Bumiputera kurang pendedahan pelaburan unit kedai

Bumiputera kurang pendedahan pelaburan unit kedai

PELABURAN unit kedai boleh mendatangkan pendapatan pasif kepada pemilik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIT kedai atau lebih dikenali shoplot tergolong dalam hartanah komersial sebaris dengan kilang, gudang, pejabat kecil pejabat rumah (SOHO) dan pejabat kecil pejabat maya (SOVO) yang menjadi antara pelaburan terbaik bagi bumiputera ketika ini.

Jika bertepatan dengan lokasi dan trafik pengguna, ia boleh menjadi antara pendapatan pasif yang menguntungkan pemilik.

Namun, masih ramai bumiputera yang tidak menggunakan peluang ini kerana mungkin tidak mendapat pendedahan mengenai kebaikan memiliki lot kedai dan sebagainya.

Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM), PMgr Sr Ishak Ismail berkata, pelaburan dalam unit kedai itu mempunyai beberapa kelebihan dalam pelbagai aspek berbanding dengan unit perumahan.

“Pertama adalah dari segi peningkatan hasil pulangan unit kedai berbanding rumah. Contohnya, peratusan pulangan unit kedai boleh mencapai enam hingga lapan peratus berbanding rumah sekitar tiga hingga empat peratus sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.

Selain itu, beliau berkata, kos penjagaan yang rendah juga menjadi satu kelebihan dalam pelaburan itu, terutamanya jika unit kedai itu kosong dan mudah diadaptasi oleh penyewa mengikut keperluan perniagaannya.

“Kebiasaannya, pemilik hanya membayar cukai tanah, cukai pintu dan insurans bangunan dan penyewa akan menanggung segala kos penjagaan seperti penyelenggaraan unit kedai itu.

“Permintaan unit kedai yang memberangsangkan boleh menyebabkan ramai orang ingin menyewa dan pemilik juga boleh menaikkan kadar sewaan, sekali gus meningkatkan pulangan modal,” ujarnya.

Ishak berkata, pelabur bumiputera juga perlu melihat peningkatan nilai unit kedai itu untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, peningkatan nilai unit kedai kebiasaannya lebih tinggi berbanding hartanah lain disebabkan oleh permintaan di sesebuah kawasan tersebut, terutama di kawasan strategik.

“Sebagai contoh, di kawasan Desa Pandan, Kuala Lumpur pada 90-an, harga unit kedai tiga tingkat hanya sekitar RM500,000 hingga RM600,000 sahaja dan nilainya sekarang boleh mencapai lebih RM3.5 juta.

“Ia satu peningkatan yang begitu besar jika dibandingkan dengan harga rumah ketika itu sekitar RM80,000 dan sekarang mungkin hanya RM300,000 sahaja,” katanya.

Justeru, katanya, ini satu kelebihan besar bagi bumiputera untuk melabur di unit kedai dan perlu merebut peluang kerana kerana jumlah unit kedai yang ditawarkan oleh pemaju adalah terhad sekali gus menjadikan permintaannya lebih tinggi.

Sementara itu, pelabur hartanah lelong, Muhammad Ihsan Zainal Abidin berkata, pemilikan bumiputera terhadap unit kedai adalah rendah iaitu hanya 5.4 peratus berbanding kaum lain mengikut Laporan Perangkaan Unit Perancangan Ekonomi.

“Ini bermakna, lima daripada 100 orang sahaja terdiri daripada bumiputera dan selebihnya adalah kaum lain.

“Ini terjadi kerana para pelabur bumiputera lebih mencari unit kediaman dan pembangunan unit kedai terlalu sedikit berbanding unit perumahan yang dibina pemaju,” katanya.

Beliau turut berpendapat, para pelabur bumiputera seharusnya mengambil peluang memiliki unit kedai kerana kenaikan nilai tahunannya lebih pantas berbanding kenaikan nilai unit kediaman.

“Sekiranya diperhatikan, kenaikan nilai unit kediaman lain cuma meningkat 7.1 peratus sejak 2010 berbanding 12.3 peratus bagi unit kedai.

“Ramai di antara kaum bumiputera tidak diasuh untuk menjadi seorang usahawan yang memerlukan sebuah premis untuk menjalankan perniagaan.

“Mungkin kerana itu pola pemikiran mereka tidak terlalu terbuka untuk mula mencari unit kedai sama ada memulakan perniagaan atau dijadikan aset untuk disewakan,” katanya.

Beliau berkata, ramai juga dimomokkan dengan harganya yang mencecah jutaan ringgit sedangkan harga di luar bandar lebih murah daripada unit kediaman.

Beliau mencadangkan agar bumiputera memfokuskan pelaburan unit kedai di luar bandar sebelum beralih ke kawasan elit yang boleh mencecah jutaan ringgit.

“Unit kedai tiada sekatan kos rendah seperti rumah kos rendah yang hanya boleh dibeli oleh mereka yang layak.

“Kakitangan kerajaan juga boleh mendapatkan pembiayaan dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), sekiranya unit tersebut berstatus rumah kedai di dalam geran,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, elakkan membeli unit kedai daripada pemaju yang menjanjikan bulan dan bintang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya