KEMALANGAN boleh berlaku dalam beberapa saat tetapi usaha memahami puncanya mungkin mengambil masa berhari-hari, berminggu-minggu malah lebih lama. Sama ada melibatkan pesawat di udara atau kenderaan di jalan raya, pastinya mahu mengetahui perkara sebenar berlaku pada detik-detik terakhir?
Dalam penerbangan, sebahagian jawapan mungkin ditemukan melalui kotak hitam. Di jalan raya pula, rakaman kamera papan pemuka, kamera litar tertutup (CCTV), data kenderaan, rakaman telefon dan keterangan saksi sering membantu membina semula rentetan kejadian.
Teknologinya mungkin berbeza tetapi fungsinya membawa tujuan yang hampir sama yang meninggalkan jejak untuk membantu manusia memahami sesuatu yang telah berlaku.
Kotak hitam dalam penerbangan lazimnya merujuk perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan. Ia tidak menentukan siapa yang bersalah. Sebaliknya, rakaman dan data yang diperoleh menjadi sebahagian daripada bahan yang diteliti bersama bukti lain dalam proses penyiasatan.
Di jalan raya, kamera papan pemuka semakin memainkan peranan yang hampir serupa dari sudut dokumentasi.
Beberapa saat rakaman sebelum pelanggaran boleh menunjukkan kedudukan kenderaan, keadaan trafik, perubahan lorong atau tindakan pengguna jalan raya yang mungkin sukar dijelaskan hanya melalui ingatan manusia.
Begitu juga dalam penerbangan. Arahan, pengesahan, amaran dan respons yang berlaku dalam tempoh tertentu boleh membantu penyiasat memahami situasi yang dihadapi pada ketika itu. Kadangkala, beberapa saat yang dirakam mampu menjelaskan perkara yang tidak sempat diterangkan oleh manusia.
Hari ini, rakaman kemalangan boleh tersebar di media sosial sebelum siasatan selesai.
Beberapa saat video kemudian ditonton ribuan kali. Ruangan komen mula dipenuhi andaian tentang siapa yang salah dan siapa yang betul.
Masalahnya, kamera hanya merakam apa yang berada dalam ruang pandangannya. Rakaman selama 20 saat mungkin tidak menunjukkan apa yang berlaku seminit sebelumnya. Sudut kamera juga boleh mempengaruhi apa yang dapat dilihat. Sebab itu, satu rakaman tidak seharusnya terus dianggap sebagai keseluruhan cerita.
Prinsip yang sama digunakan dalam penyiasatan penerbangan. Kotak hitam penting tetapi bukan satu-satunya sumber. Data perlu dilihat bersama bukti lain sebelum gambaran yang lebih lengkap dapat dibentuk.
Setiap kemalangan meninggalkan jejak. Ada yang tersimpan dalam data, ada yang dirakam kamera dan ada yang berada dalam ingatan saksi. Tugas kita bukan sekadar melihat jejak tersebut tetapi memahami ceritanya dengan berhati-hati.
Kadangkala, saksi yang tidak bersuara mempunyai banyak perkara untuk diceritakan.
DR. MIHARAINI MD. GHANI
Pensyarah Komunikasi Digital,
Pusat Pengajian Komunikasi,
Universiti Sains Malaysia (USM)










