Graduan perlu kuasai kemahiran insaniah

Graduan perlu kuasai kemahiran insaniah

JURANG dengan kehendak pasaran kerja boleh dirapatkan sekiranya penekanan terhadap kemahiran insaniah ini diletakkan pada aras yang setara dengan pencapaian akademik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA pekerjaan kini menuntut gabungan antara kecekapan teknikal (hard skills) dan kemahiran insaniah (soft skills).

Menurut laporan impak pasaran kerja global dan trend pengambilan pekerja di Malaysia, majikan kini lebih cermat dalam menilai kebolehan calon untuk menyesuaikan diri, berfikir secara kritis, serta berinteraksi dalam persekitaran kerja yang dinamik dan sarat dengan cabaran baharu.

Pemikiran Kritis
Majikan hari ini tidak lagi mencari pekerja yang hanya mengikut. Sebaliknya, mereka mendahagakan graduan yang mampu mempersoalkan status quo secara berhemah, mengenal pasti punca masalah, dan mengemukakan penyelesaian berasaskan bukti. Graduan yang menguasai kemahiran ini berupaya membuat keputusan strategik dalam keadaan ketidakpastian, sekali gus menjadi aset penting kepada sesebuah organisasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kecerdasan Emosi
Graduan yang mempunyai kecerdasan emosi (EQ) tinggi berupaya menguruskan tekanan kerja dengan baik, mementingkan keharmonian pasukan, serta mengendalikan konflik secara profesional.

Kemahiran mendengar secara aktif dan menunjukkan empati bukan sahaja membina hubungan kerja yang sihat, malah menjadi asas penting kepada kepimpinan berkesan di masa hadapan.

Kebolehsuaian Pembelajaran
Graduan perlu mempunyai dorongan untuk pembelajaran sepanjang hayat iaitu kebolehan melepaskan cara kerja lama yang tidak lagi efektif dan dengan cepat menguasai alatan atau metodologi baharu.

Sifat ingin tahu yang berterusan membolehkan graduan melihat perubahan dan gangguan teknologi bukan sebagai ancaman, sebaliknya sebagai peluang untuk meningkatkan nilai diri.

Komunikasi Strategik
Graduan perlu mahir menyelaraskan gaya komunikasi mengikut khalayak, sama ada membentangkan cadangan projek kepada pihak pengurusan tertinggi, berunding dengan pelanggan luar, atau bekerjasama dengan rakan sejawat.

Penekanan juga perlu diberikan kepada komunikasi digital, termasuk penyampaian idea melalui persembahan visual dan artikulasi pemikiran yang berstruktur.

Kerja berpasukan
Kemahiran kolaborasi menuntut graduan merendahkan ego, menghormati kepelbagaian pandangan, serta bersedia menyumbang mengikut kekuatan masing-masing demi mencapai matlamat bersama.

Graduan juga perlu mahir menggunakan alatan kolaborasi digital bagi memastikan produktiviti pasukan kekal berkesan.

Membina Masa Depan
Jurang antara institusi pengajian tinggi dan kehendak pasaran kerja boleh dirapatkan sekiranya penekanan terhadap kemahiran insaniah diletakkan pada aras yang setara dengan pencapaian akademik.

Universiti dan kolej perlu terus mengintegrasikan kemahiran ini dalam kurikulum dan aktiviti luar kurikulum secara holistik. – UTUSAN

DR. ANIM ZALINA AZIZAN
Timbalan Dekan
(Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni)
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN