ISU penyelenggaraan di beberapa kediaman hartanah berstrata seperti kondominium, rumah pangsa dan apartmen di dalam negara ini didapati masih kurang memuaskan.
Ini termasuk lif yang sering rosak, kawasan rumah sampah yang kotor, kemudahan seperti kolam renang dan gim yang tidak diselenggara secara berkala dan banyak lagi.
Perkara itu sekali gus memperlihatkan badan pengurusan pembangunan bagi kediaman itu tidak mengikuti undang-undang yang termaktub di dalam Akta Pengurusan Strata 2013, mengikut Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata 2015.
Secara amnya, pemilik rumah di kediaman tersebut perlu menunaikan tanggungjawab untuk membayar yuran seperti yang termaktub dalam perjanjian memiliki rumah berkenaan, yang bertujuan bagi memastikan penyelenggaraan fasiliti dilakukan dengan baik setiap masa.
Namun, masih terdapat badan pengurusan bangunan yang tidak melaksanakan penyelenggaraan yang setimpal dengan yuran bulanan dan tidak dinafikan ada juga sebilangan besar penghuni di sesebuah kediaman yang gagal melunaskan bayaran bulanan sehingga tunggakan mencecah puluhan ribu ringgit.
Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM), Sr Ishak Ismail berkata, penghuni kediaman berhak untuk menyaman badan pengurusan bersama atau Joint Management Bodies (JMB) dan Management Corporation (MC) sekiranya pihak tersebut tidak melaksanakan tugasnya.
Menurutnya, apabila badan pengurusan didapati menyalahi Akta Pengurusan Strata 2013 iaitu perkhidmatan dan penyelenggaraan yang disediakan oleh syarikat tersebut tidak memuaskan, maka penghuni berhak untuk menuntut hak mereka.
“Penghuni boleh membuat aduan secara persendirian tanpa secara berkumpulan, kerana laporan aduan boleh dibuat secara bersemuka dan panggilan dalam talian, namun harus disertakan dengan bukti.
“Penghuni juga boleh membuat aduan menerusi beberapa saluran iaitu yang pertama mengadu kepada pihak Commissioner of Building (COB) dan kedua kepada Tribunal Pengurusan Strata dengan syarat pengadu dan pihak yang diadukan tidak boleh diwakili peguam.
“Proses penyiasatan akan dijalankan dan tidak boleh mengenakan saman segera kerana pihak berkuasa perlu mengenal pasti dari manakah punca yang menyebabkan badan pengurusan leka tidak membuat penyelenggaraan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, kemungkinan penghuni sebelum ini telah mengadu kepada pihak JMB terlebih dahulu berhubung dengan penyelenggaraan yang kurang memuaskan berlaku di kediaman mereka, namun masih tiada tindakan daripada pihak JMB.
Katanya, perbadanan pengurusan seharusnya memahami tugas mereka yang berfungsi untuk membuat penyelenggaraan harta bersama dan perlu memastikan keadaan kemudahan awam itu sentiasa dalam keadaaan baik.
“Oleh itu, sekiranya didapati bersalah, maka mereka boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau tiga tahun penjara atau keduanya sekali,” katanya.
Sementara itu, pakar hartanah Universiti Utara Malaysia, Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, walaupun badan JMB dan MC diberi kuasa termasuk syarikat pengurus, merujuk kepada Akta Pengurusan Strata 2013, mereka tidak sepatutnya menunggu aduan daripada penghuni untuk membuat penyelenggaraan.
Katanya, sepatutnya terdapat jadual pengurusan bagi aktiviti penyelenggaraan pada setiap masa bagi memastikan harta bersama penghuni yang termaktub dalam kontrak pembelian kediaman pembeli berfungsi selalu.
“Ini merupakan tanggungjawab badan pengurusan, JMB dan MC untuk memastikan aktiviti penyelenggaraan berjadual berjalan dengan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kos penyelenggaraan semakin meningkat dari tahun ke tahun sehingga boleh menyebabkan yuran bagi pengurusan kediaman perlu dinaikkan.
Justeru katanya, ini boleh mengakibatkan penghuni gagal membuat bayaran bulanan sekali gus merencatkan proses penyelenggaraan badan pengurusan.
“Dalam mesyuarat agung yang sememangnya diadakan pada setiap tahun hendaklah memberi fokus terhadap isu ketidakcukupan dana pengurusan, yang mungkin berpunca daripada penghuni yang tidak melunaskan tanggungjawab pembayaran.-UTUSAN










