Bila makanan menjadi 'masalah' - Utusan Malaysia

Bila makanan menjadi ‘masalah’

Taman permainan lokasi beriadah untuk keluarga. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Banyak stok basikal. Ramai pembeli ya?,” Tegur saya kepada seorang penjual sewaktu menunggu suami melihat model baharu basikal terpakai di kedai terpakai dari Jepun.

“Tak juga kak. Basikal yang masuk ini semua belum bertuan. PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu tempahan memang banyak, tak menang tangan kami, tetapi kini sudah semakin slow. Orang kita ni naik basikal hangat-hangat tahi ayam jer kak. Tengok tu, ada berlonggok-longgok lagi basikal kami dah baiki tetapi pemiliknya tak ambil,” katanya merungut sambil menunjukkan berpuluh-puluh basikal bertuan, tetapi dibiarkan sahaja bawah pokok tak diambil tuannya ada pelbagai alasan.

Ruang sempit kedai itu tidak membenarkan basikal itu disusun elok dalam premis. Sebaliknya dilonggokkan bertingkat-tingkat dan dilitupi plastik hitam bagi mengelakkannya daripada ditimpa hujan. Barangkali tuan basikal pun sudah tidak ingat atau buat-buat lupa mengenai basikalnya.

Apa yang dikatakan penjual itu mengingatkan saya kepada basikal suami diletakkan elok tepi pintu rumah. Bukan sebab suami sudah tidak rajin berbasikal, tetapi saya pesan untuk tidak keterlaluan. Biarpun malang tidak berbau, banyak insiden malang penunggang basikal menyebabkan saya seriau, lebih-lebih lagi dia gemar berbasikal bersendirian.

Atas faktor masa, saya kira berjalan sekitar kediaman kami yang landai dan berbukit, memadai untuk dan itulah juga dinasihatkan doktor yang saya selalu temui, tidak semestinya di taman awam.
Hasrat berjogging di taman sebenarnya sudah terbantut. Bukan sebab lokasinya jauh, tetapi dipenuhi orang ramai yang datang untuk berkelah dan berborak santai.

Tak habis makan di kedai dan rumah, di bawa ke taman pula. Bentang tikar dan keluarkan makanan. Rajin sungguh melayan tekak, sedangkan sekitar jam 5 dan 6 petang adalah waktu terbaik beriadah bukannya makan.

Di negara kita, terlebih makan sudah menjadi masalah buat penduduknya bila obesiti meningkat pada kadar membimbangkan. Satu daripada dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan dan situasi itu meningkatkan risiko penyakit kronik dan penyakit tidak berjangkit.

Ia dibuktikan dengan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), dijalankan setiap empat tahun, mendapati 50.1 peratus rakyat Malaysia mencatatkan berat badan berlebihan dengan 19.7 peratus daripada mereka menghadapi masalah obesiti pada 2019. Kanak-kanak pula, 30 peratus daripada mereka berumur lima hingga 13 tahun, mencatatkan masalah obesiti.

Wanita dan kaum ibu seharusnya ambil tahu perkembangan ini, bukannya 24 jam memikirkan menu untuk ahli keluarga.

Ukuran sayang bukan berdasarkan apa yang ahli keluarga kita makan, tetapi kualitinya. Marilah kita ubah mentaliti itu sebab ibulah penentu dalam membentuk pemakanan sihat dalam kalangan ahli keluarga.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.