Dwikunci sebagai pelaburan hartanah - Utusan Malaysia

Dwikunci sebagai pelaburan hartanah

CONTOH unit dwi kunci.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEDIAMAN jenis dwikunci semakin popular dalam hartanah di negara ini, membolehkan pemilik tinggal di rumah mereka dan dalam masa sama menyewakan ruang berasingan di hartanah tersebut sebagai sumber pendapatan.

Konsep ini menggabungkan dua unit dalam satu hartanah sama, seterusnya memberi keselesaan dan privasi kepada kedua-dua pemilik dan juga penyewa.

Selain itu, hartanah jenis ini juga sesuai bagi keluarga pelbagai generasi untuk tinggal bersama, namun mempunyai ruang tersendiri.

Peguam hartanah dan rakan kongsi Nazri Azmi Islinda, Datuk Nazri Mustafa berkata, selain menjadikan ia sebagai produk pelaburan, unit sebegini juga sesuai untuk menempatkan ibu bapa atau mentua yang tinggal sekali tetapi mahukan ruang privasi.

Katanya, harga kediaman ini biasanya bukan di paras mampu milik dan terletak di lokasi yang mempunyai permintaan tinggi untuk sewaan, terutamanya golongan profesional muda atau pelajar institusi, terutama di kawasan bandar raya.

“Pada pendapat saya, ia adalah satu usaha kreatif di pihak pemaju untuk menawarkan produk dwikunci, iaitu satu produk yang berbeza sebagai pilihan kepada golongan pembeli tertentu.

“Ia umpama satu unit yang dibahagi dua atas pemilikan yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pelabur hartanah lebih gemarkan unit seperti ini untuk memaksimumkan pendapatan sewa.

“Sama ada ia adalah pelaburan yang baik atau tidak adalah tertakluk kepada banyak faktor-faktor lain. Selain lokasi dan harga serta berdaya naik nilai, ia bergantung kepada jumlah sewaan yang boleh diperoleh.

“Kepada mereka yang mahu berkongsi rumah tetapi pada masa yang sama mementingkan privasi, cara ini adalah salah satu pilihan yang baik,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Senibina Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohamad Fakri Zaky Jaafar berkata, konsep dwi kunci masih baharu, namun beliau menjangkakan ia akan semakin menjadi pilihan pada masa akan datang.

Menurutnya, salah satu faktor yang mendorong kepada konsep ini ialah harga rumah yang semakin mahal terutama untuk golongan yang baru bekerja.

“Memang diakui semakin sukar untuk mendapat kediaman konvensional untuk disewa mahupun untuk dibeli di lokasi yang strategik di dalam bandar.

“Kediaman jenis ini juga memberi pilihan kepada mereka yang membeli rumah tetapi memerlukan pendapatan sampingan untuk membantu menjelaskan ansuran bulanan pembiayaan hartanah,” jelasnya.

Tambahnya, golongan sasaran yang mungkin berminat dengan kediaman jenis ini adalah mereka yang baru bekerja dari golongan M40 dan mungkin juga T20 yang memerlukan penyelesaian yang lebih praktikal, sama ada bujang ataupun baru berkahwin dan tanpa anak.

“Golongan ini mungkin tidak memerlukan ruang yang besar untuk kediaman, sekadar membolehkan mereka berehat setelah selesai bekerja.

“Ia juga sesuai bagi mereka yang mementingkan privasi kerana membolehkan mereka menyewa unit kediaman tanpa bercampur dengan orang lain pada harga yang setanding dengan sewaan bilik dalam unit berbilang penghuni,” katanya.

Dari segi harga pula, Mohamad Fakri Zaky berkata, harganya tidaklah banyak berbeza dari segi kos setiap kaki persegi.

“Namun perlu ada pertimbangan kerana biasanya unit seperti ini memerlukan keluasan yang lebih besar dari apartmen biasa. Dari segi ini, ia mungkin lebih mahal sedikit.

“Oleh itu, pembeli perlu bijak menilai kadar sewa yang boleh ditawarkan, yang mana kembali kepada faktor lokasi dan lain-lain,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×