JENAMA tempatan negeri Pahang, Makan Moh kekal dengan prinsip menyediakan produk makanan yang diiktiraf halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi jaminan pelanggannya yang kebanyakkan beragama Islam.
Menurut Pengasas Makan Moh, Nor Amalina Aisyah Mohammad Ridzuan berkata, sebagai usahawan beliau tidak mengambil mudah walaupun penggunaan bahan produk adalah
mengikut prosedur hub halal.
“Kita tidak mahu seperti sesetengah perniaga, walaupun proses dan produk yang dijualkan mengikuti kaedah Islam, namun jika tiada pengiktirafan sijil halal, ia akan mencetuskan kegusaran daripada pengguna kelak.
“Justeru, perniagaan yang dijalankan ini, kami ingin berpegang pada prinsip menyediakan hidangan citarasa kampung namun ada jaminan pengiktirafan halal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, sebelum beliau terpaksa menjalani fasa dimana kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mengambil masa lebih setahun bagi menghasilkan produk yang boleh tahan lama dan kualiti dapat dikekalkan.
Mengulas lanjut, perniagaan yang mula dikembangkan bersama suaminya, Mohd Azly Norzan pada tahun 2020, ekoran mendapat sambutan ramai daripada pelanggan yang mana pada mulanya perniagaan yang dijalankan hanyalah ikan patin masak tempoyak.
Katanya, peningkatan permintaan daripada pelanggan bagi produk ikan patin masak tempoyak diyakini apabila mereka mula menjualnya di pusat rehat dan rawat (R&R) Temerloh, Pahang.
Tambahnya, Temerloh merupakan pusat yang strategik di mana orang pahang termasuk dari negeri lain pergi ke daerah tersebut yang memang dikenali dengan hidangan ikan patin masak tempoyak.
Walau bagaimanapun, hasrat beliau untuk memperkembangkan perniagaan produk sedia untuk dimasak bagi juadah ikan patin tersebut, tergendala apabila berlaku gelombang Covid-19 pada bulan Mac 2020.
“Pada masa itu, kita memang tidak dapat sedia edarkan produk tersebut, ekoran banyak kedai-kedai ditutup disebabkan wabak yang melanda.
“Namun dalam masa yang sama, kami mengambil peluang untuk mengolah lebih banyak lagi produk hidangan kampung yang boleh dimakan sedia ada, dan dapat juga dijual secara dalam talian,” katanya.
Dengan itu, Makan Moh berjaya menghasilkan beberapa produk baharu iaitu, set nasi patin gulai tempoyak, sambal daging dendeng, sambal hitam belimbing buluh, daging kicap, sambal kerang dan sambal tempoyak.
Sehubungan itu, beliau yakin dengan mengahsilkan produk sedia untuk dimakan yang berkonsepkan juadah kampung yang halal, mampu meyakinkan lebih banyak pelanggan mengidamkan hidangan desa untuk membelinya.
Selain itu, ujarnya, produk Makan Moh dapat memberi penyelesaian kepada suri rumah yang sentiasa sibuk namun perlu menyediakan hidangan kepada ahli keluarganya lebih-lebih dalam bulan puasa ini. – UTUSAN










