Mukadimah
ISU pentauliahan dan lawatan ke gereja menjadi polemik kebelakangan ini sehingga menimbulkan perbalahan dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Pelbagai pandangan dilontarkan sama ada pemimpin, tokoh agama sehinggalah rakyat biasa terhadap kedua-dua isu ini.
Apa yang membimbangkan kedua-dua isu ini boleh memberi risiko perpecahan terhadap umat Islam pada masa akan datang.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah penceramah bebas, USTAZ AHMAD DUSUKI ABDUL RANI bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu, jurufoto, SADDAM YUSOFF.
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana ustaz melihat soal pentauliahan untuk penceramah di setiap negeri?
AHMAD DASUKI: Daripada sudut positifnya, pentauliahan ini satu cara kita hendak sekat ajaran sesat supaya apa yang tidak betul dan bertentangan dengan Islam tidak dapat disebarkan.
Tetapi malangnya, tauliah ini dipergunakan pihak tertentu untuk sekat lawan mereka dengan mendakwa pihak yang disekat ini bercerita tentang politik di masjid, walhal tidak begitu. Di masjid orang tidak sebut pasal politik sangat.
Pada saya, kalau isu tauliah ini digunakan orang politik untuk melawan kepolitikan tersebut, maka ia dilihat seperti menyekat penceramah terbabit menyebarkan ajaran Islam.
Ini salah sama ada daripada segi agama atau hak kebebasan bersuara dengan mengambil kesempatan menggunakan alasan tauliah tersebut. Dalam erti kata lain, isu ini disalah guna pihak tertentu.
Sebab apa saya katakan begitu? Kerana ada penceramah yang sebelumnya boleh berceramah, tapi sekarang tidak dibenarkan pula berceramah. Selepas itu, apabila ada pertukaran orang lain, ada lagi perubahan.
Kalau dia bersalah terus tuduh di mahkamah. Itu yang sepatutnya. Bukannya tahan tidak beri dia berceramah.
Contoh paling mudah, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Muhammad Wadi Anuar yang boleh berceramah di tempat lain tetapi tidak di Selangor. Yang peliknya, sebahagian negeri boleh dan di sebahagian lagi tidak boleh. Adakah dia buat salah atau tidak sebenarnya? Ini menimbulkan banyak persoalan.
Kita perlu ingat dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 114 pun ada menyebut: Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (solat dan) menyebut nama Allah di dalamnya dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu.
Ini bermakna Allah SWT melarang menyekat pihak yang menyebar agama Allah SWT di rumah Allah SWT.
Adakah orang yang menyekat itu juga selayaknya mengajar? Dia guna nama politik tapi dia sendiri mempolitikkan isu tauliah.
Malah kalau ada yang sebut atau jual nama sultan dalam isu ini juga tidak wajar. Kalaupun sultan ada menyebut, kita sepatutnya perlu menjelaskan kepada sultan dan faham apa yang diajar Nabi Muhammad SAW.
PERANAN MUFTI
Adakah mufti perlu lebih berperanan dalam hal ini?
Sepatutnya mufti perlu nasihat juga sultan mengenai politik Islam. Kena cerita dan mufti jangan diam serta perlu menyebut perkara benar. Kalau tidak di akhirat nanti Allah SWT bakar mulut mereka seandainya tidak menceritakan perkara sebenar.
Sultan perlu dijelaskan bagaimana peranan yang boleh dimainkan mereka dalam hal berkaitan Islam. Kita sebagai orang Islam pelik tidak mahu pula cerita berkenaan politik Islam. Sebagai contoh bagaimana Baginda mempertahankan negara. Bahkan Rasulullah SAW turut bercerita pasal politik dan pentadbiran negara dalam masjid. Takkan kita hendak cerita pasal politik kafir?
Adakah wajar tokoh atau penceramah yang sudah cukup dikenali diberi pengecualian daripada pentauliahan?
Saya nampak ini bukan isunya. Ia isu kedengkian dan kebencian sesama Islam. Isu yang membarah dalam kalangan kita apabila kita banyak sangat berpolitik sehingga memecah belahkan orang Islam.
Sebelah pihak memegang status sebagai penguatkuasaan di jabatan kerajaan. Jadi, dia ada kuasa untuk memberi tekanan kepada mereka yang tidak sependapat. Walaupun penceramah itu dikenali, seandainya pihak satu lagi mempunyai kuasa, ia tetap akan menggunakan kuasa untuk sekat. Golongan seperti ini bahaya.
Pernah ustaz berdepan dengan pengalaman berkaitan isu pentauliahan?
Banyak pengalaman. Sampai sekarang saya tidak dibenarkan untuk berceramah di Selangor tanpa ada alasan pun. Apabila saya buat semakan kehakiman, dikatakan saya aktif dalam bidang politik walhal saya tiada apa-apa jawatan pun berkaitan politik.
Ini yang saya sebut dan maksudkan dengan rasa tidak puas hati sehingga menggunakan jawatan atau mereka yang lebih berkuasa.
PERPECAHAN UMAT ISLAM
Apakah kesannya jika isu pentauliahan ini berlarutan?
Orang Islam akan berpecah dan sesama kita akan bertengkar sampai bila-bila. Sebab segelintir penceramah mempunyai pengaruh dan pengikutnya.
Tidak mustahil boleh berlaku sebagaimana isu solat dua imam dahulu. Sebab itu, saya tekankan kalau ada penceramah yang melakukan kesalahan dia perlu didakwa di mahkamah. Sebagai contoh, kalau ada unsur ajaran sesat.
Lagipun kita perlu ingat medan dakwah sekarang lebih terbuka dengan kemunculan pelbagai platform. Kalau ada pihak hendak sekat mereka berceramah, masih ada saluran lain, Youtube, contohnya. Kita tidak mahu ada satu gelombang gerakan yang akhirnya menimbulkan perpecahan.
Langkah terbaik untuk selesaikan isu ini?
Di sini peranan sultan amat penting. Perlu memainkan peranan dengan mendamaikan masyarakat. Apabila masyarakat sudah berpuak-puak, akan susah nanti. Jangan biarkan ada pihak yang cuba mempergunakan kuasa dan nama sultan untuk menekan pihak satu lagi.
Pada saya, sultan mungkin boleh memanggil kedua-dua pihak untuk mendapatkan penjelasan. Kalau orang itu ada sijil dan mempunyai kredibiliti, teruskanlah untuk berceramah. Apa masalahnya kalau semua ilmu yang disampaikan benar dan tidak menyimpang?
Selain itu adalah lebih baik Majlis Raja-Raja bertemu dan bincangkan isu pentauliahan ini. Lagipun Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pun sudah ada. Jadi perlu diselaraskan setiap negeri. Maknanya tauliahnya boleh dipakai di semua negeri.
Bayangkan, kalau ada seorang guru yang sudah berpuluh tahun sebelum ini berceramah, mengaji dan mempunyai ilmu tetapi tiba-tiba kata dia tidak dapat tauliah. Adakah itu logik? Semua ini boleh menyebabkan masyarakat berpecah belah dan hilang hormat kepada sistem beraja.
IMAN BERKURANGAN?
Adakah melawat tempat agama lain, melihat seni binanya dan memahami sejarahnya akan mengurangkan iman kita?
Sebenarnya boleh kurangkan iman apabila kita terlalu mengagumkan terhadap sesuatu sehingga hilangnya Islam. Kita tengok seni binanya kita kagum dan tidak rasa kekaguman kita pada Allah SWT sedangkan Dia menjadikan insan yang mencipta seni bina itu.
Apabila seseorang itu kata dia yakin tidak rosak iman hanya melawat, itu sebab dia tidak belajar.
Saya boleh bagi contoh. Orang yang belajar tasawuf, mereka hendak tengok kubur orang bukan Islam pun tidak boleh. Sebab bagi mereka, ia akan melemahkan pandangan kamu. Apa kaitannya kalau diambil daripada segi logik?
Begitu juga beberapa perkara lain yang Allah SWT sebutkan. Macam kita perlu makan dengan membaca Bismillah dan mereka yang tidak makan membaca Bismillah. Apa kaitannya?
Apakah hukum sekiranya orang Islam melawat gereja?
Kalau zaman sahabat dahulu, apabila Saidina Umar Al-Khattab ditanya sama ada boleh atau tidak baca kitab bible? Lalu Saidina Umar Al-Khattab bertanya sudah habiskah membaca al-Quran?
Begitulah juga dengan lawatan ke masjid. Sudah fahamkah sepenuhnya tentang konsep kenapa Allah SWT jadikan masjid?
Bukanlah saya kata tidak boleh tetapi perlu ada kekuatan. Kalau kamu pergi dalam keadaan longgar, kamu akan terpengaruh. Kita perlu ada pegangan kuat dan bukan pergi dengan keadaan kosong.
Bahkan Saidina Umar Al-Khattab sendiri ketika pihak gereja beri beliau solat dalam rumah ibadat tersebut, beliau tidak mahu sebab takut boleh mendatangkan fitnah kepada generasi akan datang nanti walaupun tahu sembahyang dalam itu boleh. Masyarakat kita pun sama. Kita sepatutnya perlu tutup ruang-ruang fitnah yang ada.
PROGRAM ZIARAH GEREJA
Apakah pandangan ustaz berkenaan dengan program Jom Ziarah Gereja baru-baru ini ?
Tidak sepatutnya ada kementerian dikaitkan dengan perkara sedemikian. Walaupun di bawah nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ia tetap tidak boleh.
Apatah lagi negara kita menjadikan Islam sebagai agama rasmi. Tetapi kalau nak dibuat atas nama persendirian, itu terpulang.
Bagaimana sekiranya lawatan dibuat atas dasar menyemarakkan keharmonian kaum sebagaimana yang diperkatakan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman?
Ini satu pemikiran liberal. Kita perlu berhati-hati. Buah fikiran sebegini saya tidak cadangkan untuk diikuti kerana pemikiran liberal melihat semua agama sama.
Pemikiran liberal bahaya. Siapa Syed Saddiq yang mahu mengajak ke rumah ibadat agama lain? Dia bukan memahami pasal perbandingan agama.
Dia perlu bercakap atas dasar agama Islam. Apabila ada unsur liberal atau pluralisme, ini bahaya dalam masyarakat kita.
Kita perlu akui dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi. Kalau kita nak ketengahkan pandangan dia dalam masyarakat itu tidak boleh.
Apabila melihat perbalahan, kemunculan pemikiran liberal, perpecahan dan pelbagai isu lain timbul dalam kalangan umat Islam, apa harapan Ustaz?
Saya berharap supaya orang Islam kembali kepada agama yang betul yang dibawa Rasulullah SAW. Kalau ada perbalahan pun seperti perbezaan pendapat dalam kalangan Sunni atau Wahabi, ia tidak sampai kita berpecah atau berperang sebagaimana di tempat lain .
Biarlah perbalahan kita perbalahan ilmiah. Perbezaan pandangan kita pun tidak sampai ke peringkat tubuh badan (mencederakan). Kita perlu kembali kepada alim ulama sebab kita kini hidup dalam alam fitnah.
Zaman sekarang orang jahil boleh pertikaikan alim ulama pula. Cara mereka komen sampai dilihat hilang nilai dan adab.
Selain itu, Raja-raja perlu memainkan peranan dan bersama-sama fikir bagaimana mahu selamatkan agama Islam. Jadi, seperti raja zaman dahulu yang boleh membaca khutbah. Setidak-tidaknya mampu menjadi contoh.
Saya juga berharap agar gerakan hedonisme, feminisme dan liberalisme di negara kita dapat disekat dengan pemerintah yang ada. Tidak boleh kita biarkan kerana orang kita jadi gila-gila pada hiburan. Masyarakat sudah hilang arah. – Mingguan Malaysia










