Fastco teroka dinamik perlindungan sosial gig - Utusan Malaysia

Fastco teroka dinamik perlindungan sosial gig

PEKERJA ekonomi gig mahu kerajaan memasukkan mereka di bawah perlindungan Akta Kerja 1955. – GAMBAR HIASAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Ekonomi gig di Malaysia terus berkembang, namun pekerja gig menghadapi cabaran perlindungan sosial dan kestabilan kewangan. Dalam suasana pertumbuhan pesat ini, diperlukan pendekatan holistik untuk meningkatkan perlindungan dan kesejahteraan pekerja gig tanpa mengorbankan fleksibiliti mereka. Baru-baru ini, Wartawan Utusan Malaysia, Hendra Winarno berpeluang menemubual Pengurus Besar Fastco Malaysia, Pencipta FastJobs dan FastGig, Joelle Pang mengenai isu ekonomi gig ini.

UTUSAN: Bagaimana pekerja gig melihat keadaan semasa berkaitan perlindungan sosial dalam ekonomi gig dan apakah cabaran khusus yang dihadapi oleh mereka dari segi kestabilan pekerjaan, penjagaan kesihatan dan jaminan kewangan?

JOELLE: Ekonomi gig merupakan segmen pekerjaan baharu yang semakin meningkat di Malaysia dan telah menyaksikan lonjakan yang ketara sejak kebelakangan ini dengan saiz pasaran bernilai RM1.33 bilion pada suku ketiga 2023.

Kemampuan ekonomi gig menawarkan fleksibiliti masa bekerja, kontrak kerja yang pendek dan akses kepada pekerjaan dengan mudah antara faktor pekerjaan gig menjadi pilihan terutamanya golongan belia. Ketika ini, kira-kira 4 juta individu di Malaysia atau lebih satu perempat pasaran kerja negara terlibat dalam pekerjaan gig.

Meskipun ekonomi gig menjadi segmen pekerjaan pilihan, pekerja gig turut menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kekurangan perlindungan sosial, kestabilan kewangan dan peningkatan kemahiran dan kerjaya.

Pekerjaan gig yang bersifat sementara menyukarkan mereka untuk menerima faedah seperti yang diterima dalam pekerjaan tradisional.

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia (KSM), tiada undang-undang khusus bagi mengawal selia dan melindungi golongan pekerja gig kerana mereka tidak tersenarai di bawah kawalan Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76). Sistem pekerjaan gig dan terma ‘contract for service’ yang dipersetujui sewaktu awal penyertaan menjadikan pekerja gig tidak terpakai di bawah Akta 732 (Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011) and Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020.

Pekerja gig tidak tergolong dalam penerima gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan. Walaupun pendapatan mereka melebihi RM1500 (bergantung kepada kerajinan dan kepantasan menyelesaikan pesanan), kestabilan faedah dan pendapatan mereka dipengaruhi oleh kebergantungan kepada permintaan pelanggan. Ini menyukarkan mereka untuk membuat simpanan dalam keadaan kecemasan atau menabung untuk persaraan.

Selain itu, pekerja gig tidak mempunyai perlindungan kesihatan atau insurans. Mereka yang terlibat dalam e-hailing dan p-hailing berisiko mengalami kecederaan fizikal atau kemalangan.

Pada pandangan anda, apakah pendekatan yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan perlindungan sosial untuk pekerja gig tanpa menjejaskan fleksibiliti masa bekerja yang menjadi tarikan utama mereka terhadap konsep pekerjaan ini?

Satu pendekatan yang mampu meningkatkan perlindungan sosial pekerja gig adalah pengenalan kepada dasar yang merangkumi sistem perlindungan sosial yang fleksibel dan bermanfaat kepada pekerja gig tanpa menjejaskan fleksibiliti dan dan kelebihan segmen pekerjaan ini.

Sebagai contoh, di FastCo, pekerja gig didorong untuk membuat caruman melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan inisiatif caruman sukarela KWSP.

Jenis-jenis caruman ini penting kerana ia memberikan fleksibiliti terhadap kewangan pekerja gig yang diperlukan oleh mereka dan pada masa yang sama mampu menjamin kestabilan kewangan masa depan mereka.

Cadangan untuk menubuhkan SEGiM oleh kerajaan juga disokong, kerana ia akan memantapkan industri gig dan memberi peluang ekonomi kepada pelbagai demografi.

Bolehkah anda terangkan dengan lebih terperinci bagaimana model gabungan tenaga kerja (blended workforce) mampu menjadi penyelesaian strategik terhadap kekurangan jumlah pekerja dan tenaga buruh yang dihadapi oleh industri yang bergantung kepada pekerja gig?

Model gabungan tenaga kerja merupakan gabungan pekerja sambilan, pekerja luar jangka, dan pekerja sepenuh masa dalam satu lingkungan kerja.

Ia memberikan fleksibiliti kepada majikan dan kebolehsuaian pekerjaan. Melalui sistem ini, majikan dapat menyesuaikan bilangan pekerja mengikut keperluan semasa, sambil pekerja gig memberi bantuan ketika bebanan kerja meningkat atau projek khas dijalankan.

Model ini membolehkan syarikat kekal responsif terhadap perubahan pasaran dan meningkatkan keupayaan untuk kekal inovatif.

Apakah kelebihan yang boleh diterima oleh syarikat yang menggunakan pendekatan gabungan tenaga kerja dan bagaimana ia mampu meninggalkan impak positif terhadap keseluruhan pasaran kerja?

Gabungan tenaga kerja meningkatkan kecekapan dan ketangkasan dalam menyelesaikan tugasan serta mempercepatkan tindak balas kepada pasaran. Ini memberi kelebihan kompetitif kepada syarikat.

Majikan boleh mengumpulkan pasukan kerja gig dan tradisional dengan kemahiran yang betul untuk menangani peluang baru. Pekerja gig dapat memperoleh kemahiran baru dan meningkatkan prospek kerjaya mereka.

Walaupun pekerja gig sering diambil untuk permintaan jangka pendek, syarikat cenderung untuk mengekalkan pekerja tetap semasa kegawatan ekonomi untuk mengurangkan kadar pengangguran. Fleksibiliti dalam pekerjaan gig membantu penyesuaian pasaran buruh dengan lebih mudah.

Apakah sebarang kelemahan atau kebimbangan yang wajar diberi perhatian oleh syarikat apabila melaksanakan strategi gabungan tenaga kerja dan bagaimanakah cabaran ini dapat dikurangkan?

Sebelum syarikat melaksanakan strategi pekerjaan ini, penting untuk syarikat menilai menilai secara menyeluruh potensi yang mungkin berlaku kesan daripada pelaksanaan strategi berkenaan. Penilaian ini harus mengambil kira kumpulan yang mungkin terjejas oleh perubahan ini bagi sebagai langkah awal mengurangkan potensi konflik yang mungkin timbul.

Pelan yang ditakrifkan dengan baik dan mudah diikuti adalah penting untuk melancarkan pelaksanaan model gabungan tenaga kerja baharu. Wujudkan kerjasama dengan platform pengambilan pekerja sedia ada yang telah melaksanakan model pekerjaan ini terlebih dahulu bagi membantu pelaksanaan strategi ini menerusi khidmat nasihat serta amalan terbaik semasa proses peralihan.

FastJobs dan FastGig sentiasa menyokong perniagaan di Malaysia melalui strategi yang masih baharu ini. Kami sentiasa memastikan kesinambungan bagi organisasi melaksanakan strategi pekerjaan ini serta keupayaan untuk memenuhi permintaan pasaran:

FastJobs: Platform ini membantu perniagaan mengenal pasti kemahiran yang diperlukan, menghubungkan mereka dengan calon yang sesuai, dan memastikan pendekatan proaktif terhadap jurang kemahiran serta selaras dengan pasaran pekerjaan yang berkembang.

FastGig: FastGig menyediakan pelan yang jelas dan mudah diikuti untuk memudahkan penyepaduan lancar pekerja mahir teknologi ke dalam operasi perniagaan. Dengan kepakaran kami dalam pengurusan tenaga kerja gabungan (sepenuh masa, sambilan, dan luar jangka), perniagaan akan dibimbing melalui aspek logistik dan strategik dalam pelan peralihan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×