PETALING JAYA: Malaysia dan Singapura bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan langsung asing (FDI), pelancongan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta perlindungan pekerja ekonomi gig.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu hasil pertemuan berasingan dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri, Gan Kim Yong, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, pertemuan bersama Lawrence turut menumpukan potensi projek strategik yang mampu menarik lebih banyak FDI ke Malaysia sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
“Kami juga membincangkan kerjasama baharu dalam sektor pelancongan, TVET dan memperkukuh hubungan people-to-people sebagai asas persefahaman jangka panjang.
“Kedua-dua negara turut meneliti amalan terbaik memperkasa undang-undang berkaitan ekonomi gig agar pekerja dalam sektor itu mendapat perlindungan sewajarnya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia berkongsi inisiatif perlindungan sosial dan dasar progresif bagi menyokong pekerja gig sebagai sebahagian usaha membina ekonomi digital berdaya saing.
Dalam pertemuan bersama Gan Kim Yong, kedua-dua pihak sependapat tentang kepentingan memanfaatkan potensi pasaran besar ASEAN bagi meningkatkan perdagangan dua hala.
Beliau berkata, peranan Malaysia sebagai hab halal utama rantau ini yang disokong oleh infrastruktur taman perindustrian halal, pensijilan bertaraf dunia dan kerjasama perdagangan serantau.
“Singapura juga telah menghantar tenaga pengajar TVET ke Malaysia, selaras dengan komitmen memperkukuh ekosistem pendidikan dan latihan teknikal,” ujarnya.
Kedua-dua pemimpin Singapura itu turut menghargai kepimpinan Malaysia dalam menangani krisis di persempadanan Thailand-Kemboja semasa memegang jawatan Pengerusi ASEAN.
Lawatan kerja Ahmad Zahid di Singapura turut disertai sesi makan tengah hari bersama Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
Ahmad Zahid yakin hasil pertemuan itu akan membuka lembaran kerjasama strategik yang lebih erat demi kemakmuran bersama kedua-dua negara. – UTUSAN










