MUKADIMAH
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan mengakui cabaran besar menanti untuk meraih sokongan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apatah lagi membabitkan pertembungan antara parti tempatan.
Ketika wawancara bersama Mingguan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR dan ASLINDA NASIR disertai jurufoto, AMIR KHALID, pemimpin itu juga menyentuh sokongan Star yang bertanding 46 kerusi DUN sekiranya tiada parti yang boleh membentuk kerajaan Sabah pada malam 29 November nanti.
Pemimpin yang sudah berusia 78 tahun dan berkecimpung dalam politik Sabah lebih 30 tahun itu, masih belum memikirkan untuk bersara dan menyerahkan kepada masa untuk menentukan.
MINGGUAN Malaysia: Sejauh mana momentum sokongan Star?
JEFFERY: Saya tengok sokongan telah meningkat dan cukup untuk mendapat kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri. Namun saya sedar persaingan berlaku dan bukan mudah, sudah tentu berlaku perpecahan undi. Jadi susah nak ramal (keputusan pilihan raya), apatah lagi lagi membabitkan momentum banyak parti tempatan.
Dalam soal ini, Star lebih menyerlah disebabkan kita telah melalui banyak rintangan dalam berjuang. Kita mempunyai harapan khususnya orang muda akan menyokong pendirian Star terutamanya membabitkan 40 peratus hasil Sabah.
Keyakinan Star untuk menang setelah bergerak solo.
Memang kita yakin tetapi tidak boleh terlalu tinggi sebab parti tempatan lain juga sama memperjuangkan hak Sabah. Jadi, bezanya Star dengan parti lain, kita tiada duit tetapi Star ada keinginan menang besar pilihan raya Sabah.
Mengapa keluar GRS?
Ketika perbincangan bersama Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor, saya bagi pandangan tersendiri dan jika tidak mahu terima Star akan guna logo sendiri. Ketika berbincang, ada beberapa perkara perlu diambil kira antara saya dan Hajiji termasuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Ia khususnya apabila tuntutan kerusi semakin meningkat, jumlah kerusi GRS secara keseluruhan semakin mengecil walaupun gabungan mempunyai lapan komponen parti.
PH mahu pembahagian kerusi yang lebih besar. Jika daripada 73 kerusi, 20 diberikan kepada PH, tinggal 53. Bagaimana pula dengan UMNO? Keadaan itu akan menyebabkan PH berada dalam kedudukan lebih dominan berbanding GRS, sekali gus mampu membentuk kerajaan tanpa gabungan tersebut.
Apa beza Star dengan parti tempatan lain?
Bezanya satu sahaja iaitu konsisten dalam perjuangan hak Sabah. Yang benar-benar original (asli) memperjuangkan perkara ini, adalah Star manakala lain pula mengikut tuntutan tertentu. Sebab parti lain akhirnya sedar apa kami perjuangkan selama ini, dulu tidak sedar sekarang baru perjuangkan perkara sama.
Apa tawaran Star kepada Sabah?
Kita punyai visi untuk memajukan Sabah dan memakmurkan rakyat serta mahu negeri ini mempunyai kuasa autonomi. Selain itu, tawaran kita adalah perlu ambil kuasa autonomi dan kuasa politik kita supaya tentukan hala tuju sendiri.
Star juga menawarkan bahawa teruskan menuntut hak dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia dan sekiranya berjaya, kita akan selesaikan masalah yang selama ini tidak dapat diselesaikan disebabkan tidak cukup dana.
Hal ini kerana Kerajaan Pusat menggunakan sistem dan asas yang lama untuk membahagikan peruntukan pembangunan, maka Sabah tidak dapat kejar aspek pembangunan ekonomi dan keperluan asas. Walaupun kita ada tiga entiti Malaysia iaitu Semenanjung, Sarawak dan Sabah tetapi di sana (Semenanjung) ada 11 unit (negeri), tetapi Sabah ada satu unit, sedangkan daerah di sini besar berbanding negeri Semenanjung.
Sebagai contoh, kawasan saya Keningau ada satu Ahli Parlimen, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri dan seorang Pegawai Daerah di kawasan, manakala di Semenanjung ada pecahan negeri dan menyebabkan Sabah banyak ketinggalan.
Sebab itu, saya banyak bangkitkan perkara ini di Parlimen kerana sudah tiba masanya, kena ubah asas pembahagian peruntukan pembangunan supaya kita dapat seimbangkan kemajuan.
Jika dahulu ada residensi atau bahagian di Sabah yang sama seperti negeri, namun perkara itu tidak diambil kira ketika penubuhan Malaysia dan menyebabkan peruntukan tidak seimbang sekali gus Sabah terus mundur dan perlu dibangunkan. Jika kita dapat hak 40 peratus, kita dapat selesaikan segala masalah yang membelenggu negeri. Tiada lagi masalah seperti dahulu.
Sabah tidak membangun disebabkan tiada dana atau rasuah?
Kita melihat pertama, Sabah tidak cukup duit, manakala rasuah itu pula, kalau duit sedikit maka rasuah itu sedikit. Sebagai contoh peruntukan membina jambatan gantung, jumlah itu disalurkan kepada RM500,000 kontraktor.
Namun saya tahu cakap-cakap bahawa orang politik minta sedikit dan ini akan mengurangkan nilai projek kepada rakyat.
Budaya rasuah berlaku disebabkan orang politik, mereka bila masuk kampung, macam-macam rakyat minta seperti duit masuk sekolah sehingga hendak kahwin pun minta daripada wakil rakyat.
Jadi, wakil rakyat seolah-olah ATM (mesin juruwang automatik), jadi semua gaji pergi kepada rakyat, maka mereka tiada pilihan dan kemudian minta daripada kontraktor.
Disebabkan rakyat masih miskin, jadi mereka memerlukan wakil rakyat untuk minta bantuan. Akhirnya wakil rakyat bocor poket sebab kena tolong rakyat. Jadi, budaya ini perlu diubah.
Star bersedia sokong parti lain jika tiada pihak gagal tubuh kerajaan?
Dalam politik, macam-macam boleh berlaku. Niat kita terbuka untuk sesiapa sahaja dan bagi keutamaan kepada parti tempatan dan selepas itu, barulah parti lain. Hal ini kerana selepas pilihan raya, kita perlu move on (terus bergerak ke hadapan), kalau boleh hendak semua masuk kerajaan, tiada masalah. Tiada masalah untuk Star untuk kembali kerjasama bersama GRS ataupun Warisan.
Isu Sabah sekadar retorik politik atau ikhlas?
Mereka memang ikhlas sebab ia jadi peluang jika dibangkitkan sebab tidak didengar seperti biasa. Mengapa? Ia kerana tidak dilaksanakan, Perjanjian Malaysia 1963 sudah 60 tahun tetapi tidak terus berbincang. Bila ia berlaku, mereka terus menuding jari kepada Kerajaan Pusat sama ada ikhlas atau tidak, maka timbulkan persepsi bahawa mereka mahu menjajah dan mengeksploitasi Sabah.
Komen isu dakwaan rasuah?
Itu memang satu perangkap sebab saya tiada kena mengena dengan perlombongan, saya tidak terlibat. Apa pula niat seseorang untuk merakam sesuatu yang kebanyakan keluar mulut pihak membangkitkan perkara itu dan bila mendengarnya, ia seolah dirancang untuk memerangkap, ada motif.
Sekarang baru kita tahu ia kena-mengena dengan politik. Ia satu rancangan untuk melemahkan kita. Saya sudah biasa perkara ini sebab pernah kena tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Seperti dahulu, jika saya bangkitkan sesuatu isu, mulalah kena siasat dan pejabat digeledah serta rumah pula dikepung, jika tidak dapat apa-apa kesalahan barulah kena ISA.
Jadi, saya anggap segala pertuduhan itu untuk untuk menakutkan dan menimbulkan persepsi kita ini orang bersalah terlibat jenayah, sedangkan kita tidak bersalah. – Mingguan Malaysia










