaya menambat hati ibu bapa Anna Julia.

Atas persetujuan bersama, akhirnya Anna Julia dan Hairul disatukan.

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Selepas berkahwin, suami bukan sahaja meminta Anna Julia mengubah penampilannya dengan mengenakan jubah dan berniqab bahkan memintanya berhenti kerja.

Kurang seminggu menikmati kemanisan berumahtangga, suami mula tunjuk belang apabila memaksa Anna Julia melakukan aksi pelik ketika bersama.

Setiap kali cuba menolak, Hairul menjadi marah dan kaki tangan sering hinggap pada tubuh kecil Anna Julia.

Mulai dari hari itu, dia mula hidup dalam penderitaan.

Suami ternyata bijak menyembunyikan perbuatannya. Kesan lebam ditutup dibalik niqab dan jubah labuh.

Setiap kali keluar atau ada perjumpaan keluarga, tiada seorang pun menyedari apa yang ditanggungnya Anna Julia selama ini.

Paling tidak dilupakan pada pertengahanbtahun 2018, Anna Julia keguguran selepas ditendang suami di bahagian perut semasa hamil empat bulan.

Pun begitu, suami tidak pernah rasa bersalah walaupun sudah masuk kali ketiga dia keguguran dan keluar masuk hospital.

Akibat dari kejadian itu, doktor mengesahkan dia sudah tidak boleh mengandung lagi.

Keadaan itu berterusan selama hampir dua tahun tanpa pengetahuan ahli keluarga Anna Julia.

Sepanjang hidup bersama, satu persatu tembelang suaminya pecah.

Beberapa kali dia dapat mengesan suami sering bertukar-tukar mesej tidak bermoral dengan wanita lain.

Gambar dan video lucah juga memenuhi galeri telefonnya. Temberang suaminya curang terbongkar apabila pada suatu hari Anna Julia didatangi seorang wanita muda yang mengakui hamil hasil hubungan terlarang mereka.

Sebaik pulang dari luar daerah selepas selesai tugas menyampaikan ceramah, mereka bergaduh besar.

Namun Hairul tetap dengan pendirian menafikan perbuatannya.

Kesabaran Anna Julia akhirnya sampai kemuncak apabila dia mengambil keputusan untuk berpisah.

Menurut Anna Julia, selama ini dia bertahan hidup dengan lelaki itu kerana enggan memalukan kedua ibu bapanya di kampung.

Ketika memutuskan untuk berpisah, ibu bapa pada awalnya menentang.

Namun setelah diceritakan perkara sebenar, mereka terkejut dan akur.

Bagi Anna Julia, suaminya tidak ubah seperti penunggang agama yang hanya mementingkan nafsu serakahnya sendiri.

Kerana orang sepertinya, ahli agamawan yang benar-benar berakhlak mulia dan baik terpalit sama.

Sehingga hari ini, bekas suaminya masih lagi berstatus seorang ustaz yang memberi ceramah ke sana sini di seluruh negeri.

Dalam emelnya, Anna Julia turut menasihatkan gadis dan wanita yang masih belum bertemu jodoh agar lebih berhati-hati dalam soal memilih calon suami.

Katanya, banyak perkara yang seseorang itu terlepas pandang dalam tempoh merancang.

Kadang-kadang penampilan dan perwatakan alim membuatkan seseorang buta hati.

Anna Julia turut mengakui tidak pernah berdendam dengan bekas suaminya.

Dia juga percaya, Allah meminjamkan lelaki yang dikahwini selama hampir dua tahun itu untuk mengujinya sebagai seorang insan.

Allah lebih tahu apa yang terbaik untuknya.

Berdasarkan kisah Anna Julia, ternyata pemilihan seorang wanita bagi mencari bakal suami yang memiliki ciri-ciri calon pilihan suami yang baik menurut Islam adalah sukar sebenarnya.

Lebih-lebih lagi andai dipertemukan lelaki bertopengkan agama, yang dari luaran kelihatan berperwatakan cintakan agama seperti pakaian, tutur kata, tetapi bernafsukan syaitan.

Memang benar, bahawa jodoh dan pertemuan itu takdir dan ketentuan Allah SWT.

Namun ketentuan ini tidak menafikan usaha dan ikhtiar.

Dalam Islam, banyak kriteria yang boleh dijadikan panduan, antaranya, datang daripada keturunan orang yang baik-baik lagi rajin beribadah.

Mempunyai akhlak dan budi bahasa mulia serta menghormati orang tua, berpegang kepada agama, rajin beribadah dan tidak berpenyakit keturunan seperti gila atau penyakit merbahaya yang membawa kesengsaraan hidup.

Apa yang lebih utama dari segalanya ialah agamanya, sebagaimana firman Allah SWT bermaksud:
Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, Bahawasanya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (al-Hujuraat 49:13).

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN