Jatuh bangun Mawar pencetus anak tudung eksklusif

Jatuh bangun Mawar pencetus anak tudung eksklusif

PERNAH jatuh dalam perniagaan, Mawar Ismail bangun menghasilkan anak tudung eksklusif yang mencatatkan jualan sehingga tiga juta helai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMODALKAN cuma RM30 untuk menghasilkan anak tudung, siapa sangka perniagaan butik pakaian Duchess Luxury Group Sdn. Bhd. (Duchess Luxury) kini mampu memberi saingan dalam bisnes fesyen muslimah.

Langkah itu juga mencetus kepada fenomena anak tudung eksklusif, Duchess By CPG yang terjual sehingga tiga juta helai setakat ini sejak dikeluarkan pada 2017. 

Tidak terhenti di situ, tudung sarung milik syarikat yang diberi nama, Tudung Kesorga pula berjaya meraih jualan sehingga sejuta helai ketika penularan pandemik Covid-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas syarikat berkenaan, Mawar Ismail, 39, kejayaannya menapak dalam dunia fesyen itu tidak datang bergolek.

Kata Mawar yang minat berniaga sejak kecil, beliau meninggalkan kerjayanya yang stabil sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej untuk memulakan bisnes restoran makanan Thailand pada 2016 demi mengejar impian menjadi usahawan.

“Bayangkan ketika itu saya tidak mempunyai pengalaman langsung untuk berniaga dan buka restoran kerana saya memang seorang yang suka masak. Tetapi bisnes tidak jalan dan terpaksa tutup.

“Itulah titik terendah saya kerana modal yang dikeluarkan ketika itu hilang macam itu sahaja dan saya pula terpaksa membayar pinjaman yang banyak kerana berhenti kerja dulu. Memang terduduk, murung beberapa hari dan tidak mahu keluar rumah,” ceritanya ketika ditemui di Butik Duchess By CPG di Jitra, baru-baru ini.

Di atas nama impian yang menggunung, Mawar tidak berlama-lama di fasa kejatuhan itu namun bangkit untuk mula merangka langkah baru dengan menceburi perniagaan pakaian muslimah seterusnya menghasilkan anak tudung.

“Saya bertudung dan sukar jumpa anak tudung yang besar serta selesa. Jadi timbul idea saya untuk keluarkan anak tudung tetapi saya tidak ada modal pada masa itu. Saya ingat dengan wang RM30 saya beli kain dan upah kawan saya jahit anak tudung dapatlah 15 helai.

“Selepas itu saya cari MUA Bella dan suruh dia promosi anak tudung ini tanpa sebarang bayaran kerana saya tidak mampu nak upah dia. Alhamdulillah, dia baik hati dan sudi promosi. Alhamdulillah, dapat sambutan,” katanya.

Jelas beliau, di sebalik tindakan banyak pihak lain yang mengambil kesempatan meniru anak tudung tersebut namun ia berjaya terjual sehingga tiga juta helai.

Penularan pandemik Covid-19 pada penghujung 2019 yang disusuli dengan beberapa siri perintah kawalan pergerakan pada 2020 kemudian menjadi ujian terbaharu Duchess By CPG selepas itu.

“Pada 2019, saya mampu membuka butik saya sendiri setelah beberapa tahun beroperasi di rumah. Tetapi kemudian Covid-19 melanda dan saya hampir kebuntuan kerana butik terpaksa ditutup. 

“Ketika itu masing-masing berada dalam ketakutan kerana Covid-19 ini dan kehidupan jadi sangat sukar. Di situ saya dapat idea untuk keluarkan tudung sarung yang senang dipakai. Saya namakan, Tudung Kesorga atau Ke Syurga dan dijual secara dalam talian kerana PKP. Namun siapa sangka kami berjaya jual sehingga sejuta helai pada masa itu,” katanya.

Katanya, tudung berkenaan dijual pada harga mampu milik iaitu RM29.90 sehelai sebagai memahami situasi masyarakat yang berdepan dengan masalah ekonomi ketika itu.

Bercerita tentang resipi untuk bertahan dalam bidang perniagaan pakaian kata Murni, dunia fesyen tudung berubah pantas dan memerlukan kepantasan serta kepekaan dalam rekaannya agar mendapat sambutan ramai.

“Itu belum termasuk kerja-kerja tiruan daripada pihak lain namun kita harus cepat bergerak atau ketinggalan. Kita kena faham dan peka dengan kehendak pelanggan yang sering berubah dari semasa ke semasa.

“Dan paling penting jangan putus asa macam saya yang ada waktu jatuh terduduk tetapi saya berusaha bangkit,” katanya yang kini sibuk dengan koleksi tudung baharu untuk Hari Raya Aidilfitri ini.

Sebagai usahawan yang berwawasan, Murni juga merancang untuk membuka kilangnya sendiri dalam masa terdekat untuk mengeluarkan tudung dan pakaian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN