fbpx

22 Januari 2022, 2:11 am

Itik panggang ala Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menu berasas itik bukan satu yang asing, namun tak dapat disangkal bahawa ia lebih mendapat perhatian pencinta makanan Cina, susulan sinonim dengan budaya kulinari mereka.
Namun kebelakangan ini, ia semakin mendapat sambutan dalam kalangan pencinta kulinari Melayu, ekoran kemunculan restoran yang mempertaruhkan masakan berasas itik khususnya itik salai yang digulai.
Namun, bagi pengusaha Melayu yang merasakan menu sebegitu memerlukan modal agak besar, segelintir memilih untuk menghasilkan produk-produk itik panggang.

ALA MELAYU
Antara pengusaha yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat itik panggang, ialah Mohamad Ainudin Abdullah Suhaimin.
Tampil penuh berani mempertaruhkan resipi rahsia itik panggang dengan sentuhan rempah ratus perapan Melayu, dia membangunkan gerai Itik Bakar Gembo di Jalan Kebun, Shah Alam.
Kata pemuda 35 tahun yang berasal dari Raub, Pahang itu, ilham menceburi bisnes makanan berasas itik salai mula terbenih seawal 2013.
“Pada tahun itu, saya ada menyertai seminar keusahawanan. Ada seorang peserta yang juga rakan berkongsi cerita, dia berniaga itik salai di Negeri Sembilan.
“Dari situ, kami bertukar pandangan. Dia mendorong saya menceburi bisnes yang sama kerana prospek luas, di samping dapat mempelbagaikan seni kulinari tempatan khususnya dalam kalangan penggemar itik berbangsa Melayu,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Katanya, pada waktu itu, jarang ada pengusaha Melayu yang menjual itik panggang.
“Kalau ada pun, ia lebih menjurus menu ala Cina, menggunakan ramuan yang sinonim dengan mereka. Ini sekali gus menyukarkan pelanggan mendapatkan itik panggang halal, dan jika ada sekali pun, pengusaha cenderung menghasilkan itik panggang ala Cina,” katanya.
Didorong semangat mahu memberi alternatif kepada pelanggan Muslim, maka dia membuat kajian menu itu.

KAJIAN
“ Hampir setengah tahun saya membuat resipi itik panggang. Ini termasuk kajian terhadap bahan-bahan yang sinonim dengan orang kita.
“Saya fikir, orang Melayu memang terkenal dengan menu panggang, seperti ayam golek, ayam percik dan ayam bakar berempah.
“Sayang kalau kekuatan menu panggang tradisi ini terhad kepada produk ayam, jadi saya bangunkan resipi itu dan gunakan ia sebagai bahan perapan itik pula,” katanya.

JIMATKAN KOS
Ceritanya lagi, usaha itu berbaloi apabila pada Julai 2013, jenama Itik Bakar Gembo mula muncul.
“Kami menggunakan konsep makanan jalanan (street food). Pertama, dengan konsep sebegini, kita boleh kurangkan kos produk sebab sudah jimat sewa kedai.
“Pada masa sama, penjimatan kos sewa membolehkan kami serap kos itu untuk menghasilkan bahan perapan yang mewah. Hasilnya, perapan itik panggang kami menawarkan rasa cukup menyelerakan kerana tidak kompromi bab bahan mentah,” katanya.
Menggunakan lebih 10 ramuan rahsia, itu membolehkan jenama Itik Bakar Gembo bertahan selama lebih tujuh tahun.

SAMBUTAN
“Untuk hari biasa, kami jual kira-kira 20 ekor itik manakala hujung minggu pula boleh mencecah lebih 40 ekor.
“Ada pelanggan dari jauh yang sanggup memesan menggunakan khidmat kurier, kata mereka itik di sini rasanya lain macam dan tak sama dengan itik panggang seperti kelaziman,” katanya.
Mempertaruhkan pemanggang khas ‘apollo’ yang menggunakan arang kayu, sensasi rasanya memang luar biasa.
“Harga juga berpatutan. Seekor itik panggang dengan berat basah kira-kira 2.2 kilogram cuma RM45, setengah ekor pula RM25.
“Kami juga tawarkan saiz suku ekor itik panggang dengan harga RM13, selain menu nasi itik berharga RM8 saja,” katanya.

Itik Bakar Gembo
Alamat: Tapak Pasar Pagi Ahad, Jalan Kebun Tambahan, Seksyen 30, Shah Alam, Selangor
Tel: 018 367 6450
Menu: Itik panggang pelbagai saiz, nasi itik

POPULAR

KOSMO! TERKINI