Kemelut PN: Menang pilihan raya atau jadi bahan lawak jenaka? - Utusan Malaysia

Kemelut PN: Menang pilihan raya atau jadi bahan lawak jenaka?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuka tirainya dengan Perikatan Nasional (PN) yang didominasi calon Bersatu turut memasuki gelanggang. Namun kemelut dalaman PN jauh daripada selesai apabila Bersatu terus kekal dalam gabungan itu, biarpun terdahulu sudah ‘diceraikan’ Pas, malah menambah ‘amarah’ mereka apabila Parti Wawasan Negara (Wawasan) diterima menyertai PN.

Naib Presiden Wawasan, DATUK WAN SAIFUL WAN JAN mendakwa bantahan dibuat terhadap partinya sekadar alasan dicipta pimpinan Bersatu untuk terus melemahkan dan melumpuhkan gabungan PN.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan dibantu jurufoto, ISKANDAR ISHAK, ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menggesa ketegasan dalam pimpinan tertinggi PN terutama Pas bagi memastikan hasrat serta hala tuju gabungan untuk memenangi pilihan raya dan bukan menjadi bahan lawak jenaka pihak lawan dan pengundi.

CERMINAN SEMANGAT PERLEMBAGAAN
MINGGUAN MALAYSIA: Boleh Datuk kongsi sedikit mengenai Parti Cinta Malaysia (PCM) yang ditukar nama kepada Parti Wawasan Negara. Difahamkan parti ini multiracial. Boleh Datuk jelaskan?
Di peringkat awal, kita memang berbincang panjang sama ada kita mahu jadikan parti ini sebagai parti Melayu, parti Islam ataupun parti yang multiracial (berbilang bangsa). Akhirnya, kita ambil keputusan bahawa sudah sampai masa kita bawa satu idea politik baharu, iaitu parti politik mestilah mencerminkan semangat Perlembagaan Malaysia.

Dalam Perlembagaan Malaysia, apa yang dinyatakan adalah Malaysia ini milik semua. Tanpa mengira bangsa atau agama, semua orang mempunyai hak yang sama sebagai rakyat Malaysia.

Tetapi hak dan kedudukan istimewa Melayu, Islam dan Bumiputera ternyata dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi, parti yang kita bentuk ini adalah parti yang mencerminkan semangat Perlembagaan Persekutuan itu, yang mana semua orang mempunyai hak yang sama, tetapi kedudukan istimewa Melayu, Islam dan Bumiputera dilindungi dan dijamin.

Sebelum terbentuknya penyertaan kumpulan Reset ini dalam PCM, difahamkan banyak pertemuan diadakan dengan beberapa parti seperti Berjasa dan Parti Keluarga Malaysia. Mengapa usaha itu tidak menjadi dengan parti berkenaan?
PCM ini sebenarnya antara pilihan yang telah lama kita pertimbangkan. Yang lain-lain itu juga adalah options (pilihan) yang kita ada. Apabila kita menilai semula semuanya sekali, kita dapati yang paling sesuai untuk kita ambil alih adalah PCM.

Keputusan itu membolehkan kita melakukan proses pertukaran ini dengan lancar sehingga ke hari ini. Kita telah pun berjaya menukar nama parti, telah pun berjaya menukar logo parti dan kita telah pun juga menukar jawatankuasa kepimpinan parti. Semua ini telah kita serahkan kepada ROS. Jadi, proses yang kita lalui dalam PCM ini adalah proses yang paling lancar.

NAFAS BAHARU
Kalau dilihat kepada asas PCM ini, bagaimana keadaannya daripada segi keahlian selepas digabungkan dengan kumpulan Reset?
Saya rasa kita bukan parti yang menggantikan Bersatu semata-mata. Betul, saya rasa 70 hingga 80 peratus daripada pendukung Bersatu sebelum ini, khususnya pendukung yang aktif dalam Bersatu, menyertai kita.

Kita menerima permohonan keahlian daripada mereka yang terlibat dalam pelbagai parti, sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang. Yang lebih penting lagi, kita juga berjaya menarik mereka yang tidak pernah terlibat dalam mana-mana parti sebelum ini. Kalau kita lihat kepada jawatankuasa pusat yang kita umumkan, terdapat bekas pemimpin MCA dan ramai juga daripada

Bersatu, sudah pasti. Tetapi sebahagian yang agak besar juga terdiri daripada mereka yang tidak berparti sebelum ini. Ada yang datang daripada NGO, ada yang datang daripada Pejuang dan Berjasa.

Ini menunjukkan kita bukan mahu memposisikan Parti Wawasan Negara sebagai parti pengganti Bersatu semata-mata, tetapi kita membawa satu agenda baharu dan satu nafas dan semangat baharu dalam politik negara.

PROSEDUR ROS
Setakat ini, bagaimana perkembangan proses dengan ROS? Ada khabar mengatakan mereka masih dalam proses meneliti dan memproses dokumen yang telah dihantar?
Ya, dengan ROS ini prosesnya sebenarnya mudah sahaja. Apabila mesyuarat agung meluluskan sesuatu perkara, wakil ROS hanya menerima dan memastikan keteraturan submission yang kita buat. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar. Tidak ada tempoh masa ditetapkan ROS, namun ROS sudah tentu mempunyai prosedurnya sendiri. Pada pandangan saya, apabila perkara itu telah diluluskan dalam mesyuarat agung khas, maka proses tersebut sepatutnya sudah selesai.

Adakah perkara ini menjadi salah satu sebab mengapa Wawasan tidak meletakkan calon dalam PRN Johor? Adakah proses dokumentasi dan kelulusan daripada ROS yang masih berjalan menjadi faktor utama?
Pilihan Raya Johor diumumkan, atau lebih tepat lagi pengumuman calon untuk Pilihan Raya Johor dibuat, kira-kira seminggu selepas kita selesai mengadakan mesyuarat agung khas.
Keadaan itu menyebabkan semuanya berlaku agak tergesa-gesa sekiranya kita benar-benar mahu menyertai pilihan raya tersebut secara serius.

Bagi saya, sama ada kita menyertai Pilihan Raya Johor atau tidak bukanlah persoalan yang terlalu besar. Kita mempunyai rakan-rakan komponen dalam PN yang turut menyertai pilihan raya itu, dan kita menerima hakikat bahawa kita masih terlalu baharu dalam persaingan politik yang ada sekarang.

Bagi PRN Negeri Sembilan hampir pasti kita akan menawarkan calon-calon kita, insya-Allah, dalam kerangka yang sesuai bersama rakyat dan PN.

Ada pemimpin Bersatu membantah kemasukan Wawasan ke dalam PN dengan mendakwa terdapat isu berkaitan proses yang tidak teratur. Adakah benar terdapat proses yang tidak teratur dalam perkara ini?

Saya rasa ini adalah alasan-alasan yang sengaja dicari oleh pemimpin Bersatu. Sebab mereka tahu dalam Wawasan ini, kebanyakan pemimpin yang aktif dalam Bersatu sebelum ini kemudiannya menyertai Wawasan.

Keadaan ini menyebabkan Bersatu menjadi sebuah parti yang tidak lagi relevan dan tidak signifikan dari segi kekuatannya.

Jadi, apa yang dibuat oleh Naib Presiden merangkap Pemangku Timbalan Presiden Bersatu ini adalah mencari perkara-perkara teknikal yang boleh menghalang kemasukan Wawasan. Sebab yang diberikan juga berkaitan isu teknikal, dan satu lagi dakwaan bahawa kemasukan Wawasan boleh menambah konflik dalaman.

Sebenarnya, konflik dalaman itu berlaku dalam Bersatu sahaja. PN tidak mempunyai konflik dalam hal ini. Bagi saya, inilah agenda Bersatu sebenarnya, iaitu melemahkan PN dengan cara menimbulkan persoalan mengenai keabsahan keputusan yang telah dibuat. Saya rasa niat Bersatu adalah untuk melemah dan melumpuhkan PN, bukannya memperkukuhkannya.

BERSATU LEMAHKAN PN DARI DALAM
Kalau kita lihat dalam PN sekarang, parti komponen bertambah, manakala Bersatu juga masih berada dalam gabungan itu walaupun sebelum ini Pas dikatakan telah ‘menceraikan’ mereka. Namun, Bersatu dilihat bermati-matian mahu terus kekal dalam PN. Jadi, bagaimana Datuk melihat hubungan antara parti dalam PN?

Saya rasa yang jelas adalah bagi Bersatu, mereka mahu terus kekal dalam PN untuk meneruskan peranan mereka melemahkan PN dari dalam. Sebab itu, mereka bermati-matian mahu kekal.
Sekarang ini pun kita melihat sikap mereka yang mendedahkan butiran mesyuarat yang sepatutnya sulit. Saya menjangka perkara ini berterusan.

Jadi, perkara-perkara yang dibincangkan secara tertutup dalam mesyuarat PN akan diketahui oleh musuh-musuh politik PN. Inilah peranan yang dimainkan oleh Bersatu. Sebab itulah, mereka mahu kekal dalam PN, bagi membolehkan mereka terus melumpuhkan gabungan itu.

Bagi saya, Bersatu adalah Trojan Horse dalam PN dan itulah peranan yang mereka mainkan.Hubungan dalaman PN tidak mempunyai apa-apa masalah. Yang menimbulkan masalah adalah Bersatu. Jika melibatkan parti komponen lain, kita boleh berbincang secara sihat, matang dan harmoni. Namun apabila melibatkan Bersatu, ia terus menjadi masalah.

Pada saya, selagi isu seperti ini tidak ditangani dengan betul, selagi itulah PN akan terus berdepan masalah. Di Johor contohnya, bagaimana orang hendak mengundi PN jika perkara-perkara asas seperti menjaga kerahsiaan dan disiplin dalaman pun masih tidak dapat diselesaikan?

Jadi, perlu ada ketegasan dalam kalangan parti komponen, khususnya di peringkat kepimpinan tertinggi PN. Apa sebenarnya yang hendak dicapai? Hendak menang pilihan raya atau hendak menjadi bahan lawak jenaka pihak lawan dan pengundi?

AKAN ADA LAGI SERTAI WAWASAN
Dengan beberapa pemimpin Bersatu yang tersingkir daripada barisan kepimpinan PN dan pada masa sama Pas masih mengekalkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang, bagaimana Datuk melihat perkembangan ini?
Maknanya memang jelas Bersatu ini seolah-olah tidak lagi diterima dalam PN. Bukan sahaja tidak diterima, tetapi Bersatu juga sudah menjadi amat lemah dalam PN. Bilangan Ahli Parlimen yang komited dengan Bersatu adalah lebih kecil berbanding bilangan Ahli Parlimen Amanah.

Daripada enam yang masih bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang, dua orang juga sedang menyatakan hasrat mereka berminat untuk menyertai Wawasan. Ini menunjukkan Bersatu sebenarnya sudah menjadi spent force, iaitu sebuah parti yang telah kehilangan kekuatannya.

Saya rasa itulah realiti yang perlu diterima oleh Bersatu. Isunya bukan kita mahu mengetepikan sesiapa, tetapi daripada segi kekuatan mereka sudah terlalu kecil, namun masih merasakan seolah-olah mereka besar dan berpengaruh. Sebab itulah saya melihat Bersatu akan terus merosakkan apa yang ada dalam PN sekarang.

Adakah akan tiba satu masa nanti ada parti yang bertindak keluar daripada gabungan PN?
Bagi saya, tindakan membocorkan maklumat mengenai perbincangan dalaman mesyuarat secara terbuka adalah satu tindakan yang melanggar tatatertib sebagai ahli parti komponen.

Jadi bagi Bersatu, sekiranya mereka tidak selesa berada dalam PN, keluarlah sahaja. Jangan menggunakan sentimen lama mengenai siapa yang sebenarnya menubuhkan PN, kerana perkara itu juga tidak betul. Itu cerita-cerita dongeng yang dicipta. Nama Perikatan Nasional bukan datang daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Terdapat surat yang dihantar kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mencadangkan penubuhan PN. Tetapi itulah yang dilakukan Bersatu, seolah-olah mendakwa PN milik mereka.

DANA KEWANGAN WAWASAN
Daripada segi sumber kewangan sendiri bagaimana? Kalau kita lihat Bersatu sebelum ini, akaun mereka dibekukan. Bagi Wawasan sendiri, adakah mempunyai masalah dana?
Saya yakin kalau kita boleh bawa budaya yang mana parti ini digerakkan oleh ahli-ahlinya, kita akan boleh mengurangkan kebergantungan kepada dana-dana yang datang daripada pelbagai sumber lain.

Saya harap sangat, sebagai parti baharu, kita ada peluang untuk mencipta satu budaya baharu. Budaya itu adalah budaya ahli menggerakkan parti. Kita sudah bincang sedikit di peringkat Pusat dan insya-Allah budaya ini kita cuba terapkan sampai ke bawah.

Peranan ahli itu penting. Sekarang ini pun kita tengok di peringkat bahagian-bahagian. Contoh Parti Wawasan Negara bahagian Kubang Pasu. Pusat belum ada pejabat lagi, tetapi di peringkat bahagian sudah naik dan sudah ada pejabat. Ini digerakkan oleh ahli sendiri.

Jadi, ini satu contoh. Ahli-ahli kita masuk dalam parti ini menyedari bahawa inilah platform untuk memperjuangkan agenda memajukan negara dan agenda kebajikan rakyat. Mereka menerima idea bahawa inilah satu perjuangan. Sebab itu, mereka sanggup membelanjakan dana daripada poket sendiri untuk membina parti di tempat masing-masing.

PAS-BERSATU SELESAI KEMELUT
Jika kemelut ini berlarutan, mungkin pihak lawan akan menggunakan isu ini dalam PRN nanti contohnya kecelaruan dan tiada persefahaman dalam PN sendiri, Bagaimana Datuk melihat perkara ini?
Saya rasa ini adalah isu yang perlu diselesaikan antara Pas dan Bersatu. Yang memutuskan hubungan politik dengan Bersatu adalah Pas. Pas kena tunjuk apa maksud memutuskan hubungan politik itu. Sebab sekarang di luar sana orang mula bertanya, nampak seperti bercerai tetapi masih tidur satu bantal. Jadi, apa sebenarnya?

Dari segi Wawasan, kita tidak terlibat dalam perkahwinan mereka. Kita diterima masuk dalam PN selepas permohonan kita diterima secara majoriti oleh Majlis Tertinggi PN dan kita akan memainkan peranan dalam PN. Tetapi isu dalaman antara dua parti ini, saya rasa elok kita jangan campur. Ia perlu diselesaikan oleh Pas dan Bersatu sendiri. Tetapi kalau ia melibatkan PN, maka di situ Wawasan akan menyampaikan pandangan.

Kerusi terbanyak untuk bertanding dalam PN diberikan kepada Bersatu dan ketika PRN Johor 2022, PN hanya memenangi tiga kerusi. Atas kertas, kelebihan memihak kepada BN di Johor. Dengan memberikan Bersatu lebih banyak kerusi, adakah tujuannya untuk mengukur kredibiliti Bersatu dalam PN?

Bagi PRN Johor ini, kesannya nanti rakyat akan dapat menilai sama ada betul atau tidak Bersatu masih mempunyai kekuatan. Apa yang dilakukan oleh Bersatu dengan meletakkan calon-calon itu boleh menimbulkan risiko mereka akan dikuburkan di negeri Presidennya. Jadi, kita tengoklah keputusan rakyat macam mana dalam PRN itu nanti.

KEMPEN CALON PN
Wawasan sendiri akan turun berkempen untuk calon PN di Johor?
Kita sebahagian daripada PN, kita akan memainkan peranan yang sewajarnya. Bagi kita, penyatuan itu penting. Wawasan sentiasa mengatakan bahawa kita mahu jadi jambatan untuk penyatuan, terutamanya parti-parti politik Melayu yang besar di negara ini dengan semua parti politik lain termasuk yang bukan Melayu. Peranan itu memerlukan kita melakukan sedikit pengorbanan.

Walaupun ada perkara yang kita mungkin tidak selesa, tetapi saya rasa yang pentingnya adalah penyatuan itu berlaku. Jadi, pengorbanan kita nanti ialah dari segi kita akan memastikan bahawa rakan-rakan kita menang.

Isu dalaman, isu suka atau tidak suka, itu adalah isu yang perlu diketepikan untuk memastikan agenda perjuangan lebih besar itu tercapai.

PENYATUAN PAS-UMNO?
Mengenai dakwaan kononnya bakal wujud kerjasama antara Pas dan UMNO, pandangan Datuk?
Saya tidak tahu apa yang dilakukan oleh Pas dan dalaman parti mereka. Saya juga tidak pasti apa yang diputuskan UMNO mengenai isu-isu dalaman parti mereka. Sama ada kedua-dua parti ini membuat keputusan bekerjasama atau tidak, itu terpulang kepada parti masing-masing. Tetapi bagi Wawasan, kita mahu melihat penyatuan berlaku dalam kalangan parti politik Melayu yang besar, parti seperti Pas dan UMNO. Seboleh-bolehnya kita mahu menjadi jambatan ke arah penyatuan itu. Tetapi keputusan akhirnya terpulang kepada parti masing-masing juga.

Mengambil contoh PRN Johor, mungkin ada yang melihat kemungkinan keputusan status quo kepada UMNO/BN. Kita juga melihat keberanian mereka untuk bergerak solo. Adakah ini bakal menjadi penanda aras untuk pilihan raya akan datang?
Ya, saya hendak ucap tahniah kepada UMNO Johor kerana mereka mengambil keputusan bahawa apa yang berlaku di peringkat negeri berbeza daripada apa yang berlaku di peringkat Persekutuan.

Kerjasama politik di mana-mana peringkat bukan kerjasama kekal abadi selama-lamanya. Ini adalah satu perkara positif untuk perkembangan demokrasi Malaysia yang lebih matang kerana realitinya suasana ini berubah dari semasa ke semasa.

Sebelum ini mungkin di peringkat Persekutuan, UMNO perlu bekerjasama dengan PH. Tetapi di Johor, mereka menunjukkan bahawa kepentingan yang dilihat adalah berbeza. Dan mereka sanggup masuk ke pilihan raya tanpa PH serta bersaing dengan PH.

Ini satu perkembangan positif dan saya rasa apabila datang PRU16 nanti, semua pihak mesti membuat penilaian. Kalau kita tengok sistem demokrasi yang lebih matang seperti di Jerman, Australia dan banyak negara lain, pembentukan kerajaan campuran atau koalisi dilakukan selepas pilihan raya, bukan sebelum pilihan raya. Tetapi kalau di Malaysia kita boleh membuat satu jajaran baharu sebelum pilihan raya, itu lebih jelas untuk rakyat.

Apabila BN dan PH sendiri bertembung di PRN, rakyat mungkin melihat kerjasama itu tidak benar-benar ikhlas kerana tiba sahaja pilihan raya, perkara seperti ini berlaku. Adakah boleh dijangka perkara sama berlaku dalam PRU nanti?
Bagi saya, itu adalah perkara yang sihat kerana ini dua gabungan berbeza. Saya rasa kita tidak boleh menyalahkan BN kerana memilih untuk bersama dengan PH sebelum ini. Tetapi pilihan itu jelas tidak disukai rakyat sekarang.

BN perlu membuat keputusan sama ada mereka mahu terus bersama dengan PH. Pada masa sama bagi PN sendiri, saya rasa Pas juga perlu membuat keputusan sama ada sanggup mengambil tindakan-tindakan yang perlu untuk memastikan penyatuan ini berlaku. Jadi, semua pihak, termasuklah di Wawasan, perlu melihat sama ada sanggup melakukan beberapa pengorbanan yang mungkin diperlukan untuk penyatuan berlaku.

Kita tidak mahu keadaan yang mana retoriknya bercakap mengenai perpaduan, tetapi apabila sampai masa bertanding, masing-masing tamak dan mahu bertanding dengan lebih banyak kerusi daripada apa yang telah dirundingkan. Kita harap perkara seperti itu tidak berlaku, bagi memastikan perpaduan itu berlaku dan kerajaan baharu dapat dibentuk dalam PRU16. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN