Ajar murid guna AI dengan lebih berkesan

Ajar murid guna AI dengan lebih berkesan

PROSES semakan fakta dan pengesahan maklumat penting bagi membantu murid mengenal pasti maklumat yang tidak tepat, selain menggalakkan penggunaan AI secara bertanggungjawab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Adakah kaedah pengajaran tradisional masih relevan, atau guru perlu menstruktur semula aktiviti bilik darjah agar kekal mampan (sustainable)?
Jika guru fokus kepada ‘penyampaian fakta semata-mata’, pengajaran akan cepat lapuk dan melelahkan.
Sebaliknya, metodologi pengajaran guru yang berubah perlu beralih kepada pedagogi mampan (sustainable pedagogy) iaitu kaedah pengajaran yang melatih murid cara berfikir, mengesahkan maklumat dan berkomunikasi dengan teknologi, bukannya sekadar menghafal fakta.
Antara elemen penting dalam pengajaran mampan era baharu ini ialah penguasaan Prompt Engineering, iaitu kemahiran memberikan arahan yang jelas dan khusus kepada kecerdasan buatan (AI) untuk mendapatkan maklumat atau hasil yang diperlukan.
Untuk mendapatkan jawapan yang lebih tepat daripada AI, murid perlu belajar memberi arahan yang spesifik, tersusun dan mempunyai konteks yang jelas.
Proses mengkritik dan memperbaiki prompt ini secara tidak langsung melatih murid berfikir secara logik, bersistematik, dan menganalisis maklumat dengan lebih mendalam.
Pada masa sama, guru perlu mewujudkan AI Verification Checkpoint atau stesen pengesahan AI dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Murid perlu dididik bahawa hasil daripada AI tidak boleh diterima bulat-bulat tanpa semakan.
Murid boleh diminta membuktikan kesahihan maklumat yang diperoleh daripada AI menerusi rujukan seperti buku teks, jurnal yang sah atau ujikaji amali.
Proses semakan fakta dan pengesahan maklumat ini penting bagi membantu murid mengenal pasti maklumat yang tidak tepat, selain menggalakkan penggunaan AI secara bertanggungjawab serta mengurangkan kebergantungan kepada maklumat yang belum disahkan.
Pendekatan tersebut juga boleh menyokong Pembelajaran Terbeza (Differentiated Learning), khususnya bagi murid yang belajar dengan lebih pantas.
Guru yang mahir Prompt Engineering dan kaedah pengesahan data boleh menyediakan modul pengayaan (enrichment) yang mencabar secara serta-merta bagi memenuhi keperluan murid fast-learning, manakala guru mempunyai ruang masa untuk membimbing murid yang memerlukan perhatian khusus.
Kemampanan kaedah ini penting agar sistem pendidikan kita tidak melahirkan generasi yang ‘kaya maklumat tetapi miskin kefahaman’.
AI mungkin mampu memberikan jawapan pada kelajuan cahaya, tetapi hanya guru yang berupaya membimbing murid membina soalan yang betul (prompting) serta menyediakan ‘checkpoint pengesahan’ agar maklumat tersebut diterjemahkan menjadi ilmu yang sahih, beretika dan berguna. – UTUSAN
TS. DR. RAIHANI MOHAMED
Jabatan Sains Komputer
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×