Jangan kata tiada pilihan

Jangan kata tiada pilihan

KITA mungkin tidak mampu memilih keluarga tempat dilahirkan atau ujian yang datang tetapi masih boleh menentukan tindakan terhadapnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNGKAPAN ini sering menjadi alasan apabila kehidupan mula tersasar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia mungkin lahir daripada konflik keluarga, kemiskinan, tekanan rakan sebaya, kegagalan pendidikan atau kekecewaan berpanjangan.

Namun, benarkah manusia benar-benar tidak mempunyai pilihan, atau sebenarnya kita telah memilih tanpa menyedarinya?

Masalah sosial tidak lahir dalam ruang kosong.

Kebanyakan mereka yang terjebak bermula sebagai anak biasa yang mahu disayangi, didengar dan dihargai.

Apabila keluarga tidak menjadi tempat berlindung, sekolah gagal memberi rasa berharga atau masyarakat lebih cepat menghukum daripada memahami, seseorang mungkin mencari penerimaan di tempat lain.

Namun, memahami bukan bererti membenarkan.

Kita boleh memahami latar belakang seseorang tanpa menghapuskan tanggungjawab terhadap tindakannya.

Hidup mungkin meletakkan manusia dalam keadaan sukar, tetapi setiap tindakan tetap membawa akibat.

Pilihan itu mungkin kecil dan tidak mudah tetapi tetap wujud.

Kita boleh memilih untuk meminta bantuan, meninggalkan pergaulan yang merosakkan, mengakui kesilapan atau kembali belajar selepas gagal.

Masalahnya, manusia sering menganggap pilihan hanya wujud apabila jalan yang tersedia mudah.

Dalam era digital, keadaan menjadi lebih mencabar.

Dengan satu klik, penghinaan, fitnah atau rakaman yang memalukan boleh tersebar luas.

Kebebasan yang besar tanpa pertimbangan matang akhirnya membawa kesan kepada diri sendiri dan orang lain.

Namun, tanggungjawab tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada individu.

Keluarga perlu menjadi tempat anak berasa selamat untuk bercakap.

Sekolah pula bukan sekadar ruang mengejar keputusan peperiksaan tetapi tempat membina sahsiah dan mengenal potensi.

Guru, kaunselor dan masyarakat juga perlu menjadi jambatan kepada mereka yang mahu berubah.

Kita juga perlu mengubah budaya menghukum sebelum memahami.

Kesalahan tetap perlu ditegur tetapi peluang kedua tidak bermaksud menghalalkannya.

Sebaliknya, ia memberi ruang kepada seseorang membuktikan bahawa masa lalu tidak semestinya menentukan masa depan.

Kita mungkin tidak mampu memilih keluarga tempat dilahirkan atau ujian yang datang tetapi masih boleh menentukan tindakan terhadapnya.

Justeru, apabila seseorang berkata, “Aku tiada pilihan”, masyarakat perlu membantu membuka jalan supaya dia dapat melihat pilihan masih ada.

Selagi seseorang mahu berubah, selagi itulah harapan belum tertutup. – UTUSAN

AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)
Tun Ghaffar Baba Jasin, Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN