Kita tidak boleh selesa jadi pengguna sahaja

Kita tidak boleh selesa jadi pengguna sahaja

MALAYSIA bukan sahaja memerlukan golongan pekerja yang ramai tetapi lebih utama adalah golongan pekerja mahir bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi memasuki negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA mempunyai rancangan menjadi sebuah negara ekonomi besar di peringkat global dan perkara tersebut disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila memaklumkan hasrat menyertai BRICS.

Perkara itu disokong komuniti peniaga di Malaysia, namun menurut Presiden Moving Forward Malaysia, ADAM CHUAH, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian pihak berwajib khususnya melibatkan golongan usahawan tempatan.

Moving Forward Malaysia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan usahawan-usahawan dari pelbagai kaum yang ditubuhkan bertujuan membantu kerajaan mencapai lebih banyak kejayaan dari aspek pembangunan ekonomi.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, KHAIRUL MOHD. ALI dibantu jurufoto, RAJA JAAFAR ALI, beliau berkongsi pandangannya tentang keadaan ekonomi semasa negara ketika ditemui di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.

UTUSAN: Bagaimana anda melihat ekonomi negara ketika ini?
ADAM: Saya merasakan Malaysia masih belum mencapai tahap potensi sebenar. Masih terdapat banyak sektor dan peluang perniagaan yang mungkin kurang diceburi rakyat tetapi mempunyai pelanggan dalam kalangan komuniti pengguna global.
Sebagai contoh, Malaysia sebelum ini dikenali sebagai sebuah negara ekonomi membangun yang banyak memberikan tumpuan kepada sektor perkilangan dan pembuatan. Ini sesuatu yang bagus tetapi sistem ekonomi kita perlu berkembang sama dengan peredaran teknologi. Ini bermakna Malaysia tidak boleh kekal menjadi lokasi pemasangan atau pembuatan komponen kecil semata-mata, sebaliknya perlu teroka peluang untuk mengeluarkan produk tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.

Lihat kembali kepada sejarah negara apabila berjaya menghasilkan produk seperti kenderaan nasional iaitu Proton. Walaupun ada segelintir pihak memandang rendah produk dan jenama tempatan ini, tetapi tidak dapat nafi sumbangan jenama tersebut dalam menimbulkan minat generasi muda untuk turut terlibat dalam bidang automotif sama ada sebagai mekanik, jurutera, pereka dan lain-lain berkaitan.

Sama juga dengan jenama penerbangan tempatan iaitu Malaysia Airlines (MAS). Dengan wujudnya jenama itu maka lahirnya ramai jurutera dalam bidang penerbangan, begitu juga lahirnya juruterbang profesional tempatan.
Namun, ketika ini masyarakat dilihat semakin selesa menjadi golongan pengguna semata-mata dan tidak lagi menghasilkan produk tempatan. Ini tidak menjadi kesalahan tetapi kita juga perlu ada produk sendiri seperti telefon bimbit atau platform media sosial tempatan dan sebagainya.

Apakah yang banyak dibincangkan dalam komuniti perniagaan?
Kemasukan pengaruh komuniti perniagaan dari China. Memang banyak pelaburan dibawa masuk tetapi terhenti setakat mewujudkan peluang pekerjaan sahaja. Majoriti syarikat dari China yang membuka perniagaan di sini membawa bahan mentah dan kepakaran dari negara mereka sendiri yang boleh diperoleh dengan mudah dan pada kos lebih murah berbanding menggunakan kepakaran atau pembekal tempatan.
Gerakan boikot turut menjadi topik perbualan kerana perkembangan global kini memberi kesan kepada perniagaan tempatan walaupun isu yang dibincangkan terjadi beribu batu jauhnya dari Malaysia dan juga mungkin tidak melibatkan kehidupan seharian rakyat negara ini.

Apakah yang dimahukan oleh komuniti perniagaan?
Komuniti peniaga berharap kerajaan dapat meluaskan lagi rangkaian kerjasama khususnya melibatkan kemasukan pelaburan asing yang tidak hanya fokus kepada negara Tembok Besar, sebaliknya turut memberikan tumpuan kepada Eropah dan Asia Barat khususnya negara-negara yang mempunyai kadar tukaran mata wang lebih tinggi berbanding ringgit.
Langkah ini bagi membantu kemasukan syarikat yang bukan sahaja membuat pelaburan bagi pembinaan kilang atau syarikat mereka di sini, tetapi juga mengupah pekerja mahir tempatan dengan gaji tinggi dan juga menggunakan khidmat pembekal atau pembuatan tempatan kerana kos yang lebih murah berbanding di negara asal mereka. Itu pelaburan berkualiti yang komuniti peniaga tempatan mahukan.
Bagi gerakan boikot pula, kami berharap kerajaan dapat mengambil langkah bijak dan mengekalkan sikap neutral yang dipegang pentadbiran kerajaan sebelum ini apabila melibatkan hubungan dengan blok-blok negara antarabangsa.
Selain isu Palestin dan Israel, imej hubungan rapat antara Malaysia dan China turut memberi kesan negatif apabila syarikat pelaburan negara dari blok Eropah bertindak menjauhi daripada membuat pelaburan atau memulakan perniagaan di Malaysia.
Sehubungan itu, kerajaan perlu bijak memainkan peranan mereka di pentas ekonomi antarabangsa. Kita perlu rapat dengan semua blok negara ekonomi dunia termasuklah China, Amerika Syarikat (AS), negara-negara Eropah dan Asia Barat.

Apakah langkah penambahbaikan boleh dilakukan kerajaan?
Aspek paling penting adalah pendidikan buat generasi muda yang memberikan penekanan kepada bidang teknologi dan digital. Ya, memang sekarang sudah banyak institusi sedemikian seperti politeknik, kolej komuniti, GiatMara dan lain-lain, namun adakah ia benar-benar menjadi tarikan buat generasi muda ketika ini?
Bagi menjawab soalan ini, boleh ditanya terus kepada generasi muda hari ini, apakah cita-cita mereka? Pastinya majoriti memilih untuk menjadi pemandu e-hailing, pekerja kilang biasa, pembantu kedai makan, perunding insurans, penjual produk dan paling tidak, menjadi pempengaruh.
Tiada lagi kita dengar cita-cita golongan majoriti mahu menjadi jurutera atau pakar teknologi maklumat (IT), pereka dan pencipta produk sedangkan itu yang diperlukan ekosistem ekonomi negara. Kami berharap kerajaan dapat terus mempromosikan bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam kalangan generasi muda. Malaysia bukan sahaja memerlukan golongan pekerja yang ramai tetapi lebih utama adalah golongan pekerja mahir bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi memasuki negara ini. Jika syarikat teknologi antarabangsa sukar mendapatkan pekerja mahir dan berkualiti dalam kalangan rakyat tempatan, itu akan menjadi antara faktor buat mereka mencari negara lain yang bersesuaian dengan bidang perniagaan mereka.

Apakah dasar dan inisiatif ekonomi ketika ini yang diterima baik dalam komuniti peniaga tempatan?
Tidak dinafikan banyak dasar dan inisiatif baharu yang baik dan memberikan manfaat. Antara yang utama pastinya penubuhan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City dan juga Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Kedua-dua inisiatif ekonomi berimpak tinggi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti peniaga tetapi lebih utama kepada rakyat tempatan. Selain ribuan pekerjaan baharu akan terhasil termasuklah yang berkualiti tinggi, ia akan mewujudkan perniagaan sampingan dan hiliran yang turut dapat menaik taraf kualiti hidup rakyat dalam pelbagai bidang.
Harapan kami agar inisiatif sedemikian dapat dilaksanakan seperti dirancang dengan pemantauan dan pengawalan terbaik daripada agensi kerajaan. Ini penting kerana jika tiada pengawalan atau prosedur teratur, kami bimbang inisiatif ini tidak akan berjaya seperti yang kita semua harapkan.

Adakah kestabilan politik penting buat ekonomi negara?
Sudah tentu apabila kerajaan stabil, dasar dan polisi yang diperkenalkan akan kekal dalam tempoh masa panjang dan itu yang pelabur antarabangsa mahukan, iaitu sesebuah dasar itu kekal dan bukan berubah-ubah seiring dengan pertukaran kerajaan.
Memang benar semua pihak mempunyai pandangan politik masing-masing dan memberikan sokongan kepada parti politik mereka, tetapi ahli politik dan rakyat juga perlu tahu kesejahteraan kehidupan rakyat bergantung kepada kekuatan ekonomi yang mana bersangkut paut dengan kestabilan politik. Boleh berpolitik tetapi kekuatan ekonomi negara juga perlu dipertahan dan dibangunkan secara berterusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN