KUANTAN: Pengurusan Kopi Saigon milik DAZ Group Resources di Indera Mahkota 7 di sini merasa bertuah dan teruja apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan mencemar duli melawat kiosk jualan milik syarikat berkenaan di Tasek KotaSAS di sini malam kelmarin.
Baginda berdua turut berkenan menandatangani plak serta minum Kopi Saigon di kiosk berkenaan.
Pengurus syarikat Kopi Saigon Indera Mahkota 7, Danial Asyraf Zuhairi, 29, berkata, pihaknya menjunjung kasih atas kesudian Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal mencemar duli melawat ke kiosk jualan syarikat tersebut.
“Syukur ke hadrat Allah SWT kerana Tuanku Sultan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang berkenan mencemar duli melawat dan menandatangani plak di kiosk kami.
“Menjunjung Kasih Paduka Baginda Sultan Pahang dan Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Danial Asyraf berkata, pihaknya dalam perancangan membuka cawangan Kopi Saigon di Teluk Cempedak, Kuantan dan Temerloh.
“Sasaran kita adalah untuk membuka cawangan Kopi Saigon di setiap daerah di seluruh negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai khususnya penggemar kopi boleh pergi ke Indera Mahkota 7 jika ingin minum Kopi Saigon. – UTUSAN










