Sektor hartanah dijangka mengukuh tahun ini - Utusan Malaysia

Sektor hartanah dijangka mengukuh tahun ini

BAKAL pembeli perlu membuat semakan supaya tidak ditipu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIDF Research kekal positif terhadap sektor hartanah melihat kepada landskap bagi sektor tersebut yang bertambah baik, sekali gus mendorong kepada trend pembelian yang mengukuh pada tahun ini.

Menurut nota penyelidikan firma tersebut, mereka juga melihat tinjauan pada Indeks Harga Rumah ( HPI) yang semakin stabil, Kadar Dasar Semalam (OPR) tidak berubah pada tiga peratus dan kediaman tidak terjual yang bertambah baik.

Selain itu, projek infrastruktur yang akan datang seperti Pautan Sistem Transit Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura dan LRT Pulau Pinang akan meningkatkan lagi ketersambungan seterusnya menyokong sentimen pembelian hartanah di Malaysia.

“Pilihan utama kami untuk sektor ini ialah Kumpulan Mah Sing kerana pendedahannya kepada segmen kediaman mampu milik dan kehadiran yang semakin meningkat dalam segmen hartanah perindustrian.

“Selain itu, kehadiran projek hartanahnya yang semakin meningkat di Johor akan terus menyokong pertumbuhan jualannya,” katanya dalam nota kajian.

MIDF Research juga menjadikan Matrix Concepts sebagai pilihan utama kerana pandangannya yang stabil, dipacu oleh perbandaran Sendayan di Seremban dengan memberi tumpuan kepada rumah mampu milik.

“Pengembangan bank tanah Matrix Concepts di Labu, Negeri Sembilan, akan terus menyokong pertumbuhan perniagaan pembangunan hartanahnya, di samping hasil dividen Matrix Concepts yang meningkat kepada 5.4 peratus,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai tinjauan harga hartanah yang stabil di Malaysia, MIDF Research berkata, menurut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), HPI meneruskan aliran menaik sejak 2022 selepas pembukaan semula ekonomi.

Katanya, HPI yang lemah pada 2020 dan 2021 disebabkan oleh wabak Covid-19.

“HPI merekodkan pertumbuhan sejak suku keempat tahun 2021 dengan pemulihan kukuh dilihat pada 2022 berikutan pasaran hartanah yang bertambah baik di Malaysia.

“HPI pada suku ketiga 2023 berada pada 219.4, lebih tinggi daripada 216.8 pada suku kedua 2023 dan 218.0 pada suku ketiga 2022,” katanya.

Dalam pada itu, MIDF Research berpendapat, peningkatan kos pembinaan dan tekanan inflasi mungkin mendorong harga hartanah naik sedikit apabila pemaju menyerahkan kos yang lebih tinggi kepada pembeli rumah.

Sementara itu, menurut firma penyelidikan berkenaan, permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah rendah pada Februari 2024.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah adalah lebih rendah pada Februari 2024 iaitu RM40.1 bilion, turun 21 peratus disebabkan tempoh yang singkat pada bulan tersebut.

Katanya, pada asas tahunan, permohonan pinjaman pada Februari 2024 adalah lebih rendah iaitu 19 peratus tahun ke tahun selepas pertumbuhan kukuh sebanyak 46 peratus pada Januari 2024.

Namun begitu, jumlah permohonan pinjaman dalam dua bulan pertama 2024 adalah lebih tinggi pada RM91 bilion iaitu naik lapan peratus tahun ke tahun, sekali gus menunjukkan permintaan yang lebih kukuh untuk hartanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN