Kebanyakan rumah terutamanya di kawasan bandar memiliki ruangan terhad seperti pangsapuri atau kondominium.
Ruang terhad itu memerlukan pemilik untuk lebih kreatif menyusun atur perabut supaya ruang kediaman tidak kelihatan padat dan semak.
Penggunaan kabinet dapur jenis modular mungkin boleh dipertimbangkan bagi menggantikan kabinet pasang tetap yang kebiasaannya memakan lebih banyak ruang selain kurang praktikal.
Kabinet modular adalah pilihan yang lebih moden yang direka bagi memenuhi keperluan. Dan yang paling penting lebih menjimatkan dan mudah.
Ia adalah sejenis kabinet dapur yang dihasilkan menggunakan pilihan modul atau unit yang sesuai untuk membentuk dapur praktikal yang berfungsi sepenuhnya.
Jenama kabinet modular, Cadula antara yang menghasilkan kabinet jenis itu bagi kediaman dengan ruangan yang terhad.
Pengasas bersamanya, Samantha Lau berkata, rekaan kabinet yang dihasilkan bukan sahaja moden dan bergaya, malah turut bersifat praktikal dan mudah dipasang.
“Koleksi baharu Cadula terdiri daripada siri gaya pintu shaker yang pastinya membawa aura tenang di dapur dengan tiga warna pastel tona sejuk untuk dipilih iaitu Green Moss, Pebble Grey, dan Blanche White.
“Warna natural itu menjadikan ia mudah untuk disuai padan dengan pelbagai warna dinding,” katanya.
Ada dua rekaan yang boleh dipilih mengikut tema yang diminati sama ada kedesaan rustik atau kombinasi moden.
“Kedua-dua reka bentuk datang dengan pilihan petak bersaiz laci yang dilampirkan di bawah Kabinet.
“Semua pintu kabinet dilengkapi dengan tombol pintu logam yang memberikan kelancaran dan cengkaman yang selesa,” jelasnya lagi.
Ia dihasilkan daripada kayu melamine yang digabungkan dengan ketepatan teknologi yang telah dipatenkan bagi mengekalkan kualiti kayu.









