MUKADIMAH
Apa yang telah dimulakan dalam lima tahun ini bukanlah projek satu musim, tetapi perjalanan jangka panjang yang memerlukan kesinambungan.
Justeru Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak mahu negeri ini kembali kepada ketidaktentuan politik berikutan Langkah Kinabalu sebelum ini yang menjejaskan pembangunan dan keyakinan pelabur.
Atas keyakinan itulah, katanya lagi, semua perancangan pembangunan yang telah disusun perlu diteruskan demi memastikan Sabah tidak lagi terhenti di tengah jalan.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, sekali lagi menjadi medan ujian sama ada kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu mengekalkan status quo, ataupun tiada mana-mana parti mampu membentuk kerajaan, sekali gus memaksa rundingan kerjasama dilakukan bagi membentuk kerajaan negeri.
Sama ada GRS mampu duduk semeja kembali bersama Barisan Nasional (BN), Parti Warisan (Warisan) mahupun parti lokal lain, Hajiji merungkai segala persoalan itu. Ikuti temu bual bersama wartawan Mingguan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR, ASLINDA NASIR dan HAFIZ SAIDINA di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
MINGGUAN Malaysia: Sejauh mana sokongan GRS?
HAJIJI: Momentum minggu pertama berkempen sangat baik. Di kawasan saya sendiri, saya telah berjumpa dengan 2,500 petugas parti, dan semangat mereka semakin meningkat.
Dengan perkembangan ini, saya yakin GRS mempunyai peluang besar untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya umum ini.
Sejak lima tahun lalu, GRS melaksanakan banyak inisiatif yang tidak pernah dilakukan oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini.
Melalui hala tuju Sabah Maju Jaya, kami memberi tumpuan kepada tiga sektor utama pembangunan ekonomi Sabah, iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.
Sektor inilah yang kita percaya mampu membawa Sabah menuju kemajuan yang lebih pesat.
Bagaimana pencapaian dalam sektor perindustrian?
Kita memperkenalkan pendekatan mesra pelabur, bukan sahaja untuk pelabur luar negara tetapi juga pelabur dari seluruh Malaysia termasuk Semenanjung dan Sarawak.
Hasilnya, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) kini sudah penuh. Terbaharu, syarikat Istil dari Singapura melabur RM31 bilion, dan perjanjian tersebut telah ditandatangani serta disaksikan oleh Perdana Menteri.
Oleh itu, kita sedang mencari lokasi baharu untuk membangunkan satu lagi taman perindustrian minyak dan gas.
Taman Perindustrian Kota Kinabalu juga hampir penuh, dengan baki kurang daripada 100 ekar.
Kerajaan telah memutuskan untuk mencari kawasan baharu di antara Kota Belud dan Kota Marudu bagi membangunkan taman perindustrian berteknologi tinggi yang melibatkan semikonduktor dan keperluan industri masa kini.
Bagaimana dengan sektor pelancongan dan peluang pekerjaan?
Banyak hotel dan resort sedang dibina, termasuk pelaburan dari Taiwan di Papar dan pembinaan Club Med di Kuala Penyu oleh syarikat Perancis yang dijangka siap tahun depan.
Banyak lagi resort dibina di Kota Kinabalu dan di pantai timur Sabah. Ini bukan sahaja menarik kedatangan pelancong yang membawa masuk wang ke negeri, tetapi juga memberi kesan langsung kepada hotel, restoran dan keseluruhan rantaian ekonomi dan peluang pekerjaan.
Bagaimana prestasi kewangan Sabah di bawah pentadbiran GRS?
Ketika kerajaan diambil alih dahulu, hasil negeri hanya sekitar RM4 bilion.
Kini, hasil mencecah hampir RM7 bilion setiap tahun, dan dijangka meningkat lagi tahun depan. Rizab negeri pula meningkat daripada kurang RM3 bilion kepada lebih RM8 bilion. Kita kutip RM7 bilion tetapi membelanjakan RM5 hingga RM6 bilion sahaja, dan lebihan itu dimasukkan dalam rizab.
Ini menunjukkan pengurusan fiskal yang kukuh, walaupun pembangkang terus kata kita gagal.
Hakikatnya, pemimpin yang dakwa kita gagal itulah yang pernah pegang jawatan penting dalam kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Jabatan Kerja Raya, tetapi tidak selesaikan isu yang mereka kritik sekarang.
Isu air masih menjadi masalah utama, apa penyelesaiannya?
Ini masalah lama diwarisi daripada kerajaan terdahulu. Kerajaan kini sedang melaksanakan projek bernilai RM1.2 bilion untuk meningkatkan bekalan air.
Kita mendapat pinjaman mudah RM320 juta untuk menaik taraf logi air dan 18 projek sedang berjalan serta dijangka siap tahun depan.
Di Papar, logi air dinaik taraf daripada 40 juta liter sehari kepada 80 juta liter dengan pinjaman RM385 juta, dan dijangka selesai tahun depan.
Di Tawau, Ampangan Cinta Mata Tawau kini 60 peratus siap dan dijangka siap menjelang 2028. Secara keseluruhan, sekitar RM1.2 bilion diperuntukan untuk projek air ini.
Malangnya, pembangkang yang mengkritik inilah dahulu membatalkan konsesi bekalan air hingga kerajaan terpaksa bayar pampasan RM315 juta.
Jika wang itu tidak dibazirkan, banyak jalan raya dan jambatan boleh dibina.
Pembangkang terus mengkritik keadaan jalan raya di Sabah. Komen?
Ini semua masalah yang kita warisi daripada mereka juga.
Bukan masalah baru wujud. Betul, dari dulu itulah saya kata, kenapa ketika mereka berada dalam kerajaan, mereka tidak selesaikan perkara ini?
Ada pemimpin yang dulu jadi menteri, termasuk Menteri Jabatan Kerja Raya yang bertanggungjawab menjaga jalan raya. Kawasan dia sendiri penuh jalan berlubang, tetapi sekarang dia menuduh kita yang gagal.
Dia cakap jalan raya di Kinabatangan macam jalan raya di bulan, berlubang-lubang.
Tetapi berapa tahun dia jadi menteri yang sepatutnya menjaga jalan raya itu? Kalau ketika dia memegang kuasa pun dia tidak selesaikan, boleh pula menuduh kerajaan kita gagal?
Bagaimana GRS lihat pertembungan sesama parti dalam kerajaan?
Pertembungan antara parti-parti kerajaan perpaduan adalah perkara biasa.
Hanya sekitar tiga atau empat kawasan terlibat. Saya sudah menasihatkan jentera GRS agar tidak menyerang rakan komponen.
Mungkin sedikit sindiran itu biasa, tetapi jangan melampaui batas kerana kita berada dalam gabungan sama.
Beberapa calon GRS kali ini bertanding logo PKR. Adakah ia sebahagian rancangan GRS-PH dan Datuk Seri merestui tindakan itu?
Biasalah dalam politik. Ada yang tidak berfikir panjang, marah sekejap, tetapi bila hampir waktu mengundi, mereka tetap kembali menyokong juga.
Namun ada pula yang perjuangannya sudah berubah, lalu pergi ke parti lain.
Tetapi parti lain pun bukan boleh beri apa-apa kepada mereka. Malah ada yang meminta jadi calon di sana pun tidak dipilih. Jadi, untuk apa jual diri?
Maksudnya Datuk Seri menghalalkan perkara itu berlaku?
Saya tidak pernah menghalalkan. Tetapi itu keputusan mereka apabila kita bagi kerusi dengan PH kawasan tertentu itu.
Jadi, saya pun tidak tahu macam mana mereka boleh diyakini ataupun diambil PH atau PKR. Saya tidak pernah suruh atau kita bagi restu.
Selepas timbulnya kebimbangan situasi seperti Langkah Kinabalu, adakah GRS bersedia berunding dengan mana-mana pihak, termasuk Warisan, jika tiada gabungan memperoleh majoriti selepas PRN?
Di Sabah ini, macam-macam boleh berlaku selepas 29 November nanti, terutama kalau tidak ada satu parti atau gabungan yang sampai majoritinya. Itulah nanti yang akan menjadi masalah, sebab parti yang kecil pun boleh menentukan dan menjadi kingmaker.
Jadi, kita tengoklah sampai masanya, barulah kita boleh jawab dengan jelas.
Mengapa ramai calon Bebas kali ini?
Inilah keunikan Sabah. Negeri ini mempunyai lebih 20 parti, dan ada parti yang jarang kelihatan tiba-tiba bangkit semasa pilihan raya.
Keadaan ini menjadikan suasana politik sangat meriah seperti pesta demokrasi. Namun, saya berharap rakyat berpolitik dengan tujuan dan perjuangan, bukan sekadar suka-suka membayar RM5,000 untuk bertanding.
Tentang video skandal yang dikaitkan dengan pemimpin GRS?
Video itu jelas mempunyai niat tidak baik. Isu itu hanya berkaitan Prospecting License (PL) Lesen untuk Mencarigali Mineral Sabah, bukan perlombongan.
Banyak syarikat terlibat dalam proses permohonan, dan ada yang tidak diluluskan kerana tidak memenuhi peraturan.
Apabila permohonan ditolak, ada pihak marah lalu mengeluarkan video lama untuk memberi gambaran salah. Mereka menuduh mengenai dana politik, tetapi di mahkamah mereka sendiri mengaku bukan mereka yang memberi rasuah. Jadi, siapa sebenarnya? Hantu?
Mesej GRS kepada rakyat Sabah?
GRS mahu memastikan Sabah terus stabil politiknya dan maju.
Dengan mandat baharu, kita akan meneruskan pembangunan ekonomi, memperkukuh infrastruktur asas seperti air dan jalan raya, meningkatkan pendidikan serta modal insan, dan memastikan anak muda Sabah mendapat peluang dalam pembangunan negeri. – Mingguan Malaysia










