Undi dengan rasional, bukan ikut emosi semata-mata

Undi dengan rasional, bukan ikut emosi semata-mata

PENGUNDI perlu kembali kepada perkara asas iaitu memilih berdasarkan fakta dan prestasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 bukan sekadar proses rutin demokrasi tetapi medan penting yang mencerminkan tahap kematangan politik rakyat. Dalam suasana politik yang semakin kompleks, pengundi berhadapan dengan satu dilema besar sama ada untuk membuat pilihan secara bijaksana atau terjebak dalam arus emosi yang sering dimanipulasi.

Hakikatnya, setiap undi bukan sahaja menentukan siapa yang memerintah tetapi juga mencorakkan masa depan negeri. Justeru, persoalan utama yang perlu direnungi ialah, adakah kita memilih berdasarkan pertimbangan rasional atau sekadar dipengaruhi sentimen sementara?

Dalam melihat tingkah laku politik, pengundi lazimnya dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu pengundi rasional dan pengundi emosi. Pengundi rasional membuat keputusan berdasarkan fakta, rekod pencapaian, serta keupayaan kepimpinan. Sebaliknya, pengundi emosi cenderung dipengaruhi oleh retorik, persepsi peribadi, dan sentimen identiti seperti kaum, agama atau kesetiaan parti.

Hasil pelbagai kajian menunjukkan tingkah laku pengundi di negara ini sering dipengaruhi oleh faktor sosial dan identifikasi parti. Malah, faktor emosi dilihat semakin menonjol dalam era media sosial apabila naratif politik mudah dimanipulasi untuk membentuk persepsi pengundi.

Oleh itu, pemilihan pemimpin tidak boleh hanya berasaskan sentimen tetapi perlu mengambil kira keupayaan sebenar dalam mentadbir dan memelihara kestabilan negeri.

Pengundi yang bijaksana seharusnya menilai rekod pencapaian pemimpin, apakah dasar yang telah dilaksanakan? Adakah mereka berupaya memelihara institusi raja? Bagaimana prestasi mereka dalam mengurus ekonomi, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri? Apakah integriti dan keupayaan mereka dalam menyelesaikan masalah rakyat?

Kajian juga menunjukkan pengundi rasional cenderung menilai program kerja dan rekod prestasi calon, manakala pengundi emosi lebih dipengaruhi oleh simbolisme dan naratif yang menyentuh perasaan. Dalam erti kata lain, pilihan berasaskan emosi mungkin memberi kepuasan peribadi jangka pendek tetapi tidak semestinya baik dan menjamin kesejahteraan jangka panjang.

Lebih membimbangkan, politik emosi sering membuka ruang kepada populisme. Naratif yang bersifat sensasi, memainkan isu identiti, bangsa atau ketakutan, boleh mengaburkan penilaian rasional. Dalam situasi ini, pengundi berisiko membuat keputusan yang tidak berpaksikan kepentingan sebenar rakyat.

Sebaliknya, pengundian secara rasional mampu memperkukuh demokrasi. Apabila pengundi menilai berdasarkan prestasi dan dasar, pemimpin akan lebih bertanggungjawab dan berusaha menunjukkan pencapaian yang nyata. Hal ini dapat meningkatkan kualiti tadbir urus dan kestabilan politik negeri secara berterusan.

PRN Negeri Sembilan 2026 juga berlaku dalam konteks perubahan landskap politik negara yang semakin dipengaruhi media digital dan generasi muda. Faktor seperti persepsi terhadap calon, pengaruh rangkaian sosial dan kempen digital didapati memberi kesan signifikan terhadap kecenderungan pengundi. Dalam situasi ini, kebijaksanaan pengundi menjadi benteng utama untuk menapis maklumat dan propaganda yang tidak berasas.

Justeru, pengundi perlu kembali kepada perkara asas iaitu memilih berdasarkan fakta, bukan persepsi. Pengundi perlu memilih berdasarkan prestasi dan kepentingan masa depan, bukan emosi sementara.

Pilihan di tangan rakyat bukan sekadar menentukan siapa yang menang tetapi menentukan arah masa depan Negeri Sembilan. Dalam memilih, jadilah pengundi yang bijaksana kerana masa depan negeri tidak boleh dipertaruhkan dengan emosi tetapi perlu dibina dengan rasional dan kebijaksanaan. –UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. ABD. HAKIM MOHAD
Pusat Pengajian Teras,

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN