Dahulu cikgu sekarang tauke kambing, nasi beriani - Utusan Malaysia

Dahulu cikgu sekarang tauke kambing, nasi beriani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA siapa menyangka, tangan seorang pendidik yang sering kali memegang alat tulis dan perkakas mengajar sebenarnya turut berbakat dalam bidang kulinari serta penternakan.

Biarpun tidak memiliki sijil dalam kedua-dua bidang tersebut, Ahmad Shahul Hamid, 48, mampu berbangga dengan perniagaan yang dimilikinya pada masa kini.

Malah, bagi anak jati Kedah ini, apa yang paling penting perniagaan keluarga yang diteruskan olehnya bukan sekadar keuntungan semata-mata, sebaliknya demi memenuhi tuntutan sunnah Rasulullah SAW selain untuk membantu masyarakat.

Justeru Ahmad yang berkhidmat sebagai guru selama lebih 20 tahun sebelum ini sanggup membuat keputusan nekad untuk berhenti daripada kerjaya yang diminati dan lebih terjamin.

Namun begitu, dia berkata, peralihan daripada sesuatu bidang kepada bidang yang lain ketika di peringkat awal berniaga bukan perkara mudah.

“Saya perlu bertungkus lumus untuk pulang ke Kedah setiap kali musim perayaan Aidiladha sewaktu masih berkhidmat sebagai guru. Pada masa itu lebih 80 ekor lembu dan kambing perlu dihantar kepada pihak yang telah membuat tempahan dalam tempoh sehari.

“Kurang rehat dan tidak cukup tidur itu perkara biasa kerana saya perlu pastikan semua lembu dan kambing dapat dihantar mengikut tempahan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menceritakan lebih lanjut, Ahmad berkata, dia kini mempunyai 200 ekor kambing dan turut menyediakan perkhidmatan akikah pada kadar yang murah selain mengusahakan perniagaan katering serta gerai nasi beriani di Taman Cheras Utama.

“Niat saya hanya untuk mempermudahkan umat Islam yang mahu melaksanakan ibadah akikah terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan daripada segi ekonomi,” jelasnya.

Dalam pada itu Ahmad berkata, untuk perniagaan nasi beriani pula, ia hanya dibuka setiap Ahad minggu pertama.

“Saya lebih fokuskan kepada penternakan kambing perniagaan katering. Alhamdulilah tempahan sangat menggalakkan setakat ini.

“Ini kerana resipi yang saya gunakan ialah resepi turun temurun daripada keluarga. Apa yang penting ialah penggunaan bahan berkualiti, memasak dengan ketelitian dan dibuat dengan ‘kasih sayang’,” jelasnya yang menerima tempahan untuk sebarang majlis dan rumah terbuka.

Antara menu popular yang dijual termasuk daging masak hitam, dalca kambing seekor, ayam ros dan ‘udang paratel’.

Sementara itu Ahmad berkata, untuk seseorang itu berjaya dalam sesuatu bidang atau beralih kepada bidang yang lain bukanlah perkara mudah.

“Pertama sekali sudah semestinya saya perlu banyak bersabar dengan cabaran dan persekitaran. Sebagai contoh dengan pelanggan, pasaran, permintaan dan ketika awal-awal mempelajari bidang ini.

“Bagaimanapun apa yang penting ialah sifat untuk sentiasa mahu belajar dan tidak kenal erti putus asa. Di samping itu, minat perlu ada untuk kita berjaya menghadapi cabaran yang bakal mendatang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN