Belajarlah berjenaka secara bijak - Utusan Malaysia

Belajarlah berjenaka secara bijak

Manusia dilahirkan dengan bakat termasuklah melawak dan bersenda gurau. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Manusia memerlukan hiburan. Selain nyanyian, senda gurau dan gelak tawa antara bahan kita perlukan untuk ‘hidup’.

Ketawa merembeskan hormon endorfin yang menenangkan dan mengurangkan hormon stres cortisol. Kalau muka ketat bukan sahaja tidak sihat untuk mental kita, perkembangan anak-anak pun terjejas bila keluarga penuh dengan tekanan.

Manusia dilahirkan dengan bakat termasuklah melawak dan bersenda gurau. Ingat tak anak-anak kita yang belum boleh bercakap tetapi sudah pandai membuat aksi melucukan melalui kelakuan dan memek mukanya?.

Kalau kita tertawa dengan aksi dilakukan, secara psikologi kanak-kanak berkenaan akan memahami bahawa lawaknya diterima orang dewasa.

Begitupun persekitaran banyak mempengaruhi bentuk lawak individu. Bila semakin besar dan sudah boleh bercakap, bentuk lawak anak kita pun kian berubah. Justeru asas melawak yang dibolehkan dan ‘diharamkan’ seharusnya ditekankan pada usia kanak-kanak dan bermula dari rumah lagi.

Elakkan jenaka yang mengeji fizikal atau hal ehwal sensitif seperti agama dan bangsa. Ini termasuk jugalah gurau prank.

Tegaskan kepada anak-anak mengenai jenaka sedemikian kebanyakkannya hanyalah untuk konten, maka ia perlu dielakkkan kerana ia suatu bentu penipuan dan penganiyaan kepada orang lain.

Saya khuatir, sekiranya, jenaka seperti ini tidak dibendung, ia boleh menjadi ikutan generasi muda.

Jenaka yang tidak elok ini juga boleh mempengaruhi perkembangan sosial kanak-kanak dan mewujudkan tingkah laku anti sosial di mana mereka sering mengejek, mentertawakan, memperkecil-kecilkan dan juga boleh membawa kepada sikap suka membuli.

Saya katakan begitu kerana semakin ramai yang tidak pandai melawak dan bersenda gurau keterlaluan.

Kita ada undang-undang, usahlah membuat jenaka syok sendiri sebab kalau disabitkan kesalahan jenayah yang boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233(1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa kepada denda dan boleh juga dipenjara.

Sebagai rakyat Malaysia di negara berbilang bangsa dan agama, seharusnya kita bersifat sensitif dan berdiri atas nilai kesopanan dan kesusilaan, serta saling menghormati.

Lawak dan senda gurau boleh, asalkan ia membantu mengangkat nilai-nilai perpaduan, kesatuan, kasih sayang untuk kebaikan masyarakat Malaysia, bukannya menghasut atau melontarkan penghinaan.

Apa hasilnya, melainkan ia memberikan implikasi melebarkan jurangkan persefahaman antara masyarakat. Berjenaka dan senda gurau pun kenalah tengok khalayak, bukannya 24 jam nak melawak. Kita tengok pun naik meluat. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

NOR AFZAN MOHAMAD YUSOF, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya