Marcapada dilihat kian berdepan dengan situasi yang mencabar dan penuh dengan ketidakpastian sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tatkala membicarakan situasi pasca normal dalam dunia yang diselimuti huru-hara, kerumitan dan percanggahan sekali gus memerlukan pakar sarjana Islam menjana idea bagi mengukuhkan pasaran produk halal dan kewangan Islam. Ia boleh dilakukan menerusi kerjasama dan hubungan perdagangan pelbagai negara luar memandangkan permintaan ini berpotensi memperkukuhkan ekonomi Malaysia.
Justeru, peluang yang ada tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja tanpa ada satu usaha untuk menggerakkan pengeluaran produk halal ke persada dunia di samping mengetengahkan instrumen kewangan Islam yang lebih mesra pelabur dan paling penting mengukuhkan nilai mata wang ringgit di pasaran.
Islam merupakan agama yang sentiasa tegas dalam hal yang terkait dengan pemakanan terutamanya melibatkan makanan halal dan turut menekankan tentang pemakanan yang baik meliputi penjagaan kebersihan, piawaian kesihatan, pelaksanaan penyediaan dan lain-lain lagi. Jadi, penting bagi pengeluar produk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Manakala bagi instrumen kewangan Islam pula dilihat berpotensi menjadi satu tatanan baharu dengan memastikan pengukuhan nilai ringgit sentiasa kekal terjamin. Ini merupakan salah satu objektif sistem kewangan Islam perlu dilaksanakan secara bersama bagi memastikan serangan terhadap nilai ringgit disebabkan oleh kejatuhan dollar Amerika tidak merencatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Justeru, ia perlu diberi sokongan sewajarnya dengan melihat pasaran dan kerjasama perdagangan dengan negara luar.
Instrumen kewangan Islam mampu menjadi alternatif kepada sistem kewangan konvensional yang lebih kepada memberi keuntungan kepada pemodal berbanding kewangan Islam yang lebih menjamin nilai mata wang negara dengan memastikan perdagangan menggunakan mata wang ringgit melalui perjanjian persefahaman di antara negara perdagangan.
Kebergantungan ringgit tidak lagi mengikat kepada dollar semata-mata tetapi mampu memberikan pulangan tinggi terhadap nilai eksport dan import negara yang menggunakan pertukaran nilai ringgit.
Malaysia yang memiliki kekuatan sumber asli dan yang terkini ‘nadir bumi’ mampu memberikan pulangan yang tinggi terhadap pendapatan negara dengan kerjasama melalui perjanjian persefahaman. Oleh itu, instrumen kewangan Islam melalui perjanjian sangat penting bagi menjamin segala kekuatan sumber asli yang mampu menjana pulangan lumayan buat negara.
Kerajaan mengambil langkah yang tepat bagi memastikan produk halal dan instrumen kewangan Islam menjadi pemacu pasaran global. Usaha ini sewajarnya diberikan dukungan dan sokongan yang kukuh selain perlu tindakan segera bagi memastikan pertumbuhan ekonomi domestik dapat ‘mendunia’. Seterusnya mengangkat produk halal keluaran negara ke pelosok dunia.
Pelaksanaan pensijilan halal perlu dipermudahkan oleh agensi berkaitan manakala pencerahan tentang kepentingan produk halal perlu dipromosikan secara meluas.
Keraguan segelintir pihak terhadap pelaksanaan tersebut perlu ‘dihilangkan’ menerusi kaedah al-yakin la yuzalu bisyak (keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan keraguan). – UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis









