Banjir kilat melanda Seksyen 13, TTDI Jaya

Banjir kilat melanda Seksyen 13, TTDI Jaya

Banjir kilat
SKUAD Pantas bersama Seksyen Saliran MBSA mengepam limpahan air Sungai Damansara yang menyebabkan banjir dekat Jalan Opera, TTDI Jaya, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - Gambar MBSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebahagian pusat perniagaan Seksyen 13 dan Taman Tun Dr. Ismail Jaya (TTDI Jaya), Seksyen U2 di sini, hari ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat dan limpahan air Sungai Damansara.

Air yang dilaporkan naik kira-kira 0.4 meter susulan hujan lebih turut menyebabkan kesesakan jalan raya di Jalan Opera, TTDI Jaya, Jalan Lembing dan Jalan Renang di Seksyen 13.

Pengarah Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd. Fauzi Aziz Maamor berkata, banjir kilat itu berikutan hujan lebat di bahagian hulu Sungai Damansara.

Katanya, MBSA sudah menggerakkan Skuad Pantas dan Seksyen Saliran bagi operasi mengepam air di lokasi terjejas.

“Pasukan PANTAS bersama Jabatan Kejuruteraan MBSA telah bekerjasama dengan menggerakkan pam mudah alih bagi melaksanakan kerja-kerja pengepaman air secara berperingkat di kawasan yang terjejas.

“Usaha itu dijalankan di Jalan Opera C, Seksyen U2. Pasukan MBSA masih berada di lokasi terlibat sehingga kini bagi memastikan kerja-kerja pengepaman berjalan lancar.

“Sementara di Seksyen 13, banjir kilat berpunca daripada limpahan hujan dan aliran air berlebihan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, Jalan Opera kerap banjir kerana terletak di kawasan lebih rendah dari paras sungai. Bagaimanapun, banjir di kedua-dua kawasan surut pada pukul 9 malam, tadi.

Sementara itu, pemerhatian di laman Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati paras air Sungai Damansara di TTDI Jaya mencecah 8.06 meter (m) menghampiri paras bahaya 8.3m.

Di Batu Tiga bacaan pada pukul 7 petang tadi menunjukkan paras 5.73m pada tahap amaran, namun bacaan di kedua-dua stesen paras air itu menunjukkan penurunan masing-masing pada paras 7.17m dan 5.48m. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN