PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu mencari solusi segera berkenaan kegagalan Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk berfungsi di dua venue iaitu Temerloh, Pahang dan Likas, Sabah pada aksi pertama Liga Super 2024/2025.
Teknologi yang baharu diperkenalkan tahun ini dalam Liga Malaysia (Liga M) itu telah mengalami masalah teknikal di saat akhir sehingga tidak dapat berfungsi pada perlawanan melibatkan Sri Pahang menentang Kelantan dan Sabah bertemu Penang FC.
Pemerhati bola sepak, Hasnizam Uzir berkata. kegagalan itu mungkin berlaku disebabkan fasiliti venue itu sendiri ataupun masalah teknikal yang sememangnya luar daripada jangkaan.
Justeru, peminat-peminat diharap tidak terlalu awal menjatuhkan hukum dan terus mengkritik setiap langkah positif yang dilaksanakan badan pengelola liga berkenaan.
“Ini adalah pertama kali kita menggunakan VAR, jadi bila pertama kali kemahiran daripada sudut teknikal masih lagi boleh dikatakan belum mahir sepenuhnya, ini adalah proses normal, sebelum boleh berlari kita kena merangkak dahulu.
“Jadi kita harap dalam masa terdekat ini daripada segi teknikal dan penyiaran perlu selari kerana ia juga melibatkan kerjasama antara penyiaran.
“Mungkin sesuatu kawasan ada masalah internet atau sistem kuasa elektrik atau ada sebab-sebab tertentu yang diluar kawalan mereka.
“Fasiliti venue juga memainkan peranan utama untuk memastikan VAR berfungsi dengan baik, selain faktor cuaca juga. Banyak faktor yang boleh dikatakan tetapi saya harap MFL dapat mencari solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah ini untuk perlawanan seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Masalah teknikal membabitkan VAR ini tidak hanya berlaku dalam Liga Super, malahan liga-liga luar juga pernah menghadapi masalah sama.
Contohnya, melibatkan saingan Liga Arab Saudi, dengan beberapa kali VAR tidak berfungsi, sekali gus menunjukkan teknologi itu masih memiliki kelemahan.
Malaysia muncul antara 68 negara mendapat pengiktirafan dan kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menggunakan VAR.
MFL memiliki empat set VAR dengan mengguna pakai kaedah trak bergerak untuk memastikan teknologi VAR dapat beroperasi di setiap venue perlawanan Liga Super musim ini.-UTUSAN










