Citra Kesom mahu jadi pengeluar minuman kombucha nasional - Utusan Malaysia

Citra Kesom mahu jadi pengeluar minuman kombucha nasional

NADIA Yahaya (dua dari kiri) ketika mengikuti pameran untuk mempromosikan produk keluaran Citra Kesom.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMALAN penjagaan kesihatan yang baik dan menyeluruh sememangnya menjadi keutamaan kepada Nadia Yahaya, 44 yang merupakan pengamal kesihatan holistik dan pernah mempunyai pasukan kesihatan bergerak ataupun wellness mobile team.

Dari situlahlah Citra Kesom Sdn. Bhd. (Citra Kesom) ditubuhkan pada 2019 dengan matlamat untuk membuka pusat kesihatan untuk menawarkan rawatan alternatif seperti rawatan akupuntur klinikal, bekam klinikal, hipnoterapi klinikal dan herba.

Bagaimanapun, dia yang mempunyai Diploma Klinikal Akupunktur dari Universiti Xiamen berdepan dengan pandemik Covid-19 pada 2020 dan terpaksa menukar rancangan perniagaan yang kini tertumpu kepada air minuman kombucha atau lebih dikenali sebagai cendawan Mekah oleh orang Melayu.

Pengasas dan Ketua Eksekutif Citra Kesom itu kini mengeluarkan minuman botani berfungsi di bawah jenama Boomchaz Kombucha bagi minuman dalam botol dan Boomchaz Xtive, didatangkan dalam bentuk serbuk.

Katanya, matlamatnya kini adalah untuk menjadi pengeluar minuman kombucha dan fermentasi nasional menjelang 2026 dan menyebarkan kebaikan dengan minuman botani berfungsinya kepada 1 billion usus menjelang 2030.

“Sekarang kita lihat ramai yang mempunyai masalah kesihatan mental dan sebagainya. Perkara ini juga mungkin boleh berkaitan dengan masalah usus dan pencernaan.

“Kombucha adalah teh yg diperam menggunakan gula dan yis untuk proses pemeraman selama 30 hari. Acid yang dihasilkan melalui proses ini bagus untuk pencernaan kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nadia berkata, kombucha keluarannya yang sudah mendapat pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dihasilkan dalam kelompok kecil, dibancuh dengan bahan organik yang terpilih dan digabungkan dengan teh hitam dan hijau premium terpilih.

Katanya, Boomchaz Kombucha dibancuh menggunakan kaedah tradisional, tetapi tetap memastikan proses pembuatan kombucha bersih dan mematuhi garis panduan halal daripada Jakim serta mempunyai kandungan alkohol 0.5 peratus, lebih rendah dari ketetapan Jakim pada satu peratus.

Selain itu, Nadia juga menitik beratkan soal alam sekitar, sosial dan takbir urus (ESG) dalam perniagaannya dengan menggunakan ‘scoby’ yang terhasil semasa proses menghasilkan minuman fermasi itu sebagai sabun.

“Bila kami menghasilkan kombucha ada ada ‘scoby’, jadi apabila terlalu banyak kami telah mengambil keputusan untuk menjadikanya sebagai sabun.

“Sabun itu, kami jual di Pasar Besar di Pasar Seni dan tidak disangka penerimaannya sangat baik,” ujarnya.

Tambahnya, kombucha mereka terdiri daripada enam perasa iaitu asli, campuran beri, halia nanas, delima saffron, kayu manis epal dan pink guava.

Syarikat juga mengeluarkan dua minuman kombucha baharu sempena Merdeka iaitu The 5igther dan The Defender iaitu masing-masing perisa bunga raya, roselle, sumac serta madu Borneo dan durian belanda.

Nadia berkata, produknya kini boleh didapati di beberapa farmasi, kafe, Pasar Besar di Central Market dan pihaknya juga dalam usaha untuk memasarkan hotel-hotel terkemuka di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN