PARAMOUNT Property Development Sdn. Bhd. (Paramount Property) kali ini menawarkan The Ridge Garden, sebuah kawasan perumahan yang menjanjikan kehidupan lebih megah kepada penduduknya.
Terletak di kawasan kediaman tertinggi di Bukit Banyan, Sungai Petani, Kedah, The Ridge Garden yang dilancarkan pada 19 November 2023, mampu mencapai nilai pembangunan secara kasar iaitu, RM62.12 juta.
The Ridge Garden mempunyai 19 unit banglo dan 30 unit rumah berkembar, sekaligus menjadikan kawasan, perumahan bertanah paling premium di antara hartanah yang terdapat di Bukit Banyan.
Penolong Pengurus Besar, Jabatan Jualan dan Pemasaran Paramount Property, Teoh Boon Hooi berkata, pembangunan di Bukit Banyan telah diperluaskan apabila syarikat pemaju itu membeli kawasan seluas 137.1 ekar.
Menurutnya, keluasan yang telah dibeli Paramount Property itu merupakan unit terakhir pada 520 pembangunan asal.
“Dengan hanya mempunyai secara keseluruhan 49 unit kediaman di The Ridge Garden, Paramount Property juga mengetengahkan taman kediaman yang berkepadatan rendah dan mempunyai kawalan keselamatan yang ketat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, The Ridge Garden menyediakan kemudahan seperti pengecasan bagi kenderaan elektrik dan penggunaaan panel solar, yang mana elemen-elemen tersebut dapat memfokuskan kehidupan penghuni lebih ke arah kelestarian terhadap alam sekitar.
Kata beliau, rumah di kawasan perumahan tersebut turut mempunyai pemasangan yang didapati di kediaman moden yang lain seperti penggunaan kunci digital untuk pintu utama, saluran paip internet, loceng pintu dan penggera keselamatan.
Bagi lot banglo yang terdapat di The Ridge Garden mempunyai saiz besar iaitu 55 kali 100 ke atas, dengan pilihan binaan seluas 4,180 kaki persegi dan lebih daripada 4,400 kaki persegi.
Rumah banglo jenis A menawarkan empat bilik tidur, manakala banglo jenis B menawarkan lima bilik tidur.
Kesemua bilik tidur bagi kedua-dua jenis rumah banglo tersebut, disertakan dengan bilik mandian en suite.
Bagi anjung di pekarangan rumah banglo The Ridge Garden yang digunakan untuk meletakkan kereta boleh memuatkan sehingga empat buah kenderaan.
Harga banglo dua tingkat yang ditawarkan di The Ridge Garden bermula dari RM1,599,000.
Sementara itu, rumah berkembar yang terdapat di taman kediaman tersebut, menawarkan saiz lot 40 kali 90, dengan saiz binaan luas 3,301 kaki persegi dengan harga bermula dari RM959,000.
Setiap rumah berkembar berkenaan dilengkapi dengan empat bilik tidur yang dilengkapi bilik mandi en suite persendirian manakala anjung parkir kereta boleh memuatkan tiga buah kenderaan.
Menurut Teoh Boon Hooi, The Ridge Garden mengetengahkan konsep terbuka bagi membolehkan perancangan dalaman yang mudah dan sesuai untuk keperluan pelbagai generasi.
Justeru itu, beliau berkata, bagi pembeli yang membeli hartanah di Bukit Banyan, menggunakan Pintasan Timur Sungai Petani, dan hanya 6 kilometer dari persimpangan Lebuhraya Utara-Selatan.
Selain itu, penghuni The Ridge Garden boleh memperoleh kemudahan komersial seperti Amanjaya Mall, Village Mall, Pasaraya Besar Mydin dan Lotus’s yang terdekat. – UTUSAN







