MELIHAT kanak-kanak bersekolah dengan tudung yang comot dan tidak terurus, timbul idea Erween Daud untuk mencipta tudung sekolah instant yang memastikan kanak-kanak kekal kemas dan terurus sehingga akhir waktu persekolahan.
Menurut Erween yang juga merupakan seorang pramugara AirAsia, tudung sekolah instant keluaran Edna Scarf ini unik kerana anak tudung dicantumkan bersama tudung dan hanya perlu sarung serta lipat sahaja untuk tampak kemas.
“Saya boleh katakan, tudung kami dapat menjimatkan masa ibu bapa menyiapkan anak mereka ke sekolah dan mengelakkan masalah anak tudung hilang. Anak-anak juga tidaklah pulang dengan tudung comot dan tidak terurus lagi kerana tudung instant ini mengurangkan masalah tudung senget dan sebagainya.
“Sebelum saya mengeluarkan tudung sekolah instant, memang tudung seperti ini sudah banyak di pasaran tapi hanya untuk wanita dewasa. Jadi saya fikir lebih baik idea yang sama dipraktikkan kepada tudung sekolah kerana ia lebih praktikal untuk kanak-kanak yang masih belum pandai menggayakan tudung.
“Kami juga mengambil masa hampir tiga bulan untuk membuat kajian dari segi material yang sesuai untuk keselesaan kanak-kanak kerana mereka mudah rasa rimas dan berpeluh.
“Tudung ini juga adalah yang pertama seumpamanya yang dicipta untuk memudahkan kanak-kanak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Usahawan berusia 35 tahun itu berkata, walaupun baru dua bulan tudung sekolah instant itu dipasarkan, ia mendapat sambutan yang menggalakkan terutama daripada jualan di sosial media.
Malah, promosinya di sosial media mendapat impak besar apabila video TikTok yang dihasilkan bagi tujuan promosi tudung sekolah instant itu telah mendapat hampir empat juta tontonan.
“Tudung sekolah instant ini boleh dipakai kanak-kanak dari umur empat tahun dan kami dalam proses untuk mengembangkan lagi pasaran supaya tudung sekolah Edna Scarf menjadi tudung ikonik untuk murid sekolah.
“Pada awalnya kami hanya mengeluarkan tudung sekolah berwarna putih sahaja, namun saya lihat produk ini mendapat sambutan yang baik jadi saya keluarkan pula tudung sekolah warna hijau, hitam dan lain-lain,” ujarnya.
Mengimbau mengenai awal pembabitannya dalam perniagaan tudung, Erween berkata, dia telah bekerja sebagai pramugara sepenuh masa bersama AirAsia selama lapan tahun sebelum diberhentikan selepas negara dilanda penularan Covid-19 pada 2020.

Ujarnya, pada ketika itu dia buntu kerana telah biasa mendapat gaji setiap bulan namun tiba-tiba hilang pekerjaan yang diminati dan sumber pendapatan sekelip mata.
“Waktu itu saya cuba menjual pelbagai barang termasuk menjual bergedil secara dalam talian. Tidak cukup dengan itu, saya juga menjadi dropship dan apa-apa sahaja yang boleh mendatangkan duit.
“Selepas itu, saya cuba pula menjual tudung bawal kerana melihat pasaran tudung yang meluas pada ketika itu. Namun, tiada satu helai tudung pun terjual selepas lima bulan saya menjalankan perniagaan,” jelasnya.
Kemudian, ujarnya, idea menjual tudung instant dengan mewujudkan jenama Edna Scarf pada 2021 timbul apabila ibunya sering merungut kehilangan anak tudung ketika sedang bersiap untuk memakai tudung.
“Ketika itulah saya bertukar kepada produk tudung instant dan mendapat sambutan. Niat saya ketika itu saya mahu keluarkan sesuatu produk yang boleh memudahkan kehidupan seharian mereka, sehinggalah kini kami keluarkan pula tudung sekolah instant untuk memudahkan kanak-kanak dan ibu bapa mereka,” ujarnya.
Selepas penularan Covid-19 reda, Erween ditawarkan kembali bekerja sebagai pramugara AirAsia dan demi minat, dia menerima tawaran tersebut dan berusaha mengimbangi di antara kerjaya dan perniagaannya.
“Saya rasa amat beruntung kerana pengurusan AirAsia sentiasa menyokong kakitangannya melakukan apa sahaja perkara di luar bidang kerjaya selagi tidak mengganggu operasi harian syarikat,” ujarnya.

AirAsia juga seperti yang diketahui amat menyokong jenama tempatan seperti Naelofar dan Jovian apabila produk tempatan tersebut dijual di dalam kapal terbang syarikat itu.
“Ada juga yang bertanya adakah saya terfikir untuk meluaskan perniagaan tudung ini ke dalam kapal terbang AirAsia memandangkan saya merupakan antara anak kapal yang telah lama bekerja dengan syarikat penerbangan tambang murah itu.
“Sebenarnya saya tidak akan menolak sekiranya ada rezeki, cuma saya belum sampai ke tahap seperti jenama-jenama besar dalam industri perniagaan ini,” katanya. – UTUSAN










