SEKIRANYA anda mahu membuat pengubahsuaian rumah bukan sahaja pening memikirkan konsep yang diinginkan namun, perlu diingat kos mungkin lebih tinggi atau menjadi lebih mahal.
Ada yang sanggup memohon pembiayaan peribadi untuk membaiki kos rumah tersebut.
Namun, apa yang lebih penting untuk anda mendapatkan khidmat nasihat daripada pelbagai pereka dalaman bagi memastikan kos pembaikan tidak terlalu tinggi dan berpatutan.
Dikongsikan panduan untuk berjimat ketika mengubah suai rumah.
Sediakan perancangan yang anda ingini
Sebaiknya anda perlu mulakan dahulu dengan mencari contoh jenis pengubahsuaian pada harga yang berpatutan dan upah orang yang pakar untuk melakukan pengubahsuaian tersebut.
Ini penting bagi mengelakkan pengubahsuaian yang lebih besar pada masa akan datang.
Penting juga untuk anda menentukan pengubahsuaian yang anda mahukan sebelum memulakan sebarang pekerjaan kerana jika anda kerap membuat perubahan semasa dalam proses ubahsuai rumah, kos berbelanja akan menjadi lebih tinggi.
Selain itu, kerja pengubahsuaian pula akan selalu tertangguh, dan kemungkinan besar anda tidak akan berpuas hati dengan hasil kerja yang telah dilakukan.
Senaraikan jenis bahan yang digunakan
Terdapat banyak jenis bahan untuk mengubah suai rumah dan setiap bahan tersebut mempunyai semestinya mempunyai perbezaaan daripada segi kualiti dan harga.
Selain itu, anda boleh berbincang dengan kontraktor untuk meminta pandangan untuk jenis bahan yang sesuai berdasarkan bajet anda.
Jika anda memiliki belanja yang besar, anda boleh memilih bahan yang lebih berkualiti dan tahan lama.
Sebagai contoh, bahan untuk tingkap anda boleh menggunakan bahan yang lebih baik, tahan karat dan mudah untuk diselenggarakan berbanding bahan aluminimum biasa.
Cari pereka dalaman yang sesuai
Ramai mungkin akan mengesyorkan mana-mana pereka dalaman atau kontraktor yang mereka kenali untuk mengubahsuai rumah anda, tetapi tidak bermakna yang disyorkan itu sepadan dengan anda.
Kontraktor, tukang kayu, dan pereka dalaman yang dikenalkan mungkin tidak dapat memahami gaya dan keperluan yang anda mahu, ataupun mungkin tidak dapat memberi harga yang sesuai dengan bajet anda.
Oleh itu, cari pereka dalaman yang boleh mengikut permintaan anda. Lebih baik agar mereka berdaftar dengan Lembaga Arkitek Malaysia (LAM).
Sediakan bajet yang mencukupi
Walaupun sudah menetapkan bajet, anda juga harus mempunyai Pelan B. Contohnya, anda mungkin memilih jubin marmar yang cantik, tetapi agak mahal dan kemungkinan memakan bahagian lain dari bajet anda.
Oleh itu, pakar perancang mencadangkan supaya anda mengetepikan 10 peratus daripada bajet anda sebagai wang kecemasan.
Bajet kecemasan itu boleh digunakan sekiranya terdapat pendawaian rosak, dinding merekah atau mungkin serangan anai-anai.
Berbelanja barangan rumah ketika jualan murah
Bukan semua mampu untuk DIY, oleh itu tidak salah jika anda menggantikan sebarang alatan atau perhiasan dengan yang baru, anda boleh cari promosi perabot di kedai-kedai terpilih lebih-lebih lagi di ekspo jualan murah
Mulakan dengan senaraikan mozek, cat yang anda ingin beli dan cari kedai perabot yang menjual perabot tersebut dengan harga promosi.
Lebih banyak pilihan kedai jubin, mozek yang ada lebih bagus, ia akan membantu anda untuk memilih kedai yang menawarkan harga berpadanan dengan bajet anda.
Kerap melawat tapak
Ini salah satu perkara yang sangat penting.Anda mungkin mempercayai pereka dalaman dan kontraktor yang menguruskan pengubahsuaian rumah anda.
Tetapi, majoriti pemilik rumah yang mempunyai pengalaman dengan kerja-kerja pengubahsuaian akan menasihatkan anda supaya melawat tapak kerja perumahan dengan kerap.
Kalau anda sentiasa memberi perhatian kepada kerja-kerja pengubahsuaian semasa melawat, anda mungkin boleh mengesan jika terdapat apa-apa masalah ataupun isu yang ada dengan lebih cepat dan boleh menunjukkan masalah tersebut pada pekerja.
Luangkan masa untuk idea pengubahsuaian
Jangan tergesa-gesa dalam merealisasikan idea pengubahsuaian rumah anda, lebih-lebih lagi jika proses pengubahsuaian masih belum bersedia untuk bermula.
Walaupun anda sudah mempunyai simpanan untuk memulakan pengubahsuaian dengan segera.
Pastikan anda sentiasa bertanya kepada diri sendiri jika apa yang hendak dibeli atau diubahsuai mengikut bajet anda. – UTUSAN










