KUALA LUMPUR: Pengurus kepada Husain merangkap bapanya, Jamalulhayat mengesahkan mengalami masalah paru-paru dan perlu mendapatkan rawatan di hospital.
Namun, disebabkan penglibatan dalam Talk To My Manager musim ke-2, dia terpaksa menangguhkan rawatan bagi memberi tumpuan dalam menguruskan anaknya itu.
“Saya mengalami masalah paru-paru tahap empat dan keadaan saya amat kritikal sebenarnya. Tapi saya semangat demi berkorban untuk anak.
“Saya selepas ini akan menyusun kembali jadual rawatan di hospital. Saya tak nak ditahan di wad, cuma selesaikan urusan pertandingan ini dahulu.
“Memanglah nyawa adalah lebih penting. Tetapi apalah salahnya saya berkorban untuk anak saya,” katanya.
Jamalulhayat berkata demikian selepas konsert minggu pertama TTMM musim ke-2, semalam.
Disoal tentang perancangan merakam single, jelas jamalulhayat dia memberi sokongan penuh kepada Husain untuk merakam lagu selepas tamat program itu nanti.
“Perancangan sudah kearah itu, haluan dia ceburi dalam industri muzik.
“Saya memang ada perancangan itu dia, sudah berada dalam industri ini, agak rugi jika tidak ke arah itu. Kami akan beri sokongan sepenuhnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Husain memaklumkan perlu menghabiskan pembelajaran dahulu sebelum dibenarkan menyertai TTMM musim ke-2.
“Saya selesaikan pembelajaran, kemudian barulah bapa benarkan saya masuk pertandingan ini.
“Sebelum ini saya pernah dua kali mencuba, satu di Suke TV manakala satu lagi dalam One In A Million. Itupun saja cuba nasib sahaja,” katanya.- UTUSAN










