MUKADIMAH
DESAKAN, kritikan dan cadangan timbul satu persatu sebaik saja kerajaan mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin daripada Akta Racun 1952 baru-baru ini
Walaupun isu ini sudah diperkatakan sejak 10 tahun lalu, ia masih belum dan sukar menemui titik penyelesaian. Adakalanya sehingga dilihat mustahil, sama ada pihak yang menyokong atau menentang.
Malah kajian demi kajian turut dilaksanakan bagi menyokong atau menentang penggunaan vape .
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah bekas Menteri Kesihatan, TAN SRI DR. S. SUBRAMANIAM bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu, jurukamera, SHIDDIEQIIN ZON.
MINGGUAN MALAYSIA: Keputusan kerajaan menarik semula cecair vape daripada Akta Racun 1952. Tan Sri setuju?
SUBRAMANIAM: Pada saya, ia satu perkara yang perlu difikirkan secara mendalam sebelum apa-apa keputusan dibuat. Sebenarnya, kalau hendak dikenakan cukai terhadap cecair nikotin pun tidak mengapa sebagai sumber pendapatan negara.
Bagaimanapun, dalam masa sama mesti ada peraturan untuk mengawal industri ini dan bukan diberikan kebenaran secara bebas (penjualan atau penggunaan).
Perlu diingat apabila kerajaan mengeluarkan senarai cecair nikotin daripada Akta Racun 1952, ia sudah membuka satu senario yang mana vape boleh dijual di mana-mana oleh sesiapa sahaja.
Malah, sesiapa boleh membawa masuk cecair nikotin atau apa sahaja berkaitan oleh mana-mana pihak tanpa kekangan. Saya pasti ini bukan tujuan asal kerajaan untuk tangani isu vape.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan cukai kepada cecair nikotin. Isunya di sini mengenakan cukai itu satu hal. Tetapi, keputusan yang dibuat untuk membolehkan mereka mendapat cecair nikotin secara bebas itu salah.
Maknanya di sini perlu ada kawalan. Contoh paling mudah, tembakau yang ada dalam Akta Kawalan Makanan 1983 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 untuk kawal penggunaannya.
Melalui peraturan ini ada kawalan tertentu seperti tidak boleh menjual secara bebas, perkara berkaitan iklan, tajaan dan sebagainya.
Kerajaan perlu bertindak cepat agar vape ini dikawal. Adakah kita perlu tunggu satu akta? Ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun. Apa akan jadi nanti dalam tempoh tersebut? Langsung tiada kawalan dan semuanya bebas.
GUNA UNDANG-UNDANG NEGARA LAIN
Adakah wajar Malaysia ‘mengguna pakai’ undang-undang negara lain seperti New Zealand dalam hal berkaitan rokok dan penggunaan vape?
Tidak perlu tiru dari negara lain. Kalau daripada perspektif kita melihat vape ini mendatangkan banyak masalah dan menjadi satu budaya sehingga menjadi satu gaya hidup baharu, ia perlu dimasukkan dalam akta, maknanya ada undang-undang khusus.
Kemudian kita perlu lihat pula cecair nikotin itu sendiri. Ada yang mencampurkan dengan pelbagai dadah dan campuran. Jadi, kalau ada logiknya untuk kita kawal, maka kita masukkan ia dalam akta.
Lagi satu kita perlu ingat, kita tidak boleh memberi gambaran atau berfikiran di mana satu situasi rokok diharamkan dan satu lagi kita mahu vape dihalalkan. Nanti di kemudian hari kita akan menghadapi masalah untuk mengawal isu vape ini pula .
Adakah wajar vape dikeluarkan daripada RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022?
Vape ada pandangan daripada sudut sains juga. Ada yang kata vape boleh kurangkan masalah ketagihan merokok dan dikatakan doktor boleh memberi dengan nasihat dan preskripsi agar ketagihan dapat dihentikan.
Namun, apa yang berlaku, ia sudah menjadi gaya hidup dan menjadi normal. Dalam masa sama, ada kajian yang mengatakan vape memberi kesan kepada kerosakan paru-paru. Ada juga kes yang mencampurkan ganja.Itu belum lagi bahan untuk membuat cecair nikotina yang tidak diketahui bahannya.
Apabila berkembang industri vape ke satu tahap nanti apa tindakan kita kalau ia tidak dikawal?
Jadi, perlu ada kawalan semua. Sekarang semua lihat kepada isu membabitkan cecair nikotin sahaja. Bagaimana dengan perisa, bahan pewarna dan bahan kimia di samping syarikat yang mengeluarkannya?
PENINGKATAN ROKOK HARAM
Tidakkah RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 hanya memberi kesan kepada peningkatan rokok haram di pasaran tanpa ada penyelesaian?
Ini pun satu lagi masalah. Dalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ada satu pandangan bahawa apabila cukai ke atas rokok ditingkatkan pada satu tahap, kita akan lihat kurangnya perokok dalam sesebuah negara.
Tetapi, ia tidak berlaku di negara kita walaupun sudah banyak kali cukai dinaikkan. Apa yang terjadi, berlaku masalah rokok haram yang lebih murah kerana cukai hanya dikenakan kepada rokok halal sahaja. Dalam isu ini ia membabitkan isu kawalan pula.
Dulu sewaktu zaman saya menjadi Menteri Kesihatan, lebih 40 peratus perokok menghisap rokok haram. Dekat sini kita boleh lihat, naiklah cukai (rokok) berapa banyak pun, ia tidak berjaya.
Kementerian Kesihatan tidak kawal rokok haram ini. Ia di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan perlu ada tindakan yang lebih agresif untuk mengatasi masalah ini.
Kalau tidak, berapa banyak cukai yang dikenakan atau apa juga polisi serta hala tuju termasuk Generasi Penemat (GEG) tidak akan berjaya.
Masalah kita ini hanya cakap benda yang ‘halal’ sahaja tidak bercakap benda yang haram.
Tan Sri yakin isu berkaitan rokok dan vape diselesaikan dengan RUU ini?
Dulu kita naikkan cukai rokok beberapa kali pun, masalah pokok masih tidak selesai. Malah, pada zaman saya ada 40 peratus perokok.
Bagi saya mudah. Hanya melalui pendidikan yang mampu menyerap mentaliti masyarakat untuk membenci budaya merokok.
Sebagai contoh, di Amerika Syarikat (AS) generasi muda mereka sudah banyak yang tidak merokok.
Ada satu pandangan negatif masyarakat di sana terhadap perokok. ‘It’s not cool to smoke’( tidak nampak hebat menghisap rokok)
Tapi bagaimana pula mentaliti di sini? “Awak nampak hebat menjadi perokok”.
Walau apa pun GEG menjadi satu cabaran selagi mana adanya rokok haram dalam negara ini.
Analoginya, mudah. Atas meja, kita mudah hendak lihat, tetapi perkara di bawah meja memang susah.
NAIKKAN KADAR CAJ HOSPITAL
Dengan mengambil kira peningkatan kemudahan kesihatan di negara ini, adakah kadar caj di hospital kerajaan perlu dinaikkan?
Kita sudah wujudkan satu budaya dan mentaliti dalam kalangan rakyat bahawa semua percuma di klinik kerajaan.
Ini pun sudah ‘dijual’ oleh orang politik demi kepentingan mereka. Di banyak negara isu kesihatan isu politik yang besar. Dalam pilihan raya pun, tumbangnya sesebuah kerajaan disebabkani su kesihatan.
Dalam konteks di negara kita, rakyat sudah puas hati pergi klinik bayar RM1 dan dapat ubat RM200. Kemudahan perkara utama dan ia bergerak seiring dengan perkhidmatan.
Sebab itu, saya katakan kita sudah wujudkan satu budaya dan ia mendapat sambutan pula dalam kalangan parti politik.
Jadi, kalau mahu naikkan caj, perlu sedar ia tidak mungkin diteruskan untuk jangka masa panjang sebab ada kekangan.
Saya sendiri ketika menjadi Menteri Kesihatan cuba menaikkan kos itu. Kita mulakan dengan rawatan pergigian yang bukan kecemasan. Esoknya, apabila kita mahu laksanakan, arahan dikeluarkan minta ia dibatalkan dalam mesyuarat Kabinet.
Kalau naik RM1 atau RM2, ia akan menggoncang kerajaan. Ini adalah keputusan politik.
Jadi, saya sangat berharap semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang mengambil satu pendekatan untuk membawa sistem kesihatan ke tahap yang lebih baik.
Pengusaha vape tidak kisah kawalan lebih ketat
PERJUANGAN pemain industri vape diangkat dengan keputusan kerajaan baru-baru ini.
Di sebalik ‘kemenangan’ itu, ada cadangan bagi memastikan peranti ini tidak disalah guna terutama membabitkan dadah.
Wartawan Mingguan Malaysia menemu ramah Pengarah Nanostix Innovation Sdn. Bhd., SHAHABUDEEN JALIL KAMARUL JAMAN bagi mendapatkan pandangan beliau.
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah satu kemenangan buat pemain industri apabila kerajaan membuat keputusan menarik semula cecair vape daripada Akta Racun 1952?
Kami berbesar hati sebab selama 10 tahun iaitu bermula dari tahun 2012 sehingga sekarang kita minta diadakan peraturan untuk vape. Malangnya, permintaan tidak dipenuhi sebab di bawah lima menteri dan kerajaan berbeza. Langsung tiada perkembangan sepanjang tempoh tersebut.Sekarang apabila kerajaan bersetuju mengenakan cukai kepada cecair tersebut ia ibarat satu rahmat.
RUU undang-undang baharu akan dibengkan pada Mei nanti bagi mengawal sediaan nikotin dalam cecair rokok elektronik atau vape. Apakah jangkaan anda?
Di United Kingdom (UK), mereka edarkan sejuta rokok elektronik percuma. Sebabnya, mereka anggap ia harm reduction (pengurang kemudaratan). Mereka tidak anggap rokok elektronik atau vape ini benda yang tidak bagus.
Malah kami di Nanostix memang menggunakan konsep sama iaitu pengurang kemudaratan.
Kami tidak mempromosikan ia sebagai gaya hidup. Kita hanya jual sebagai alat berhenti merokok. Isunya timbul apabila ada peniaga yang mengimport barang dari China dan jadikan ia satu gaya hidup.
Mereka buat dengan warna menarik, perisa manis dan asap banyak. Produk kami berbeza sebab kita mahu orang berhenti merokok, bukannya suruh mencuba vape.
Jika cecair nikotin ini dikawal dan dimasukkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, adakah anda setuju?
Saya setuju. Memang perlu ada kawalan macam rokok atau arak. Saya cadangkan biar ia lebih ketat daripada rokok. Mungkin jual di kedai yang lebih eksklusif seperti di kedai berdaftar dengan Nanostix atau kedai yang menjual vape berdaftar. Kalau ada yang langgar wajar dikenakan tindakan.
Apa janji anda bahawa vape ini tidak akan disalah guna terutama dalam kalangan pelajar sekolah?
Kilang kita ada Pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan pensijilan ISO . Malah ia dibungkus rapi tanpa boleh dibuka atau diubah suai. Isian cecair hanya dibuat di kilang sahaja. Sebab apa? Sebab bagi kami ia penting untuk mengelakkan daripada cubaan memasukkan perisa lain seperti ganja.
Ambil contoh sistem pod terbuka bahaya. Ada yang beli cecair ganja dari AS dan masukkan dalam pod. Ini semestinya penyalahgunaan besar. Saranan kami senang. Utamakan pemain industri tempatan dan bukan barang diimport. Selain itu, pengilang tempatan perlu sediakan pelekat cukai pada bungkusan yang menunjukkan produk itu selamat.
Adakah wajar Malaysia meniru negara lain sebagai contoh bagi pelaksanaan undang-undang dan kawalan terhadap vape serta rokok?
Saya sebenarnya ada perasaan bercampur baur. GEG ini bagus tetapi pelaksanaan sukar dan dilihat mustahil. Menjadikan vape sebagai bahan pengurang kemudaratan sudah bagus. – Mingguan Malaysia










