Chesue Frozen Food tembusi pasar raya besar dengan sijil halal - Utusan Malaysia

Chesue Frozen Food tembusi pasar raya besar dengan sijil halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membantu Chesue Frozen Food mengembangkan lagi pasaran karipap sejuk bekunya untuk memasuki pasar raya besar, kedai serbaneka dan central kitchen atau dapur utama rangkai restoran.

Pengasasnya, Suhaila Janidi berkata, dia yang mula berkecimpungan dalam perniagaan makanan sejuk beku pada 2010 itu telah menerima pensijilan halal untuk produk karipap sejuk bekunya sejak 2016.

Bekas perancang projek dari syarikat minyak dan gas itu berkata, pengiktirafan halal penting bagi sesebuah perniagaan itu terutamanya produk makanan untuk pergi lebih jauh dan menembusi pasaran yang lebih luas.

“Banyak pengusaha makanan terutamanya dalam kalangan bumiputera kurang untuk mendapatkan pensijilan halal ini sedangkan ia boleh membantu mereka untuk pergi lebih jauh lagi.

“Apabila kita ingin memasuki pasaran pasar raya, hotel atau central kitchen, perkara yang mereka akan tanya adalah sama ada produk ini sudah mempunyai pengiktirafan halal.

“Menembusi pasaran yang lebih luas ini menjadikan pendapatan kita lebih terjamin,” katanya ketika ditemui di premis pembuatan karipapnya di Taman Subang Pelangi di sini, baru-baru ini.

Suhaila berkata, ketika memulakan perniagaan dahulu, dia bermula dengan kafe dan juga beberapa jenis makanan sejuk beku yang terdiri daripada kuih-kuih tradisional termasuk lepat, cucur badak dan kuih keria.

Namun begitu, dia berkata, sama seperti perniagaan lain, perniagaannya juga terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19 dahulu.

“Ketika ini, tempahan yang paling banyak kami terima adalah karipap dan kuih karipap inilah yang membantu untuk perniagaan kami untuk bertahan.

“Oleh itu, kami memilih untuk menumpukan kepada pengeluaran karipap sejuk beku. Dengan memberi tumpuan ini, kami juga lebih efisien dalam perniagaan dan memberi kecekapan dalam operasi,” ujarnya.

Tambahnya, Chesue Frozen Food menawarkan lima jenis karipap sejuk beku iaitu daging, ayam, kentang, sadin dan juga telur pada harga pasaran bermula daripada RM6.50. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×