D’ lapezz diperakui halal, sasar tembusi pasaran luar - Utusan Malaysia

D’ lapezz diperakui halal, sasar tembusi pasaran luar

Syarifah Sehar Syahid Ali menunjukkan produk kek lapis yang telah mendapat sijil halal daripada Jakim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAS Secret D’ light nekad untuk mempromosikan jenama kek lapis keluaran mereka iaitu D’lapezz sebagai kek lapis yang mempunyai pengiktirafan halal di pasaran luar negara.

Menurut pengasasnya, Syarifah Sehar Syahid Ali berkata, beliau menyasarkan sasaran tersebut berikutan melihat masih lagi kurang pengeluaran kek lapis yang mempunyai sijil halal menembusi pasaran luar.

Kata beliau, ia menjadi kekangan bagi pelanggan dari luar negara terutamanya dari kalangan pengguna beragama Islam sekiranya produk tempatan halal dari negara ini yang mereka ingini sukar untuk untuk diperoleh.

“Walaupun jenama kami telah mempunyai pengiktirafan sijil halal, namun terdapat beberapa kriteria yang patut kami baiki bagi membolehkan D’ lapezz mampu untuk melepasi pasaran global.

“Kini kami masih sedaya upaya menjalankan penyelidikan dan pembangunan (RND) bagi memastikan kualiti produk kek lapis D’ lapezz dapat dipertingkatkan apabila dieksport ke luar negara suatu hari nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Usahawan kelahiran dari Johor itu berkata, bagi memperoleh sijil halal dalam perniagaan bukanlah mudah kerana pada permulaannya perniagaan yang dijalankan hanyalah kecil-kecilan dan tidak mempunyai tenaga mahir yang cukup untuk membuat kek lapis.

“Sebagai usahawan dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS), kami perlu sentiasa merujuk semula kepada pejabat halal sekiranya terdapat kesilapan yang tidak menepati prosedur yang tepat,” katanya.

Menurut Syarifah, setakat ini, Shas Secret D’ light mempunyai lima orang tenaga kerja utama yang berkemahiran dalam pembuatan kek lapis untuk jenama D’ lapezz.

Katanya, bagi menerima pekerja yang mempunyai kemahiran terutamanya dalam membuat kek lapis yang berkualiti adalah tidak sukar, dalam masa yang sama mereka tidak menginginkan berlaku banyak kali kerugian sekiranya kek tidak menjadi.

“Pada permulaan pengambilan, calon akan dilatih dalam dua minggu termasuk pemerhatian bagi skil yang dikuasai oleh calon dan sekiranya mereka tidak dapat mengekalkan kualiti kek D’lapezz maka kami tidak boleh mengambil mereka untuk bekerja,” katanya.

Kini, perniagaan yang beroperasi genap lapan tahun sejak bermula dari 2015 itu, berjaya menghasilkan lebih daripada 26 jenis perisa kek lapis premium yang berasaskan buah-buahan tempatan antaranya seperti durian B24,nangka madu, cempedak, belimbing dan roselle.

Sehubungan itu, beliau yakin dengan memperkembangkan jualan kek D’ lapezz yang menggunakan bahan-bahan utama bakal mendapat sambutan daripada negara-negara di rantau Asia Tenggara.

Dalam pada itu, katanya, perniagaan kek lapis tersebut dapat menjana lebih pendapatan daripada pembekal di mana mereka memperoleh buah-buahan tempatan.

Ujarnya, apabila produk kek lapis versi Johor tersebut dapat dikenali oleh lebih ramai pelanggan, maka matlamat untuk memperkenalkan kelainan kek tersebut daripada kek lapis Sarawak dapat dicapai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN