Baru bekerja? Ini enam cara efektif untuk menabung - Utusan Malaysia

Baru bekerja? Ini enam cara efektif untuk menabung

AMALAN menabung perlu dimulakan lebih awal untuk masa depan yang lebih terjamin. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMASUKI alam pekerjaan buat kali pertama merupakan satu detik penting dalam kehidupan seseorang. Di sebalik semangat untuk mencapai kebebasan kewangan, penting untuk membina tabiat kewangan yang sihat sejak awal.

Salah satu langkah asas ialah amalan menabung.

Walaupun pelbagai cabaran kewangan sering dihadapi pada peringkat permulaan kerjaya, ia tidak bermakna mustahil untuk dilakukan.

Sehubungan itu, Ringgit minggu ini bersama Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkongsi enam langkah efektif khusus buat individu, terutamanya golongan muda yang baru melangkah ke dunia pekerjaan.

1. Rancang belanjawan bulanan
Menyediakan belanjawan bulanan membolehkan individu mengenal pasti arah aliran keluar masuk wang.

Langkah ini penting agar setiap sen yang diperoleh digunakan secara berhemah, seterusnya mengelak pembaziran dan membolehkan tabungan tetap dilakukan setiap bulan.

2. Nilai semula perbelanjaan sedia ada

Buat tinjauan semula terhadap perbelanjaan harian dan bulanan perlu dilakukan secara berkala.

Setiap perbelanjaan mesti mempunyai justifikasi yang munasabah dan mampu ditanggung. Mampu di sini bermaksud, walaupun berbelanja, seseorang itu masih boleh membuat simpanan secara konsisten.

3. Kira nisbah khidmat hutang sebelum mohon pembiayaan
Sebelum membuat permohonan pinjaman bank, pastikan kelayakan dikira terlebih dahulu menggunakan nisbah khidmat hutang atau Debt Service Ratio (DSR).

Contohnya, dengan pendapatan bersih RM5,000 dan DSR 50 peratus, komitmen hutang maksimum adalah RM2,500.

Angka ini menjadi panduan agar bayaran bulanan seperti pinjaman rumah dan kereta tidak membebankan, sekali gus membolehkan simpanan diteruskan.

4. Daftar eCCRIS untuk pantau hutang
Mendaftar dengan sistem eCCRIS yang dikendalikan Bank Negara Malaysia (BNM) amat digalakkan.

Melalui ini, individu boleh memantau tahap keberhutangan serta sejarah bayaran bulanan mereka, sekali gus membantu membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.

5. Jangan benarkan nama digunakan untuk pinjaman
Elakkan daripada membenarkan orang lain termasuk saudara mara untuk menggunakan nama anda untuk membuat permohonan pembiayaan.

Jika berlaku kegagalan pembayaran, anda yang akan menanggung akibatnya kerana secara sah dianggap sebagai peminjam dalam kontrak ter­babit.

6. Waspada terhadap penipuan kewangan

Scammer semakin licik menggunakan pelbagai helah untuk menipu. Oleh itu, amalkan kawalan kendiri dengan sentiasa berkenaan maklumat yang dikongsi di media sosial.

Selain itu, berhati-hati dengan janji manis pelaburan yang menawarkan pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat.

Jika mula ada rasa syak, selidik dan kaji peluang pelaburan tersebut. Sebaiknya melaburlah dengan entiti yang sah yand dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN