Rumah sewa di tengah bandar ‘laku keras’ - Utusan Malaysia

Rumah sewa di tengah bandar ‘laku keras’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMINTAAN terhadap pasaran rumah sewa terus meningkat di negara ini terutamanya di lokasi-lokasi yang strategik di bandar utama seperti Lembah Klang.

Perkara ini boleh dikaitkan dengan beberapa faktor seperti belum mampu memiliki rumah sendiri, ketidakupayaan untuk mendapatkan pinjaman, kestabilan ekonomi dan lokasi rumah sewa yang strategik termasuk berdekatan pengangkutan awam dan tempat kerja.

Malah, ada rumah sewa di kawasan perumahan kos rendah dengan keluasan antara 650 hingga 750 kaki persegi boleh mencapai sehingga RM1,500 sebulan.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan dan mendapat permintaan tinggi di Kuala Lumpur adalah Pantai Dalam, Kerinchi, Bangsar, Wangsa Maju, Bandar Sri Permaisuri dan Salak Selatan.

Walaupun kawasan tersebut agak padat, lokasinya yang strategik dengan kemudahan awam seperti perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Transit Aliran Massa (MRT) menjadi daya tarikan penyewa.

Seorang pekerja swasta, Zubaidah Aris, 37, berkata, rumah sewa di kawasan perumahannya di Flat Wangsa Maju boleh mencapai sehingga lebih RM1,000 walaupun saiz rumah hanya kira-kira 500 kaki persegi.

Katanya, dia bernasib baik dapat menyewa pada harga RM620 sebulan bagi rumah yang memiliki dua bilik dan satu bilik air, kerana unit itu kosong, tiada perabot dan tidak diubahsuai.

“Rumah pada harga RM620 itu memang antara yang paling rendah boleh dapat dekat sini. Jika, rumah yang ‘fully-furnished’ (serba lengkap) harga boleh lebih RM1,000 walaupun hanya flat biasa sahaja.

“Bagaimanapun, saya memilih untuk tinggi di sini kerana lokasinya yang dekat dengan tempat kerja di samping berhampiran dengan pengangkutan awam iaitu Stesen LRT Wangsa Maju,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang eksekutif, Rozianah Risman, 37, berkata, sewa rumah di kawasan tempat tinggalnya di Bandar Sri Permaisuri boleh mencapai antara RM1,000 hingga RM1,600.

Menurutnya, harga sewa adalah lebih tinggi jika dibuat melalui ejen berbanding secara terus dengan pemilik.

“Memang harga rumah sewa agak tinggi ketika ini tetapi saya masih perlu menyewa memandangkan projek rumah saya masih belum siap dan berlaku kelewatan.

“Oleh itu, saya terpaksa membayar dua komitmen iaitu sewa rumah dan juga pembiayaan bank,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemilik rumah sewa di Pantai Dalam, Nur Asyran Mohd. Nor, 39, mengakui permintaan terhadap rumah sewa di kawasan tersebut memang tinggi dan mudah mendapat penyewa baharu apabila rumah kosong.

“Selepas penyewa lama keluar pada tahun lepas, kami ada membuat ubahsuai di rumah tersebut. Dalam tempoh dua minggu semasa membuat ubahsuai itu, sudah ada penyewa baharu yang mahu masuk.

“Semasa pandemik dulu memang ada juga rumah yang kosong di kawasan ini sebab orang pindah keluar. Tetapi bila ekonomi sudah mula dibuka, ramai yang kembali ke ibu negara untuk bekerja dan menjadikan permintaan rumah sewa meningkat.

“Kebanyakan penyewa yang tinggal di kawasan ini adalah golongan pekerja berbanding pelajar,” jelasnya.

Jelasnya lagi, rumah milik ibunya di Taman Bukit Angkasa itu disewakan pada harga RM900 sebulan berkeluasan kira-kira 750 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air.

Tambahnya, ada unit rumah di situ disewakan pada kadar lebih tinggi iaitu RM1,000 dan ke atas kerana lokasinya yang strategik iaitu berhampiran Stesen Komuter Angkasapuri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya