Mukadimah
Pas pernah berkawan dengan DAP satu ketika dahulu menerusi Barisan Alternatif (BA) dan juga Pakatan Rakyat (PR).
Hubungan tersebut bagaimanapun tersungkur di tengah jalan disebabkan beberapa perkara yang menjadi pertikaian antara kedua-dua pihak.
Malah Pas yang kini menjadi salah satu komponen dalam Perikatan Nasional (PN) banyak mengasak DAP.
Kepada Mingguan Malaysia Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin memberikan penjelasan beliau.
MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana saudara melihat kerjasama antara UMNO dan DAP ini memberi kesan kepada sokongan orang Melayu. Adakah sesuatu yang relevan untuk terus diperkatakan dan menjadi bahan kempen PRN?
Hubungan antara dua parti bukan hal kita pun (Pas). Cuma saya nak beritahu apabila kedua-dua parti ini bertembung, ia membuka segala pekung, kelemahan mereka.
Dan pekung-pekung ini berfakta terutama apabila UMNO kata DAP parti ekstremis dan DAP kata UMNO parti rasuah sebelum PRU15.
Jadi, sudah pasti ia akan terus diperkatakan dan dipolemikkan serta menjadi sebahagian bahan untuk berkempen sebab keluar daripada mulut mereka sendiri.
Adakah Pas melihat DAP dan UMNO sebagai parti yang mempunyai pendirian serta memiliki hala tuju yang sama sebagaimana sebelum PRU15?
Tiada pendirian. Mereka hanya bergabung sebab mahu mendapatkan kuasa. Janji-janji mereka dalam manifesto pun mereka tidak ikut.
Kerajaan Perpaduan melihat Pas dan PN sebagai sebuah parti yang sentiasa menyemarakkan isu sentimen perkauman dan agama. Komen saudara?
Melihat cermin adakalanya perlu berhati-hati juga sebab kadang-kadang ia boleh terpantul pada diri sendiri.
Apa yang PN bawa berteraskan dan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 Agama bagi Persekutuan, Perkara 153 pula berkaitan dengan kontrak sosial yang memberi Yang di-Pertuan Agong tanggungjawab bagi menjaga kedudukan istimewa Melayu dan penduduk asli mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah komuniti lain termasuk kaum bukan bumiputera.
Jadi, tidak timbul soal ekstrem kalau kita membawa pendekatan dengan berteraskan Perlembagaan Persekutuan.
Adakah PN ketandusan isu-isu yang menyentuh dasar sehingga dilihat sedemikian?
Saya mahu tanya apakah isu kos sara hidup dan nilai ringgit jatuh ini isu 3R (agama, bangsa dan raja)?
Saya sendiri memperjuangkan isu-isu seperti ini . Sebenarnya yang membawa isu agama adalah modal politik DAP dan UMNO. Kita boleh rujuk kepada kenyataan mereka sebelum ini.
Hatta dari blok kerajaan sekalipun contoh Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu membawa isu kapal tempur pesisir (LCS).
Bukanlah niat saya nak memberi komen isu ini. Akan tetapi apa yang pelik ia diberi (tunggu laporan) Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu sedangkan laporan PAC yang lama sudah ada.
Kalau mereka mahu lambat-lambatkan apa yang kita boleh buat (isu LCS)? Pada asasnya asasnya penambahan RM2 bilion untuk projek itu melibatkan duit rakyat dengan jumlah kapal kurang satu.
Pas pernah bersama DAP, kenapa sekarang Pas pandang pelik kepada kerjasama UMNO dan DAP?
Sebab Pas ada pengalaman. Jadi, mengapa UMNO hendak lalui pengalaman sama? Dalam kita bersama dengan DAP sebelum ini kita bersetuju agar tidak boleh bertembung perkara yang bersudut agree to disagree. Contoh, Pas mahu membawa isu berteraskan Islam .
Itu memang hak Pas untuk bawa Islam. Mengapa pula DAP nak menentang? Itu yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. DAP menentang pembawakan Pas terhadap Islam yang berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Jadi, sebab itu kita berpecah. Maknanya, DAP anti Islam. Sedangkan kerangka yang Pas bawa adalah kerangka yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan. Apa yang kita perjuangkan adalah Agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Pandangan saudara tentang konsep Malaysia Malaysia. Adakah ia kini diselindungkan selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan?
Benda yang berselindung lama-lama akan terbuka juga. Perangai-perangai yang ditunjukkan DAP semasa 22 bulan dulu pun, itu pun akan berulang sekarang.
Jadi, saya yakin dan percaya rakyat nampak bahayanya mereka. – Mingguan Malaysia









