PPA Machang lahirkan dua hafiz, khatam 30 juzuk Al-Quran

PPA Machang lahirkan dua hafiz, khatam 30 juzuk Al-Quran

TENGKU Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (tiga kiri) menyampaikan penghargaan kepada banduan yang bergelar huffaz di PPA Machang, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang melakar sejarah baharu apabila dua penghuninya bergelar hafiz selepas berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran secara lengkap.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan) Jabatan Penjara, Zaidi Hamid berkata, pencapaian berkenaan membuktikan institusi penjara bukan sekadar tempat menjalani hukuman, sebaliknya medan pemulihan diri dan pembinaan masa depan lebih baik.

“Alhamdulillah, melalui modul pemulihan dan pendidikan Tahfiz Al-Quran, Jabatan Penjara berjaya melahirkan 37 hafiz dalam kalangan banduan termasuk dua di negeri ini.

“Program tersebut bermula 2023 dan mereka telah menghafal 30 juzuk dalam tempoh tertentu. Mereka adalah prospek (banduan) yang berada di 14 sekolah tahfiz di penjara di negara dengan penyertaan seramai 277 pelajar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Khatam Perdana Hafazan Al-Quran Sskolah Tahfiz Al- Quran Al-Furqan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di PPA Machang di sini hari ini yang sempurnakan oleh Yang Dipertua Maik Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Zaidi memberitahu, semua program ini diselia sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing.

“Di Sabah terdapat dua pusat iaitu PPA Labuan dan Penjara Kota Kinabalu, manakala di Perak pula di PPA Batu Gajah serta Penjara Tapah.

“Adalah menjadi harapan kami untuk melahirkan lebih ramai hafiz daripada prospek di penjara di negara ini,” ujarnya.

Zaidi berkata, semua prospek terlebih dahulu melalui temuduga sebelum layak untuk memasuki sekolah tahfiz di penjara negara ini.

Sementara itu, Tengku Mohamad Rizam berkata, pencapaian dua hafiz tersebut bukan sahaja membuktikan kesungguhan pelajar, malah menunjukkan keberkesanan sistem pembelajaran Al-Quran yang dilaksanakan.

Katanya, kejayaan ini mencerminkan keberhasilan matlamat utama penubuhan sekolah iaitu untuk melahirkan golongan hafiz dalam kalangan prospek atau dikenali sebagai mujahid.

“Ia, sekali gus membantu mereka memulihkan diri, seterusnya menyumbang bakti kepada masyarakat.
bagi mujahid di sini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN