BERJAYA Times Square Sdn. Bhd. (BTS), anak syarikat Berjaya Asset Bhd. menawarkan kediaman pangsapuri mewah, Times Square 2 Kuala Lumpur yang memberikan penghuni kehidupan di tengah bandar raya dikelilingi pusat beli belah dan bangunan ikonik.
Pangsapuri mewah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM625 juta itu terletak bersebelahan Berjaya Times Square, sebuah pusat beli belah terkenal yang terletak di Jalan Imbi, lokasi di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur dan dijangka siap akhir 2027.
Pengarah Eksekutifnya, Syed Ali Shahul Hameed berkata, beliau yakin dengan jualan pembangunan baharu itu berdasarkan lokasi utamanya, kemudahan moden, harga yang menarik dan jaringan pengangkutan awam yang efisien.
“Projek ini menerima sambutan positif daripada pembeli. Setakat ini, lebih daripada 50 peratus unit pada fasa pertama telah pun dijual,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, pelabur muda berminat dengan unit satu bilik tidur kerana harga yang menarik dan status pegangan bebas di kawasan segitiga emas pusat bandar.
“Selain itu, pelabur sewa jangka pendek atau jangka panjang tertarik ke lokasi utama dan berdekatan dengan tiga laluan kereta api utama seperti monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT)
“Kami juga melihat ramai daripada golongan ekspatriat membeli untuk lokasi berprestij dan kemudahan dalam jarak berjalan kaki dari pusat membeli-belah utama dan ketersambungan yang unggul,” katanya.
Menampilkan sejumlah 629 unit pangsapuri servis di menara 41 tingkat, Times Square 2 direka untuk melengkapkan Berjaya Times Square, yang juga menempatkan pusat beli-belah, pangsapuri servis, taman tema dalaman, hotel dan pejabat.
Terdapat empat reka bentuk susun atur untuk Times Square 2 dengan binaan daripada 488 kaki persegi (satu bilik tidur) kepada 1,356 kaki persegi (tiga bilik tidur).
Harga jualan untuk fasa pertama bermula pada RM1,500 setiap kaki persegi.
Beberapa kemudahan yang disediakan di Aras 7 dan 41 ialah kolam infiniti 40 meter, bilik sauna, taman herba, kawasan barbeku, kawasan permainan haiwan peliharaan, dewan serba guna, taman permainan, taman berjalan kaki dan gim luar.
Di samping itu, projek itu akan mempunyai 15 unit runcit, termasuk lot restoran khusus atas bumbung dan pandu lalu.
Unit kediaman tersebut boleh diperoleh pada harga antara RM688,000 hingga RM2.65 juta.
Jelas Syed Ali, Times Square 2 ialah pembangunan bercampur yang direka untuk memenuhi keperluan penduduk tempatan dan luar negara yang turut mencari peluang pelaburan.
“Dengan susun atur yang fleksibel seperti dinding yang boleh diubah suai, saiz unit kecil untuk digabungkan menjadi satu unit dan reka bentuk dwi kunci menawarkan lebih fleksibiliti penyewaan kepada pelabur.
“Ini jelas diperakui sebagai pembangunan GreenRE Gold, dilengkapi dengan semua elemen untuk kehidupan mampan, contohnya panel solar di atas bumbungnya untuk membantu membekalkan tenaga kepada kemudahan biasa dan peralatan penjimatan tenaga yang lain,” katanya.
Times Square 2 adalah pembangunan berorientasikan Transit (TOD), konsep perancangan bandar yang bertujuan untuk mewujudkan komuniti yang memaksimumkan akses kepada pengangkutan awam.
Ideanya adalah untuk menggalakkan pertumbuhan yang mampan dengan mengurangkan pergantungan pada kereta, mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meminimumkan kesan alam sekitar.
Selain itu, terdapat dua jambatan atas yang akan menghubungkan Berjaya Times Square dan Pusat Bandar Bukit Bintang.
Projek itu juga menawarkan akses mudah dari lebuh raya utama, termasuk Lebuhraya Maju (MEX), Terowong SMART dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE).-UTUSAN










